#7439: Penyakit Ain

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah penyakit ain benar dan bagaimana cara merawatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا

Maksudnya: “Penyakit ‘Ain itu haq (benar-benar wujud). Jika ada sesuatu yang mendahului takdir, nescaya ‘ain akan mendahuluinya. Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.”

 Riwayat Muslim (5831)

Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadith ini terdapat ithbat keimanan pada takdir Allah SWT dan benarnya perkara ‘ain (penyakit ‘ain) dan bahawa ia sangat berbahaya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/328)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata: “Maknanya ialah orang yang ditimpa bahaya kerana sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan ketika seseorang memandangnya, hakikatnya terjadi dengan takdir Allah SWT yang telah ditetapkan sebelumnya, bukan sesuatu yang baru sahaja diciptakan oleh orang yang memandang terhadap yang dipandang.”

Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ianya boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “‘Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.”

Beliau turut berkata: “‘Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” (Lihat Fath al-Bari, 10/203-205)

Menurut Ibn al-Qayyim, ”Jiwa orang yang menjadi penyebab ‘ain boleh menimbulkan ‘ain, tanpa hanya dengan penglihatan. Bahkan kadangkala ada orang buta, kemudian diceritakan tentang sesuatu kepadanya lalu jiwanya boleh menimbulkan ‘ain walaupun dia tidak melihat sesuatu itu. Ada banyak penyebab ‘ain yang boleh menyebabkan terjadinya ‘ain, hanya dengan cerita tanpa melihat.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/149)

Penyakit ‘ain merupakan satu jenis penyakit yang terjadi disebabkan oleh pandangan mata jahat. Syeikh Wahid Abdul Salam Bali seorang pakar perubatan Islam dari Mesir telah membahaskan tajuk penyakit ‘ain dalam kitabnya al-Sarim al-Battar dengan terperinci berkaitan dengan dalil-dalil Al-Qur’an dan al-Sunnah tentang penyakit ‘ain, hakikat penyakit ‘ain, rawatan penyakit ain serta pengalaman beliau merawat penyakit ‘ain. (Lihat al-Sarim al-Battar, hlm. 235-250)

Penyakit ‘ain boleh terjadi sama ada dengan sebab pandangan seorang hasid (pendengki) agar terhapusnya nikmat yang dimiliki oleh seseorang. Mungkin juga kerana pandangan seseorang dengan rasa kagum terhadap seseorang tanpa menyebut doa:

بَارَكَ اللهُ فِيكَ

Maksudnya: ‘Semoga Allah memberkatimu’

Oleh yang demikian, Nabi SAW menganjurkan kita berdoa dengan doa berikut apabila melihat sesuatu yang dikagumi atau pelik. Sabda Rasulullah pada peristiwa yang menimpa Sahl bin Hunaif. Daripada Muhammad bin Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif, dia mendengar bapanya berkata:

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata:

مَرَّ عَامِرُ بْنُ رَبِيعَةَ بِسَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ وَهُوَ يَغْتَسِلُ فَقَالَ لَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ وَلاَ جِلْدَ مُخَبَّأَةٍ ‏.‏ فَمَا لَبِثَ أَنْ لُبِطَ بِهِ فَأُتِيَ بِهِ النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فَقِيلَ لَهُ أَدْرِكْ سَهْلاً صَرِيعًا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ مَنْ تَتَّهِمُونَ بِهِ ‏”‏ ‏.‏ قَالُوا عَامِرَ بْنَ رَبِيعَةَ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَأَمَرَ عَامِرًا أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيَغْسِلَ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ وَرُكْبَتَيْهِ وَدَاخِلَةَ إِزَارِهِ وَأَمَرَهُ أَنْ يَصُبَّ عَلَيْهِ ‏.‏ قَالَ سُفْيَانُ قَالَ مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ وَأَمَرَهُ أَنْ يَكْفَأَ الإِنَاءَ مِنْ خَلْفِهِ ‏.‏

Maksudnya: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.” Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Baginda SAW bersabda: “Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.” Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu’. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wudhuknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.”

Riwayat Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036)

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, dia berkata: Rasulullah pernah memohon perlindungan kepada Allah dari perbuatan ‘ain yang dilakukan oleh jin, dan dari ‘ain yang dilakukan oleh manusia. Ketika surah Al-Mu’awwizatain (Al-Falaq dan al-Nas) turun, maka Rasulullah menjadikan kedua- dua surah ini sebagai doa perlindungan serta meninggalkan yang lainnya. (Riwayat al-Tirmizi, no. 2059)

Daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah RA, bahawasanya Rasulullah telah bersabda kepada seorang hamba wanita di rumahnya yang terlihat pada wajahnya ada saf’ah iaitu tompok hitam. Daripada Umm Salamah R.Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى فِي بَيْتِهَا جَارِيَةً فِي وَجْهِهَا سَفْعَةٌ، فَقَالَ: اسْتَرْقُوا لَهَا، فَإِنَّ بِهَا النَّظْرَةَ

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi SAW ketika di rumah Umm Salamah telah melihat seorang perempuan yang pada wajahnya terdapat warna kehitaman. Baginda SAW pun bersabda: “Lakukanlah ruqyah untuknya, sesungguhnya dia terkena al-Nazrah (penyakit ‘ain).”

Riwayat al-Bukhari (5739)

Perkataan ‘السَّفْعَةٌ’ maksudnya adalah ‘satu tanda daripada syaitan, ataupun satu pukulan daripadanya. (Lihat al-Sarim al-Battar, hlm. 239) Menurut Ibn Al-Jauzi ‘السَّفْعَةٌ’ adalah ‘اللَّطْمَة’ yang bermaksud tamparan. (Lihat Gharib al-Hadith, 1/484)

Rawatan untuk penyakit ‘ain boleh dilakukan dengan beberapa cara iaitu:

  • Ambil air mandian atau air wuduk orang yang menjadi sumber penyakit ‘ain. Kemudian siramkan air mandian atau air wuduk tersebut dari arah belakang orang yang sakit akibat terkena ‘ain.
  • Letakkan tangan di kepala pesakit, kemudian bacakan doa:

بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang menyakitimu, dan dari setiap jiwa atau mata pendengki, semoga Allah menyembuhkanmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu.”

Riwayat Muslim (2186)

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَاسَ، اشْفِهِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا ‏

Maksudnya: “Ya Allah, Wahai Tuhan manusia, hilangkanlah penyakit ini, sembuhkanlah dia, dan Engkaulah Yang Menyembuhkan penyakit, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak di iringi penyakit.”

Riwayat al-Bukhari (5743)

 بِاسْمِ اللَّهِ يُبْرِيكَ وَمِنْ كُلِّ دَاءٍ يَشْفِيكَ وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ وَشَرِّ كُلِّ ذِي عَيْنٍ

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Dia menyembuhkan kamu, Dia menyembuhkan kamu daripada segala penyakit, daripada segala pendengki apabila dia dengki, juga daripada kejahatan orang yang mempunyai ‘ain”.

Riwayat Muslim (2185)