Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami beberapa hikmah iddah bagi wanita?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan. Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61).
Sebelum menjawab persoalan di atas, kami kemukakan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.”
(Surah al-Baqarah: 234)
Dapat difahami melalui firman Allah SWT di atas, ‘iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari. Imam Ibn Kathir menukilkan sebuah riwayat daripada Qatadah, katanya: “Aku bertanya kepada Sa‘id bin al-Musayyib: ‘Ada apa dengan tambahan 10 hari itu?’, Lalu dia menjawab: ‘Kerana ketika itulah ditiupkan roh’.”
Diriwayatkan juga daripada al-Rabi‘ bin Anas, katanya: “Aku bertanya kepada Abu al-‘Aliyyah: ‘Mengapa dijadikan 10 hari itu bersama dengan 4 bulan?’, jawab beliau: ‘Kerana ketika itu ditiupkan roh’.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/481)
Termasuklah juga di dalam bilangan ‘iddah tersebut hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ummu ‘Atiyyah R.Anha meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ وَلاَ تَكْتَحِلُ وَلاَ تَمَسُّ طِيبًا إِلاَّ إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ
Maksudnya: “Janganlah seorang wanita itu berihdad (berkabung) ke atas si mati melebihi tiga hari melainkan ke atas suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Dan janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian. Adapun ketika haid maka diperbolehkan baginya untuk mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain untuk menghilangkan bau tidak enak.”
Riwayat Muslim (938)
Imam Ibn Kathir menyebutkan, al-Ihdad (الإِحْدَادُ) bererti meninggalkan perhiasan seperti berwangi-wangian, mengenakan pakaian serta perhiasan yang menarik pasangan. Inilah yang diwajibkan dalam tempoh ‘iddah kematian suami secara sebulat suara. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/482)
Rahsia ‘Iddah Kematian Selama 4 Bulan 10 Hari
Allah SWT pastinya tidak menjadikan sesuatu hukum syara‘ itu dengan sia-sia tanpa sebarang hikmah dan rahsianya yang tersendiri, dan tidaklah kita mengetahui rahsia Allah SWT ini secara tepat dan terperinci melainkan Dia jualah yang lebih mengetahuinya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah: 216)
Dan juga dalam firman Allah SWT:
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: “dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”
(Surah al-Isra’: 85)
Sebahagian ulama’ cuba menyebutkan hikmah yang zahir daripada tempoh ‘iddah ini, antaranya seperti yang dinukilkan daripada Sa‘id bin al-Mussayyib, Abu al-‘Aliyyah dan selain mereka, hikmah dijadikan tempoh ‘iddah kematian selama 4 bulan dan 10 hari kerana berkemungkinan terdapatnya kandungan dalam rahim si isteri, apabila ditunggu selama tempoh ini boleh jadi akan terzahir (perut membesar kerana mengandung) jika benar si isteri mengandung. Ini berdasarkan hadith tentang penciptaan manusia yang diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ خَلْقَ أَحَدِكُمْ يُجْمَعُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا وَأَرْبَعِينَ لَيْلَةً، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَهُ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَهُ، ثُمَّ يُبْعَثُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فَيُؤْذَنُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ، فَيَكْتُبُ رِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَعَمَلَهُ وَشَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ ثُمَّ يَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat perkara, lalu dia menuliskan amalnya, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya, kemudian ditiupkan roh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (7454) dan Muslim (2643)
Maka kiraan 40 hari sebanyak 3 hari itu bersamaan dengan 4 bulan, dan tambahan sebanyak 10 hari pula adalah sebagai langkah berhati-hati kerana boleh jadi terdapat beberapa bulan yang sedikit (bilangan harinya), dan ia juga agar (dapat dilihat) terzahirnya pergerakan janin yang telah ditiupkan roh. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/481)
Justeru, difahami bahawa tempoh iddah adalah bertujuan untuk memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu. Ia bertujuan untuk mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang baharu dikahwininya.
Selain itu, bagi `iddah talak raj`ie, ia sebagai ruang kepada suami dan isteri untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan kesilapan yang telah dilakukan termasuk kesan daripada perceraian yang berlaku. Di samping itu, ia juga dapat memberi peluang kepada suami untuk kembali rujuk kepadaisterinya. Manakala bagi perempuan yang kematian suami, tempoh `iddah juga sebagai tempoh berkabung bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu. Ia juga sebagai tanda menjaga hak suami dan tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya. Selain itu, berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah SWT.
Selain itu juga, hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:
- Menunjuk kesetiaan kepada suami yang telah meninggal dunia. Justeru, Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya, setia dan melayaninya. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
- Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)
Para ulama’ dan imam-imam mazhab yang empat telah membuat kesimpulan berkaitan dengan hukum-hakam ihdad antara lain kata mereka:
- Bahawa sesungguhnya ihdad wajib ke atas kematian suami untuk menzahirkan rasa dukacita dan menunaikan janjinya. Begitu juga kerana terputusnya nikmat perkahwinan dan bukan semata-mata nikmat dunia tetapi melangkaui akhirat. Ini kerana, nikah menjadi sebab kejayaan mereka di dunia dan akhirat.
- Begitu juga pensyariatan ihdad kerana mencegah niat lelaki untuk bersama dengannya kerana kalau dia berhias-hias sudah pasti membawa ke arah itu dan ini tidak dibenarkan sama sekali. (Lihat Hasyiah Sa’di Jalbi ‘ala Syarh Fath al-Qadir, 3/291)
‘Iddah kerana kematian ialah `iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:
- Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka `iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada `iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.
- Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Ini seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka `iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/63)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”