#7429: Adakah Membersihkan Lidah termasuk Sunnah Bersiwak?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sebagaimana yang diketahui bahawa bersiwak atau membersihkan gigi merupakan sunnah dan anjuran yang sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Persoalan saya, bagaimana dengan lidah? Adakah ia termasuk juga dalam sunnah membersihkan gigi? Mohon pencerahan

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44; Tafsir al-Muyassar, hlm. 35)

Bersiwak menurut al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiah (4/135-136) bermaksud perbuatan menggunakan kayu siwak untuk membersihkan gigi dan mulut daripada kotoran.

Bersiwak merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.

Riwayat al-Bukhari (887)

Ibn Rejab di dalam syarahnya menyebut: Hadith ini menunjukkan bahawa bersiwak  bukanlah satu kewajipan seperti mengambil wudhu’ untuk solat. (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 8/122)

Imam Ibn Hajar ‘Asqalani menukilkan pendapat Imam al-Syafi’ie, katanya: Hadith ini menyatakan bahawa  bersiwak sebelum solat  tidak wajib kerana sekiranya hukumnya wajib nescaya Baginda SAW akan menyuruh umatnya bersugi sama ada ia menyusahkan atau tidak menyusahkan mereka. Kebanyakan ulama berpegang pendapat tersebut. Oleh itu, bersiwak hukumnya sunat yang disukai ( مُسْتَحَب )  setiap kali sebelum solat  fardhu mahupun nawafil (sunat).” (Lihat Fath al-Bari, 2/375-376)

Ibn Battal pula menyatakan, perkataan ” kalaulah tidak menyusahkan umatku  ”  menunjukkan  ia merupakan perkara sunat yang disukai (مُسْتَحَب) kerana kelebihannya dapat menghilangkan bau mulut serta sentiasa bersih ketika hendak bermunajat kepada Allah SWT. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li lbn Battal, 2/486)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa bersiwak tidak  terikat pada waktu tertentu mahupun keadaan bahkan pada bila-bila masa. Sementara waktu bersiwak yang sangat digalakan oleh muslim adalah ketika ingin mendirikan solat, ketika sedang berwuduk, ketika ingin membaca al-Quran, ketika gigi berubah kekuningan  mahupun ketika  berubah berbau busuk kerana makan sesuatu atau mulut berbau kerana meninggalkan makanan mahupun terlalu lama berdiam diri dan ketika bangun tidur. (Lihat alMu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/60)

Adakah Membersihkan Lidah termasuk daripada Sunnah Bersiwak?

Secara umum, kebersihan merupakan sebahagian daripada sunnah dan agama. Antara sunnah yang berkaitan dengan membersihkan mulut adalah berkumur dan bersiwak; kedua-duanya memainkan peranan dalam membersihkan lidah.

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin (1/137): “Apa yang terkumpul pada gigi dan hujung lidah daripada kerak, maka ia dihilangkan dengan siwak dan berkumur.”

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW menggunakan siwak untuk membersihkan lidah sebagaimana riwayat daripada Abu Musa R.A, katanya:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَجَدْتُهُ يَسْتَنُّ بِسِوَاكٍ بِيَدِهِ يَقُولُ أُعْ أُعْ، وَالسِّوَاكُ فِي فِيهِ، كَأَنَّهُ يَتَهَوَّعُ

Maksudnya: “Aku pergi kepada Nabi SAW dan aku mendapatinya  Baginda sedang bersugi dengan kayu sugi di tangannya, sambil membunyikan: “U‘ U‘ ,” sementara kayu sugi itu masih berada dalam mulutnya, seolah-olah Baginda hendak muntah (dengan membunyikan begitu).”

Riwayat al-Bukhari (244)

Dalam Sahih Muslim, katanya:

 دَخَلْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَطَرَفُ السِّوَاكِ عَلَى لِسَانِهِ

Maksudnya: “Aku masuk menemui Nabi SAW dan hujung siwak berada di atas lidah baginda.”

Riwayat Muslim (254)

Dan ungkapan (uh, uh) dijelaskan oleh sesetengah perawi dengan beberapa variasi suara, yang merujuk kepada bunyi yang dihasilkan oleh baginda ketika meletakkan siwak di hujung lidah, sebagaimana dalam riwayat Muslim.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan, “Hal ini menunjukkan sunnahnya penggunaan siwak di atas lidah secara menegak.” (Lihat Fath al-Bari, 1/356)

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan: “Bersiwak adalah pada gigi dan lidah,” (Lihat al-Mughni, 1/135).

Ibn Daqiq al-‘Id menyebut: “Sebab yang mengharuskan bersiwak pada gigi juga terdapat pada lidah, bahkan lebih kuat kerana wap daripada perut yang naik ke lidah.” Para fuqaha menyebut bahawa bersiwak secara melintang pada gigi adalah dianjurkan, namun pada lidah, ia disarankan secara menegak berdasarkan beberapa riwayat. (Lihat Ihkam al-Ahkam Syarh Umdah al-Ahkam, 1/111)

Dalam Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh al-Manhaj (1/117), dinyatakan: “Dianjurkan untuk menggerakkan siwak pada lelangit dengan lembut, pada geraham, dan kemudian pada lidah, serta pada lelangit atas.”

Maksudnya di sini bukanlah membersihkan lidah itu hanya dengan cara bersiwak dengan kayu sugi, tetapi siwak adalah salah satu cara untuk membersihkan dan tujuannya adalah membersihkan mulut, gigi, dan lidah. Maka, apa saja cara yang dapat membersihkan, ia dianjurkan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa membersihkan mulut, gigi, dan lidah ini adalah amalan baik yang sangat dianjurkan syara’. Oleh itu, seseorang hanya diberi ganjaran jika melakukannya dengan niat ibadah dan mengikuti sunnah, bukan semata-mata untuk kebersihan, kerana setiap amalan itu bermulanya dengan niat sebagaimana hadith masyhur yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَال بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لكل امْرِئ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat.

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith di atas menyatakan: “Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu adalah berdasarkan niat” maksudnya adalah: Sesebuah amalan-amalan dalam syariat Islam tidak akan dikira melainkan apabila dilakukan bersama niat.” (Lihat bab al-Isyarat ila Dhabt al-Alfaz al-Musykilat daripada al-Arba‘un fi Mabani al-Islam wa Qawa ‘id al-Ahkam, hlm. 49)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”