Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah orang fasiq berhak menerima zakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ
Maksudnya: “(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).”
(Surah al-Sajdah: 19)
Al-Syaukani berkata: Yakni orang beriman tidaklah sama dengan orang fasiq, sangat jelas perbezaan di antara mereka berdua. (Lihat Fath al-Qadir, 3/552)
Al-Sa’di berkata: Allah mengingatkan akal manusia tentang sesuatu yang sudah nyata, iaitu tiada persamaan antara dua individu yang berbeza lagi bertentangan. Sesungguhnya kebijaksanaan-Nya menghendaki bahawa kedua-duanya tidak setara. Allah berfirman, “Maka adakah orang yang beriman,” iaitu individu yang hatinya hidup dengan iman, seluruh anggota tubuhnya patuh kepada syariat Allah, dan keimanannya mendorongnya untuk meninggalkan segala perkara yang dimurkai Allah, menghindari segala yang membahayakan imannya, “sama seperti orang yang fasik,” iaitu insan yang hatinya rosak dan kosong dari iman, tanpa sedikit pun kecenderungan terhadap agama. Maka, seluruh anggota tubuhnya cenderung kepada kebodohan dan kezaliman dalam setiap dosa dan maksiat. Oleh kerana kefasikannya, dia berpaling daripada ketaatan kepada Tuhannya. Adakah sama kedua-dua manusia ini? “Mereka tidak sama,” baik dari sudut akal mahupun dari sudut agama, sebagaimana malam dan siang, cahaya dan kegelapan, juga tidak sama. Begitu jugalah balasan yang menanti mereka di akhirat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 443)
Takrif Fasiq
Perkataan fasiq adalah berasal dari perkataan ‘فسَق يَفْسِقُ ويَفْسُقُ فِسْقاً وفُسوقاً’. Ibn Manzur menyebut: Al-Fisq iaitu kederhakaan dan meninggalkan perintah Allah Azza wa Jalla dan keluar dari jalan kebenaran. (Lihat Lisan al-‘Arab, 10/308)
Fasiq pada istilah bermaksud seorang yang melakukan dosa besar atau sering melakukan dosa-dosa kecil. (Lihat Hasyiyah al-Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli, 3/227)
Imam al-Syaukani menukilkan pandangan Imam al-Qurtubi yang menyebut: “Adapun kefasiqan yang umumnya digunakan dalam Syariat ialah: (Perbuatan yang menyebabkan) keluar dari batas ketaatan kepada Allah SWT. Terkadang perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekafiran dan boleh juga dianggap sebagai kemaksiatan.” (Lihat Tafsir Fath al-Qadir, 1/583)
Ini sepertimana disebut dalam hadis, Nabi SAW bersabda:
سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
Maksudnya: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasiq dan memeranginya perbuatan kufur.”
Riwayat Bukhari (7076)
Kata Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini, maksud dilarang mencaci orang muslim itu, kerana maruah diri seorang muslim adalah terpelihara (haram dicabul) sebagaimana haram darah dan hartanya. Kaedah fiqh juga menyebut:
الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ
Maksudnya: “Asal seseorang itu adalah suci maruahnya (bebas dari tuduhan dan tanggungan).”(Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 59)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut:
Para ulama mengizinkan zakat diberikan kepada orang fasiq selama mereka masih berada dalam Islamnya yang asal untuk memperbaiki keadaan dirinya dan menghormati nilai kemanusiaannya, tambahan pula zakat itu boleh diambil daripada orang yang fasiq, maka berhak juga untuk dikembalikan kepadanya. Maka, ini juga termasuk dalam keumuman hadis:
تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلى فُقَرَائِهِمْ
Maksudnya: “Zakat itu diambil daripada orang kaya antara mereka dan dikembalikan kepada orang fakir dalam kalangan mereka.”
Riwayat Muslim (19)
Walau bagaimanapun, zakat tidak boleh diberikan jika bertujuan untuk membantu mereka melakukan kefasiqan dan kemaksiatan seperti untuk membeli minuman keras, begitu juga untuk kehendak yang haram. Kerana tidak boleh digunakan harta Allah untuk bermaksiat kepada Allah. Cukup dengan sekadar sangkaan yang kuat untuk menentukan hal ini. Atas dasar itu, sebahagian ulama mazhab Maliki berpendapat, tidak sah menyerahkan zakat kepada orang yang disyaki akan menggunakannnya untuk bermaksiat. 351 Jika tidak berbuat demikian, barulah dibolehkan memberi mereka zakat.
