#7482: Suami Wajib Bayar Gaji Urus Rumahtangga kepada Isteri? 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sebelum ini saya ada terdengar yang mengatakan setiap apa yang dilakukan oleh isteri seperti mencuci baju, mengemas rumah, memasak, menjaga anak dan sebagainya perlu diberi gaji atau bayaran. Untuk pengetahuan ustaz, saya tidak pernah membayar gaji setiap bulan atau hari yang isteri saya. Saya juga tidak mampu untuk memberi gaji yang sepatutnya kepada isteri atas ketidak mampuan saya di dalam hal ini. Hasil pendapatan saya habis di dalam membelanjakan hal berkaitan rumah, bahan mentah, kenderaan, simpanan anak-anak serta wang untuk pulang kekampung setahun sekali arau 2 kali setahun. Persoalannya ialah adakah benar isteri perlu dibayar upah setiap pengurusan rumahtangga yang dilakukan dan jika suami tidak mampu bayar, adakah ia dikira hutang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. ( Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274 )

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Nabi SAW turut bersabda:

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rabbmu mempunyai hak atasmu, dan jiwamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu, maka berilah setiap hak kepada orang yang berhak.”

Riwayat al-Bukhari (2139)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah, pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Begitu juga keperluan semasa mengikut ‘uruf masa kini seperti, handphone yang bersesuaian yang menjadi alat penghubung utama ketika ini.

Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Malah, ianya termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipikul oleh suami. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:

وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

(Surah al-Baqarah: 233)

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/634 )

Dalam permasalahan nafkah, ianya perlu difahami dengan baik. Hal ini kerana, nafkah adalah suatu elemen yang penting dalam perkahwinan yang dimasukkan di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.

Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para fuqaha’ membahagikan kepada tiga golongan suami, yang senang, sederhana dan susah. Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/283

Nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri sepertimana yang dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini ketika beliau menjelaskan: “Hak-hak isteri yang wajib suami tunaikan ada tujuh perkara iaitu:

  • Makanan ruji,
  • Lauk pauk dan daging,
  • Pakaian,
  • Alat-alat membersihkan diri,
  • Barang-barang perkakas rumah,
  • Rumah/Tempat tinggal,
  • Pembantu rumah (khadam), jika isteri itu memerlukannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 5/151)

Semua ini perlu diberikan oleh suami kepada isteri menurut kemampuan dan taraf kehidupan dirinya. Allah SWT berfirman:

وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

(Surah al-Baqarah: 231)

Imam Ibn Kathir pula menyatakan bahawa perkataan bil ma‘ruf (بِالْمَعْرُوفِ) di dalam ayat di atas menunjukkan adat kebiasaan yang dilakukan oleh si isteri mengikut negeri asalnya dengan tidak melampau atau berlebihan, serta tidak membebankan si suami. Pemberian ini mestilah berdasarkan kemampuan dan taraf ekonomi si suami sama ada dia kaya, sederhana atau miskin. (Lihat Tafsir Qur’an al-‘Azim, 1/634)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan suami wajib memberi nafkah kepada isteri mengikut kemampuannya. Sekiranya si suami sudah memenuhi kesemua nafkah yang wajib diberikan kepada isteri dan anak-anak, tetapi si suami tetap memberi duit bulanan, itu dianggap sebagai ihsan suami kepada isteri. Berkenaan isu gaji, hakikatnya tiada istilah gaji kepada isteri dalam menguruskan rumahtangga kerana masing-masing ada peranan dalam menguruskan rumahtangga dan saling bantu-membantu. Oleh itu, ia tidak dikira hutang, kerana perkara yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya adalah nafkah (zahir dan batin) sepertimana yang telah kami sebutkan di atas.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

(Surah al-Furqan: 74)