Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya sekiranya orang yang memberi zakat tersilap dalam menentukan penerima zakatnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Surah al-Taubah (60)
Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut:
Apabila orang yang berzakat tersilap, dan memberikan zakatnya kepada orang yang bukan penerima zakat yang benar, kerana tiada ilmunya (berkaitan penerima zakat), kemudian jelas baginya kesalahannya itu, adakah zakatnya itu sah sehingga gugur kewajipan zakat daripadanya? Atau adakah zakat itu tetap menjadi hutang yang menjadi bebannya, sampai ia menempatkannya pada sasarannya yang benar? Terdapat perbezaan pandangan fuqaha dalam masalah ini.
Abu Hanifah, Muhammad al-Hasan dan Abu ‘Ubaid berpendapat bahawa apa yang telah dikeluarkannya dianggap sah dan tidak perlu dituntut untuk menyerahkan zakatnya kembali. Daripada Ma’n bin Yazid, dia berkata:
كَانَ أَبِي يَزِيدُ أَخْرَجَ دَنَانِيرَ يَتَصَدَّقُ بِهَا، فَوَضَعَهَا عِنْدَ رَجُلٍ فِي الْمَسْجِدِ، فَجِئْتُ فَأَخَذْتُهَا، فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ: وَاللهِ مَا إِيَّاكَ أَرَدْتُ، فَخَاصَمْتُهُ إِلَى رَسُولِ اللهِ ﷺ، فَقَالَ: لَكَ مَا نَوَيْتَ يَا يَزِيدُ، وَلَكَ مَا أَخَذْتَ يَا مَعْنُ.
Maksudnya: “Ayahku telah mengeluarkan beberapa dinar untuk dizakatkannya, kemudian dinar-dinar itu diberikan pada seorang lelaki yang ada di masjid untuk diagihkan (sebagai wakil). Kemudian aku datang lalu mengambilnya, setelah itu aku menemui ayahku membawa dinar-dinar itu. Ayahku berkata: “Demi Allah, aku tidak bermaksud untuk memberikannya kepadamu.” Kemudian aku mengadukan persoalan ini kepada Nabi SAW. Maka Baginda menjawab: “Bagimu apa yang telah kau niatkan, wahai Yazid, dan bagimu apa yang telah kau ambil, wahai Ma’n.”
Riwayat al-Bukhari (1422)
Hadis ini mengandungi kemungkinan bahawa itu adalah sedekah sunat, kecuali pada lafaz “apa” dalam hadis “Bagimu apa yang telah kau niatkan” memberikan pengertian yang bersifat umum.
Mereka berdalil dengan hadis Abu Hurairah bahawa Nabi SAW telah bersabda:
قَالَ رَجُلٌ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ، لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ زَانِيَةٍ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ، عَلَى زَانِيَةٍ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ غَنِيٍّ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ، عَلَى سَارِقٍ وَعَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ، فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ: أَمَّا صَدَقَتُكَ عَلَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عَنْ سَرِقَتِهِ، وَأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عَنْ زِنَاهَا، وَأَمَّا الغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ
Maksudnya: “Seorang lelaki telah berkata: “Aku akan bersedekah dengan suatu sedekah pada malam ini, kemudian ia keluar dengan sedekahnya lalu diberikan pada seorang pencuri (dalam keadaan ia tidak mengetahuinya). Pada waktu pagi, ramai orang berkata: Seorang pencuri telah menerima sedekah. Lelaki itu berkata: “Wahai Allah, segala puji bagimu aku akan bersedekah dengan suatu sedekah.” Kemudian ia keluar dengan sedekahnya, lalu diberikan pada wanita penzina. Pada waktu pagi, ramai orang berkata: Seorang penzina telah menerima sedekah malam tadi. Kemudian lelaki itu berkata: “wahai Allah, segala puji bagi-Mu, aku akan bersedekah dengan suatu sedekah.” Kemudian ia keluar dengan sedekahnya, lalu diberikan pada orang kaya. Pada waktu pagi, ramai orang berkata: Seorang yang kaya telah menerima sedekah malam tadi. Kemudian lelaki itu berkata “Ya Allah bagiMu segala puji, pada wanita penzina, pada pencuri dan pada orang kaya.” Kemudian pada waktu tidurnya ia bermimpi bahawa dikatakan kepadanya: Adapun sedekah engkau pada pencuri, mudah-mudahan dapat memelihara dirinya, sehingga tidak mencuri lagi. Sedekah engkau terhadap penzina, mudah- mudahan boleh memelihara dirinya dari perbuatan zina dan sedekah engkau pada orang kaya, mudah-mudahan menjadi pelajaran baginya, sehingga ia mahu menginfakkan harta yang telah dianugerahkan Allah kepadanya.
Riwayat al-Bukhari (1421) dan Muslim (1022)
Oleh sebab itu, Nabi SAW telah berkata kepada orang yang telah meminta zakat: “Jika engkau termasuk kelompok itu (orang yang berhak menerima zakat), maka aku akan memberikan hakmu itu.” Dan Nabi telah memberi kepada dua orang lelaki yang sihat sambil berkata: “Jika engkau berdua berkehendak, maka aku akan memberi zakat kepada engkau berdua, akan tetapi tidak ada bahagian dalam zakat buat orang kaya dan buat orang yang kuat fizikal dan berkemampuan.” Sekiranya Baginda mengambil kira hakikat kaya, maka sudah tentu tidak berpada dengan ucapan mereka berdua, sebagaimana keterangan dalam kitab al-Mughni (2/667).
Bertentangan dengan pandangan itu, golongan yang mempunyai pandangan yang longgar ini terdapat segolongan ulama yang mempunyai pandangan yang lebih ketat iaitu tidak dianggap cukup menyerahkan zakat kepada orang yang tidak berhak, apabila jelas baginya kesalahan memberi itu; dan wajib baginya untuk menyerahkan zakat sekali lagi kepada orang yang berhak. Kerana yang pertama ia menyerahkan yang wajib kepada orang yang tidak berhak, sehingga tidak lepas dari beban, sebagaimana hutang piutang manusia.
Mazhab Syafie lebih cenderung pada pendapat yang memperketatkan hal ini sebagaimana terdapat dalam kitab Raudhah (2/328) dan yang lain.
Dalam mazhab Ahmad, apabila seseorang mengeluarkan zakat kepada orang yang dikira fakir, tetapi ternyata dia itu kaya; maka terdapat dua riwayat. Pertama: dianggap sah, dan yang kedua: dianggap tidak sah. (Lihat al-Mughni, 2/668) Namun, apabila jelas orang yang mengambil zakat itu hamba, atau kafir, atau Bani Hasyim atau keluarga pembayar zakat yang merupakan orang-orang tidak berhak menerima zakat, maka jelas tidak sah menyerahkan zakat kepada mereka, dan hanya terdapat satu riwayat sahaja mengenai hal ini, kerana ada kesulitan untuk mengetahui dan membezakan orang fakir daripada orang kaya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ
Maksudnya: “Mereka itu disangka orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.”
(Surah al-Baqarah: 273)
Terdapat juga golongan pertengahan yang memperinci dan membezakan antara bentuk- bentuk yang ada, lalu mereka membolehkan sebahagiannya dan tidak membolehkan sebahagian yang lain. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/219 -221)
Justeru, kami katakan, berilah zakat kepada Baitul Mal atau pusat zakat negeri masing-masing kerana ia lebih aman dan selamat daripada berlakunya kesilapan.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”