#7471: Kelebihan Sedekah kepada Kaum Kerabat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat kelebihan sedekah kepada kaum kerabat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَآ أَنفَقُوا۟ مَنًّۭا وَلَآ أَذًۭى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526).

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik. Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: “Mulakan sedekah dengan orang-orang yang berada di bawah tanggunganmu.”

Riwayat Muslim (1042)

Al-’Aini menukilkan bahawa al-Khattabi menyatakan, ‘Sedekah yang paling utama ialah yang dikeluarkan seseorang daripada hartanya setelah ia menyimpan sebahagian yang mencukupi untuk keluarganya.’ Oleh itu, Nabi SAW juga menyebut, ‘وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ’ (‘Mulakan dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu.’) (Lihat ‘Umdah al-Qari, 8/293)

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin ‘Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلأَهْلِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ، فَهَكَذَا وَهَكَذَا. يقولُ: فَبيْنَ يَدَيْكَ وَعَنْ يَمِينِكَ وَعَنْ شِمالِكَ

Maksudnya: “Mulakanlah dari dirimu sendiri dan bersedekahlah (menabung) untuk dirimu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk keluargamu (anak dan isterimu). Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk kerabat dekatmu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk tujuan ini dan itu, yang ada di hadapanmu, di kanan dan di kirimu.”

Riwayat Muslim (997) dan al-Nasa’ie (2546)

Imam al-Nawawi menyebutkan, antara faedah yang dapat diperoleh dari hadith ini adalah, apabila terdapat beberapa hak yang perlu ditunaikan maka perlu diutamakan yang paling penting kemudian yang terpenting seterusnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/83)

Terdapat juga beberapa nas lain yang menggalakkan untuk memberi sedekah kepada kerabat, antaranya:

الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ : صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ .

Maksudnya: “Sedekah pada orang miskin itu adalah sedekah semata-mata, sedangkan sedekah pada kerabat mengandungi dua hal, sedekah dan mengeratkan tali persaudaraan.”

Riwayat Ibn Hibban (3344)

Sebagaimana kita ketahui sedekah itu meliputi zakat. Begitu juga sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَفْضَلَ الصَّدَقَةِ عَلَى ذِي الرَّحِمِ الْكَاشِحِ.

Maksudnya: “Sedekah yang paling utama adalah kepada kerabat yang menyembunyikan permusuhan (kebencian).”

Riwayat Ahmad (23530) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3/319)

Maksud al-Kasyih adalah menyembunyikan permusuhan. Demikian pula sebagaimana yang diriwayatkan al-Tabarani dan al-Bazzar daripada Abdullah bin Mas’ud (tentang hadis yang telah kita kemukakan di atas daripada riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad) bahawa isterinya berkata kepada Bilal:

اقْرَأْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّلَامَ مِنِ امْرَأَةٍ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ، وَلَا تُبَيِّنْ لَهُ، وَقُلْ لَهُ: هَلْ لَهَا مِنْ أَجْرٍ فِي زَوْجِهَا مِنَ الْمُهَاجِرِينَ لَيْسَ لَهُ شَيْءٌ، وَأَيْتَامٍ فِي حَجْرِهَا، وَهُمْ بَنُو أَخِيهَا أَنْ تَجْعَلَ صَدَقَتَهَا فِيهِمْ؟ فَأَتَى بِلَالٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «نَعَمْ، لَهَا أَجْرَانِ: أَجْرُ الْقَرَابَةِ، وَأَجْرُ الصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Sampaikanlah salam kepada Rasulullah SAW daripada seorang wanita Muhajirin dan jangan dijelaskan kepada baginda namun katakan kepadanya: “Adakah bagi wanita itu terdapat pahala kerana suaminya seorang Muhajirin, tidak mempunyai sesuatu apapun akan tetapi mempunyai anak-anak yatim iaitu anak saudara lelakinya yang dipeliharanya, dan sedekah (zakat) wanita itu diberikan kepada mereka?” Kemudian Bilal bertemu Nabi SAW dan Baginda menjawab: “Ya, bagi wanita itu dua pahala, pahala berbakti kepada kerabat dan pahala sedekah.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2/345)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”