Menurut ulama mazhab Zaidiyyah: “Tidak dihalalkan zakat kepada orang fasiq sebagaimana kepada orang yang kaya kecuali apabila dia tergolong sebagai petugas zakat atau termasuk golongan mualaf. (Lihat Syarh al-Azhar, 1/520)
Yang rajih menurut penelitian saya, orang fasiq yang tidak menyakiti kaum Muslimin dan tidak melampaui batas dengan kemaksiatan yang dilakukan, dibolehkan memberi zakat kepadanya. Walau bagaimanapun, orang-orang soleh yang istiqamah lebih utama untuk diberikan zakat, berdasarkan ijmak ulama. Adapun orang jahat yang semberono, tidak tahu malu dan yang mezahirkan kefasiqannya, maka tidak sepatutnya diberikan harta zakat, sehingga dia insaf dan mengisytiharkan taubatnya. Sesungguhnya, ikatan paling kukuh keimanan adalah mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah. Firman Allah SWT
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.”
(Surah al-Taubah: 71)
Antara maksud yang dikehendaki daripada ayat ini ialah masyarakat Islam tidak dibenarkan memberi pertolongan kepadanya, dalam keadaan dia mencemar masyarakat dengan maksiatnya dan terang-terangan dengan perbuatan dosanya serta mencabar sensitiviti masyarakat umum. Namun, tidaklah dikatakan bahawasanya tindakan ini merupakan kekerasan terhadap orang fasiq dan ahli maksiat lalu tegar membiarkan mereka mati dalam kelaparan, sedangkan Islam penuh dengan sikap toleransi, kasih sayang, memaafkan dan melupakan kesalahan.
Sesungguhnya, sikap melupakan kesalahan dan memberi maaf hanyalah diperbolehkan terhadap kelakuan buruk yang bersifat peribadi tetapi apabila kelakuan buruk terhadap masyarakat secara keseluruhan atau kepada agama dan penganutnya, maka tidaklah layak untuk dimaafkan dan tidaklah sesiapapun berhak memaafkannya. Orang yang berhak mendapatkan kasih sayang hanyalah orang yang menyayangi dirinya sendiri dan itu hanya diperoleh dengan bertaubat. Tetapi apabila dia merasa lazat dalam maksiat, berterusan dalam ketaatan kepada syaitan dan mendampingi kesesatan, mengambil ringan sensitiviti masyarakat, nilai dan seumpamanya, maka hendaklah dibiarkan sampai mati sekalipun dalam keadaan lapar dan tidak terhormat. Barang siapa yang menghinakan dirinya, maka jangan dimuliakan dan barang siapa yang tidak menyayangi dirinya maka janganlah disayangi.
Bagaimana mungkin dia berhak untuk mendapatkan kasih sayang dan pertolongan sedangkan dia lebih rela memilih mati dalam keadaan lapar dan terbiar, berbanding memilih untuk mengerjakan solat, puasa atau meninggalkan arak dan judi? Ataupun sekurang-kurangnya dia bersedia untuk berhenti dan berazam untuk berubah.
Namun, jika si fasiq yang menzahirkan dosanya itu mempunyai tanggungjawab keluarga, maka dia masih wajib diberi zakat, dan tidak dihukum keluarganya kerana dosanya itu sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ
Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya, dan seseorang yang boleh memikul sesuatu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa hasil usahanya sahaja).”
(Surah al-An’am: 164)
Ibn Taimiyah pernah ditanya mengenai hal memberi zakat kepada ahli bidaah atau orang yang tidak solat. Beliau menjawab: “Sewajarnya bagi manusia untuk sentiasa membuat penelitian terhadap orang yang berhak menerima zakat seperti orang fakir, miskin, orang yang berhutang dan yang lainnya agar terdiri dalam kalangan mereka yang beragama dan komited dengan syariat. Adapun bagi orang yang terang-terangan melakukan perbuatan bidaah atau dosa besar, maka dia berhak dihukum dengan dipulaukan dan seumpamanya begitu juga diminta untuk bertaubat. Bagaimanakah kita boleh menolongnya (dalam keadaan masih bermaksiat)?” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/87)
Adapun mengenai orang yang meninggalkan solat Ibn Taimiyah berkata: “Orang yang tidak solat hendaklah disuruh untuk mengerjakannya. Jika dia mendakwa: Saya akan melaksanakan solat, maka layak diberikan zakat. Jika tidak, maka tidak layak diberi. Ini bermaksud, sekiranya dia menzahirkan keazaman bertaubat dan berjanji mahu mengerjakan solat, maka diterima kata-katanya itu dan dia diberikan zakat.
Dalam kitab al-Ikhtiyarat, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata: “Tidaklah wajar diberi zakat kepada orang yang tidak menggunakannya dalam mentaati Allah SWT. Kerana sesungguhnya, Allah SWT mewajibkan zakat untuk membantu manusia menjadi taat kepada-Nya dan juga bagi orang yang memerlukannya dalam kalangan orang yang beriman seperti orang orang fakir, orang yang berhutang atau kepada pihak yang menolong orang Mukmin, (contohnya seperti petugas zakat dan mujahid fi sabilillah). Maka, barang siapa yang tidak solat dari kelompok orang yang memerlukan zakat, maka janganlah diberikan apa-apa sehingga dia bertaubat dan beriltizam dalam mengerjakan solat. (Lihat al-Ikhtiyarat, hlm. 61) (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/182 – 184)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”