Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah kesan daripada pergaulan bebas yang berlaku dalam kalangan masyarakat masa kini? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”
(Surah al-Nur : 30-31)
Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)
Diriwayatkan daripada Abi Sai’d al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.”
Riwayat Muslim (338)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyarankan : “Ini adalah larangan jika tidak ada penghalang di antara keduanya, dan di sini menunjukkan tentang haramnya menyentuh aurat orang lain di mana saja pada tubuhnya dan ini adalah perkara yang disepakati oleh para ulama. Ramai orang yang bersikap longgar dalam perkara ini dengan berkumpulnya ramai orang di dalam bilik mandi. Oleh itu, orang yang hadir di dalamnya wajib menjaga penglihatan, tangannya, dan lain-lain daripada melihat aurat orang lain, dan juga menjaga auratnya daripada dipandang oleh orang lain dan dipegang oleh tangan orang lain atau bagian tubuh lainnya. (Lihat Riyadh al-Salihin,hlm.457)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas Islam sangat menitikberatkan soal kehormatan setiap individu, termasuklah wanita. Bahkan menjaga kehormatan merupakan salah satu daripada Maqasid Syariah. Melalui prinsip ini, Islam memastikan maruah setiap individu dipelihara, sekaligus memperkukuhkan struktur sosial yang adil dan harmoni. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”
Riwayat Muslim (2564)
Hadith ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Taufiq al-Rab al-Mun‘im bi Syarh Sahih al-Imam Muslim (7/303) menunjukkan bahawa: Dia tidak dibenarkan untuk menumpahkan darah saudaranya yang muslim tanpa sebab yang sah, tidak mengambil hartanya tanpa hak, dan tidak mencemarkan maruahnya tanpa alasan yang benar. Hadith yang lain juga membawa maksud yang sama dengan sabda Baginda SAW:
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حَرَام عَلَيْكُم
Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram atas (sesama) kamu semua.”
Riwayat Muslim (3179)
Oleh itu, syarak melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bagi mengelakkan berlakunya mafsadah yang lebih besar, seperti pencerobohan maruah dan kehormatan. Larangan ini bertujuan memelihara nilai-nilai moral serta menjaga kesejahteraan sosial dalam masyarakat.
Pergaulan antara lelaki dan wanita dalam pekerjaan dan sebagainya mempunyai kesan negatif dan mafsadah yang memberi impak kepada kedua-dua pihak, lelaki dan wanita. Antara kesannya sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Ikhtilat Baina al-Rijal wa al-Nisa’ (1/141-142) adalah:
- Menjadikan sukar untuk menundukkan pandangan dan memudahkan zina mata melalui pandangan yang haram. Allah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin lelaki dan wanita agar menundukkan pandangan mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.
- Boleh berlaku sentuhan yang haram, termasuk bersalaman dengan tangan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
لأَن يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ
Maksudnya: “Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).”
Riwayat Al-Tabarani dalam al-Mu’jam Al-Kabir (20/211). Hadith ini dinilai sahih oleh pengarang kitab Sahih al-Jami’ (5045)
Hadith ini jelas menunjukkan pengharaman bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadith menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya. Hal ini sebagaimana yang dikatakan oleh Mulla ‘Ali Al-Qari yang menukilkan daripada Imam al-Khattabi, katanya: “Sesuatu khitab (arahan atau kenyataan) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga adalah khitab kepada orang perempuan dalam masa yang sama, melainkan pada keadaan-keadaan yang tertentu.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/423).
- Pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram boleh membawa kepada situasi berdua-duaan, dan ini merupakan perkara yang Jenis-jenis zina yang lebih kecil berlaku apabila lelaki bergaul dengan wanita. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda:
كُتِبَ على ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنَ الزِّنا، مُدْرِكٌ ذلكَ لا مَحالَةَ، فالْعَيْنانِ زِناهُما النَّظَرُ، والأُذُنانِ زِناهُما الاسْتِماعُ، واللِّسانُ زِناهُ الكَلامُ، والْيَدُ زِناها البَطْشُ، والرِّجْلُ زِناها الخُطا، والْقَلْبُ يَهْوى وَيَتَمَنّى، وَيُصَدِّقُ ذلكَ الفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan melakukannya tanpa dapat dihindari. Maka zina mata adalah dengan melihat, zina lidah adalah dengan ucapan, zina hati adalah dengan bercita-cita dan berkeinginan, manakala kemaluan membenarkan dan mendustakan semua penzinaan anggota itu. sedangkan kemaluan pula membenarkan semua itu.”
Riwayat al-Bukhari (6243)
Syeikh Ibn Uthaimin Rahimahullah berkata: Ini menunjukkan bahawa kita perlu berhati-hati daripada keterikatan kepada wanita, sama ada melalui suara mereka, melihat mereka, menyentuh mereka, mendekati mereka, atau kecenderungan hati kepada mereka. Semua ini adalah sebahagian daripada jenis-jenis zina. Maka, hendaklah seseorang yang berakal dan menjaga kehormatan dirinya berhati-hati agar tiada anggota tubuhnya terlibat dalam perkara yang berkaitan dengan wanita. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 6/359)
Oleh yang demikian, orang yang bergaul dengan wanita hampir tidak dapat mengelakkan diri daripada terjatuh ke dalam salah satu atau beberapa jenis perkara ini.
- Menyebabkan bencana cinta yang merosakkan kehidupan dunia dan agama. Ini berlaku apabila hati lelaki terpaut kepada wanita dan terpesona dengannya, atau sebaliknya. Keadaan ini sering terjadi akibat pergaulan dan tempoh interaksi yang berpanjangan.
- Kemusnahan keluarga dan keruntuhan rumah tangga. Berapa ramai lelaki yang mengabaikan rumahnya dan mengabaikan keluarganya kerana hatinya terpaut kepada rakan sekerjanya di sekolah atau tempat kerja, dan berapa ramai wanita yang mengabaikan suaminya dan rumahnya atas sebab yang sama. Malah, berapa banyak kes perceraian yang berlaku akibat hubungan terlarang yang dijalin oleh suami atau isteri, di mana pergaulan di tempat kerja menjadi punca.
Perkahwinan yang suci kehilangan nilainya di mata mereka yang terpengaruh dengan penyakit pergaulan bebas. Kedua-dua jantina akan mencari keseronokan yang menggoda sehingga mereka tidak lagi memikirkan tentang perkahwinan. Malah, mereka yang sudah berkahwin akan kehilangan minat terhadap ikatan perkahwinan dengan pasangan mereka, sehingga menyebabkan mereka berpisah atau mencari pasangan lain, atau bercerai atas sebab-sebab yang remeh.
Sebagai kesimpulannya, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita membawa banyak bahaya yang boleh memberi kesan negatif kepada individu dan masyarakat. Antaranya termasuk kehilangan maruah dan kehormatan, yang merupakan nilai penting dalam Islam. Pergaulan bebas juga boleh menyebabkan keruntuhan institusi keluarga, di mana hubungan terlarang seringkali membawa kepada masalah rumah tangga seperti perceraian dan pengabaian tanggungjawab terhadap keluarga. Selain itu, penyebaran penyakit sosial seperti zina merosakkan nilai moral dan etika dalam masyarakat. Oleh itu, menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita adalah penting untuk memelihara nilai-nilai moral, kehormatan, dan kesejahteraan sosial dalam masyarakat.
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a‘lam