Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud niat ketika menunaikan ibadat zakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ
Maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itu adalah agama yang benar.”
(Surah al-Bayyinah: 5)
Imam al-Qurthubi berkata: Firman Allah SWT dalam ayat yang lain “قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ” yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”. [al-Zumar:11]. Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Hal ni kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/144)
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ.
Maksudnya: “Tiap-tiap amalan harus disertai dengan niat.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)
Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung ( العبادة المقصودة) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat. Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wudhu’ dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafi’i dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat. (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al Nawawiyyah, hlm. 13).
Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah ‘Uyun al-Akhyar, hlm. 6). Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.
Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1080).
Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:
- Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).
- Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).
Berkenaan persoalan di atas, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Jika tidak disertakan dengan niat, sama ada kerana jahil ataupun lupa, maka pengeluaran zakat dianggap tidak memenuhi syarat kerana sifat jahil dan lupa untuk berniat membawa maksud pengeluaran sesuatu zakat itu dilakukan tanpa niat ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Perbuatan tersebut seumpama beramal tanpa matlamat dan umpama tubuh tanpa nyawa. Niat menjadi wajib sama ada ketika seseorang itu menunaikan zakat bagi dirinya sendiri atau bagi pihak orang lain yang dia menguruskan hartanya seperti kanak-kanak, orang gila ataupun safih iaitu orang yang tidak mampu mentadbir harta kerana jahil dan akal yang lemah yang dihalang daripada menguruskan hartanya sendiri (mahjur ‘alaih) dengan dia berniat menunaikan kewajipan zakat pada hartanya atau pada harta pihak yang diuruskannya. (Lihat Hasyiyah al-Sawi, 1/235) Apabila wali kepada kanak-kanak atau orang gila menyerahkan zakat harta mereka tanpa disertai dengan niat, maka zakat itu tidak memenuhi syarat dan wali tersebut wajib menggantikannya. (Lihat al-Raudhah, 2/208; Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/273)
Dalam menjawab persoalan di atas juga, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Niat dalam ibadat zakat itu bermaksud pengeluar zakat meyakini bahawa zakat yang dilaksanakan adalah zakat hartanya atau zakat harta bagi pihak-pihak yang berada di bawah pengurusannya seperti harta kanak-kanak dan orang gila. Tempat niat adalah hati kerana tempat semua perkara yang diiktiqadkan terletak di hati. (Lihat al-Mughni, 2/638; Matalib Uli al-Nuha, 2/121)
Niat secara hukmi adalah memadai, sebagaimana yang dinyatakan sebahagian ulama mazhab Maliki. Apabila seseorang itu menghitung harta kekayaannya dan mengeluarkan apa yang wajib daripada hartanya tetapi dia tidak menentukan bahawa harta yang dikeluarkan itu adalah zakat, namun jika ditanya dia akan mengatakan ianya zakat, maka ini dianggap memenuhi syarat. (Lihat Hasyiyah al-Sawi, 1/235)
Apabila seseorang itu biasa memberi kepada seseorang satu dinar setiap tahun, kemudian dia berniat satu dinar yang diberikan itu adalah zakat, dan orang yang diberikan itu termasuk daripada orang yang berhak menerima zakat, maka ia tidak dianggap memenuhi syarat, kerana tidak ada niat yang bersungguh-sungguh, ataupun yang bersifat hukumiah. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/500)
Niat inilah yang membezakan antara ibadat zakat dengan ibadat-ibadat yang lain. Ulama fiqh mensyaratkan penerimaan ibadat zakat di sisi Allah SWT adalah mesti disertakan dengan niat, tanpa niat zakat tidak diterima di sisi Allah SWT. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/275)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”