#748 Memakan Landak Laut

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum memakan landak laut? Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244)

Definisi landak laut

Landak laut ialah haiwan laut yang berkaitan dengan tapak sulaiman dan sand dollar. Dari segi pengelasan saintifik, landak laut tergolong dalam filum Enchinodermata, kelas Echinoidea. Landak laut mempunyai badan berbentuk bola yang diliputi duri panjang yang boleh bergerak. Plat rangka yang rapat melekat terletak di bawah kul haiwan ini dan membentuk cangkerang yang dikenali sebagai test. Duri tersebut melekat pada test. Sesetengah landak laut yang terdapat di terumbu karang mempunyai duri tajam yang berbahaya kepada penyelam. Landak laut berwarna hitam, perang, hijau, ungu, merah atau putih. Diameternya dari lima sentimeter hingga 12 sentimeter. la hidup dalam lautan di seluruh dunia.

Landak laut memakan kebanyakannya tumbuh-tumbuhan yang terdapat pada batuan dan di dasar laut. Mulut landak laut terletak di bahagian bawah badannya. Haiwan ini mencakar makanan dengen lima giginya yang boleh bergerak. Sesetengah landak laut boleh mengorek lubang pada batuan dengan giginya. Landak bergerak dengan menolak durinya atau menggunakan kaki tiub bak tentakel, yang mempunyai cakera penghisap di hujungnya. Kaki tiub ini juga boleh berfungsi dalam pernafasan dan sebagai organ deria. Sesetengah landak laut menggunakan kaki tiub untuk meliputi dirinya dengan cangkerang lama dan rumpai air untuk bersembunyi daripada tapak sulaiman dan pemangsa-pemangsa lain. Organ pembiakan landak laut boleh dimakan. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 12/70)

Hukum landak laut

Pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548)

Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Dawud (83), al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’ie (59)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa landak laut adalah halal untuk dimakan kerana ia termasuk dalam jenis haiwan air. Oleh itu, ia dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.

Lebih-lebih lagi, fakta juga menunjukkan bahawa landak laut adalah haiwan yang dimakan oleh kebanyakan manusia di banyak tempat,[1] dan mendapat permintaan yang tinggi di Jepun.[2] Malah, di negara kita juga terdapat restoran yang menyediakan masakan berasaskan landak laut ini, terutamanya restoran masakan Sabah.[3] Kesemuanya ini menguatkan lagi hujah yang menunjukkan kepada kehalalannya iaitu ia selamat untuk dimakan dan tidak memudaratkan pemakannya serta tidak termasuk dalam haiwan yang dianggap jijik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://www.travelgluttons.com/eat-sea-urchin/. Diakses pada 27 Mac 2022.

[2] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=E_ByACk9pjU. Diakses pada 27 Mac 2022.

[3] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=j2eXglCnloo. Diakses pada 27 Mac 2022.