Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya punya soalan tentang samak, saya sekarang berada di luar negara untuk sambung belajar, dan salah seorang kawan saya telah menghadiahkan pinggan untuk saya guna akan tetapi pinggan itu pernah digunakan untuk hidang makanan haram seperti khinzir. Saya ingin samak menggunakan tanah akan tetapi menjadi kekangan akan dek pihak berkuasa tidak mengizinkan kita mengambil tanah tanpa permit, ini saya sudah pastikan apabila ada seorang kawan saya disaman akan kerana mengambil tanah sebagai sampel pengajian dia. Ini mungkin kerana saya tinggal di kawasan bandar. Persoalannya, bolehkah saya ganti dengan sabun daripada tanah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا شَرِبَ الكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا
Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka kamu basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali”.
Riwayat al-Bukhari (172)
Maka, cara pembersihannya adalah dengan 7 kali basuhan selepas menghilangkan ain najis dan salah satu daripada basuhan itu menggunakan air tanah. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 27-28)
Ulama berpendapat, babi lebih hina daripada anjing. Justeru, hukumnya dalam mazhab Syafi’i sama seperti hukum anjing. Ia dianggap sebagai najis mughallazah yang dimestikan basuh dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya dengan air tanah.
Fatwa-Fatwa Berkaitan Sabun Tanah Liat
- Muzakarah Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006 telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat.
Muzakarah telah memutuskan bahawa sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.
- Dar Al-Ifta’ Al-Misriyyah
Dibolehkan untuk mengganti tanah dengan sesuatu yang boleh mengambil tempatnya pada zaman ini dengan benda-benda moden yang dapat menyucikan. Ini kerana yang dimuktamadkan adalah taharah (suci) secara mutlak.
- Fatawa Al-Lajnah Al-Da’imah
Keputusan akhir fatwa berkaitan isu ini menyebut: ‘’Dan pakaian itu apabila dicampakkan ke dalam air yang suci dan ia dibasuh sehingga hilang kesan-kesan najis darinya, maka ia mensucikan keseluruhannya daripada najis-najis anjing dan selainnya. Dengan syarat basuhan untuk najis anjing itu berulang sebanyak tujuh kali, dan basuhan yang pertama adalah dengan tanah atau apa-apa yang menggantikan tempatnya seperti sabun dan selainnya.’’(Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 4/196).
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan harus menggunakan sabun tanah untuk mencuci pinggan tersebut kerana telah memadai dan mencapai maksud yang sama dengan penggunaan tanah. Namun, sekiranya tidak menjadi masalah untuk mengambil dan menggunakan tanah tersebut untuk tujuan sertu, maka menggunakan tanah adalah lebih utama.
Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan (1/868), bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
Riwayat al-Bukhari (7288)
Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
(Surah Ibrahim: 40)