Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan secara ringkas berkenaan kitab Zabur yang merupakan salah satu kitab samawi yang terdahulu? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, beriman kepada kitab-kitab samawi mempunyai kepentingan yang besar. Di antaranya, ia adalah rukun ketiga dalam Rukun Iman. Keimanan seseorang tidak sempurna tanpa mempercayainya, sebagaimana firman Allah SWT:
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ
Maksudnya: “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya.”
(Surah al-Baqarah: 285)
Dalam ayat ini, perkataan “kitab-kitab-Nya” merangkumi semua kitab samawi yang diturunkan sebelum ini dan tidak boleh mengingkarinya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّcهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”
(Surah al-Nisa’: 136)
Selain itu, beriman kepada kitab-kitab samawi juga adalah keimanan kepada al-Quran dan begitu juga keimanan kepada Allah SWT, di mana Allah SWT mengkhabarkan bahawa setiap umat menerima seorang Rasul, seperti mana dalam ayat:
وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ
Maksudnya: “Dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.”
(Surah Fatir: 24)
Sebagaimana al-Quran mencakupi apa yang ada dalam kitab-kitab terdahulu dan menjadi pelengkap kepada mereka, serta bebas daripada sebarang penyelewengan. Tambahan lagi, keimanan kepada kitab-kitab samawi menguatkan keyakinan bahawa risalah-risalah Ilahi adalah satu, dan Islam adalah gabungan serta penerus kepada semua risalah tersebut. Salah satu daripada kitab-kitab samawi adalah Zabur.
Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan menyebutkan terlebih dahulu definisi “zabur.” Menurut Dr. Ali Muhammad al-Sallabi dalam kitabnya, al-Iman bi al-Quran al-Karim wa al-Kutub al-Samawiyyah (hlm. 119), dari segi bahasa, zabur (الزّبور) merujuk kepada “الكتاب المزبور” iaitu kitab yang bertulis. Kata majmuknya (jamaknya) ialah zubur (زُبُر). Setiap kitab boleh dipanggil Zabur (secara umumnya). Contohnya, firman Allah SWT:
وَكُلُّ شَيْءٍ فَعَلُوهُ فِي الزُّبُرِ
Maksudnya: “Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, adalah tertulis di dalam Kitab suratan amal.”
(Surah al-Qamar: 52)
Maksudnya, segala sesuatu yang dilakukan manusia telah ditulis dan direkodkan oleh malaikat.
Manakala dari segi istilah, makna Zabur adalah merujuk kepada kitab yang diturunkan kepada Nabi Allah Daud A.S, sebagaimana firman Allah SWT:
وَآتَيْنَا دَاوُودَ زَبُورًا
Maksudnya: “Dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.”
(Surah al-Nisa’: 163)
Kitab ini adalah kitab yang wajib diimani oleh umat Islam, yang bukan apa yang telah dimasukkan kepadanya beberapa penyelewengan atau perubahan oleh kaum Yahudi kemudian. (Lihat Arkan al-Iman, terbitan al-Jami‘ah al-Islamiyyah bi al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 34). Dalam qiraat Hamzah, bacaan perkataan ini adalah Zuburan (زُبُوراً), maka dikatakan: “بئرٌ مزبورة” iaitu telaga yang disusun rapi dengan batu (yakni menunjukkan keteguhan). Jadi, kitab yang disebut “Zabur” menandakan keutuhan dan keteguhan maklumat yang tercatat di dalamnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 6/17).
Isi kandungan kitab Zabur
Kitab Zabur mengandungi doa, puji-pujian, dan sanjungan, namun ia tidak mengandungi hukum-hakam seperti yang halal atau haram, kewajipan-kewajipan, atau hukuman-hukuman hudud. (Lihat Jami‘ al-Bayan fi Ta’wil Ay al-Quran, 17/470). Ia terdiri daripada seratus lima puluh surah yang kesemuanya mengandungi nasihat dan puji-pujian. (Lihat al-Madkhal li Dirasah al-Quran al-Karimoleh Abu Syuhbah, 1/319).
Selain itu, Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kitabnya, Asyrat al-Sa‘ah di al-Kutub al-Samawuyyah al-Sabiqah fi Dhau’i al-Kitab wa al-Sunnah (hlm. 163) menyebutkan, dalam al-Quran, Allah SWT menyebut beberapa perkara yang terkandung dalam kitab Zabur, antaranya bahawa bumi adalah milik Allah dan akan diwariskan kepada para hamba-Nya yang soleh, seperti firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: ‘Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.’”
(Surah al-Anbiya’: 105)
Bahkan menurut Abdullah al-Qusair dalam kitabnya bahawa kebanyakan atau sebahagian besar kandungan Zabur adalah puji-pujian kepada Allah SWT, selain daripada zikir-zikir dan doa-doa. (Lihat Bayan Arkan al-Iman, hlm. 37).
Sebagai penutupnya, jelaslah Zabur merupakan salah satu kitab samawi terdahulu yang diturunkan kepada Nabi Daud A.S. Sebagai umat Islam, kita wajib mengimani kitab ini, yang bukan apa yang telah dimasukkan kepadanya beberapa penyelewengan atau perubahan oleh kaum Yahudi kemudian.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”