Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah share video Tiktok tentang posting kuliah tentang tanggungjawab suami dan menzalimi isteri, dikatakan membuka aib suami? Walaupun hakikatnya ia benar berlaku.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu Muslim atau bukan Muslim. Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpamaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.
Allah SWT berfirman:
وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ
Maksudnya: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”
(Surah al-Hujurat: 12)
Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman dengan tegas kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk menjauhi daripada banyak bersangka buruk terhadap sesama manusia. Ini termasuk tuduhan palsu dan pengkhianatan terhadap keluarga, kerabat, dan orang lain tanpa alasan yang benar. Sebahagian daripada hal tersebut dapat menjadi dosa, maka hendaklah dihindari sebanyak mungkin sebagai tindakan pencegahan. Allah SWT juga berfirman: ‘Dan janganlah ada di antara kalian yang mencela yang lain.’ Di sini terdapat larangan terhadap ghibah (mengumpat). Ghibah diharamkan secara ijma’ dalam agama. Tidak ada pengecualian kecuali jika terdapat alasan yang kuat berdasarkan kepentingan dan maslahah, seperti dalam hal memberikan kesaksian tentang kecacatan dan sifat buruk dalam konteks pengadilan atau memberikan nasihat yang baik.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/377)
Al-Syaukani menyebutkan, Allah SWT memisalkan ghibah (mengumpat) dengan memakan bangkai seseorang. Ini kerana, bangkai sama sekali tidak tahu siapa yang memakan dagingnya. Ini sama halnya dengan orang yang hidup juga tidak mengetahui siapa yang mengumpat dirinya. Demikianlah keterangan daripada al-Zajjaj. (Lihat Fath al-Qadir, 8/132).
Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (LihatTafsir al-Maraghi, 26/139)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa seseorang yang berkongsi posting sedutan kuliah tentang tanggungjawab suami dan menzalimi isteri tidak dikatakan membuka aib suami, meskipun pada hakikatnya ia benar-benar berlaku.
Hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan berkongsi dan menyampaikan ilmu. Bahkan Nabi SAW pernah bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.”
Riwayat al-Bukhari (3461)
Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini menuntut kita untuk menyampaikan satu ayat daripada al-Quran walaupun ayat tersebut pendek. Hadith ini juga boleh difahami bahawa Nabi SAW juga menuntut kita untuk menyampaikan hadith-hadith Baginda SAW. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/360).
Sekalipun begitu, perkara yang perlu diberi perhatian, contoh-contoh yang diberikan dalam potongan sedutan kuliah atau video perkongsian ilmu itu adalah bersifat umum dan bukannya khusus, serta tidak bertujuan untuk mengenakan orang lain. Jika semua perkara ini dipenuhi, maka tidak syak lagi ia adalah dibolehkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”