#7436: Periwayatan Hadith Sahabat Nabi SAW bagi Perkara yang Didengarnya dan Dilihatnya Sebelum Memeluk Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Para sahabat Rasulullah SAW yang memeluk Islam semasa hayat baginda, adakah boleh diambil hadith yang mereka ceritakan sebelum mereka mengisytiharkan keislaman mereka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Periwayatan hadith oleh seseorang perawi mempunyai dua aspek atau dua peringkat:

Peringkat pertama: Peringkat menerima riwayat.

Ini adalah peringkat ketika perawi mendengar berita atau menyaksikan peristiwa yang akan diceritakan. Pada peringkat ini, syarat yang diperlukan hanyalah kefahaman dan kemampuan membezakan maklumat yang didengari atau disaksikan; tidak disyaratkan untuk perawi itu beragama Islam.

Imam Ibn Kathir berkata: “Adalah sah bagi kanak-kanak atau orang kafir untuk menerima atau menyimpan maklumat, asalkan ia disampaikan dalam keadaan matang, iaitu ketika mereka mencapai baligh dan beragama Islam.” (Lihat Mukhtasar Ulum al-Hadith, bersama hasyiahnya al-Ba’ith al-Hathith, hlm. 108).

Imam al-Zahabi juga menyatakan: “Tidak disyaratkan al-’Adl (Adil) pada peringkat menerima riwayat, sebaliknya pada peringkat menyampaikannya; maka sah riwayat yang didengari oleh seorang yang kafir, fasik, atau kanak-kanak. Contohnya ialah riwayat Jubair bin Mut’im R.A yang mendengar bacaan surah al-Tur dari Nabi SAW ketika beliau masih musyrik, kemudian meriwayatkannya selepas memeluk Islam.” (Lihat al-Muqizah fi ‘Ilm Mustalah al-Hadith, hlm. 61).

Peringkat kedua: Peringkat menyampaikan riwayat.

Ini adalah peringkat ketika perawi menceritakan atau menyampaikan hadith yang didengarnya atau disaksikannya kepada orang lain. Pada peringkat ini, perawi dalam kalangan sahabat diwajibkan beragama Islam. Selain itu, kaedah juga menyebutkan, semua sahabat Nabi SAW yang meriwayatkan hadith, kesemuanya adalah perawi yang adil.

Imam al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Perawi mestilah beragama Islam ketika menyampaikan riwayatnya, kerana Allah SWT berfirman: ‘Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka telitilah.’ Oleh itu, jika berita yang dibawa oleh seorang fasik Muslim tidak diterima, apatah lagi berita yang dibawa oleh orang kafir.” (Lihat al-Kifayah, 1/261).

Maka, perawi yang kafir boleh dikhuatiri berbohong atau mengada-adakan sesuatu perkara terhadap kebenaran, terutama ketika belum menerima kebenaran itu.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak disyaratkan bagi perawi untuk beragama Islam ketika mana mendengar atau menyaksikan peristiwa yang diceritakan dalam meriwayatkan hadith, tetapi wajib perawi itu telah memeluk Islam semasa menyampaikan dan menceritakan hadith yang didengarinya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”