#7483: Kisah Mimpi Uthman ibn Affan R.A

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Saya ada terdengar satu ceramah yang mengatakan Saidina Uthman R.A pernah bermimpi Rasulullah SAW. Boleh dato ceritakan secara ringkas, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Mimpi

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, mimpi merupakan sesuatu yang seolah-olah dialami atau dilihat seorang sewaktu tidurnya. Ia merupakan hal keadaan yang biasa berlaku kepada manusia.

Terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seseorang Muslim. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadith daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

 Riwayat Ibn Majah (3907)

Daripada hadith di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  • Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.
  • Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.

Guru kami, Syeikh Atiyyah Salim Rahimahullah ketika menafsirkan 46 bahagian kenabian menyebut, ini kerana kerasulan Nabi SAW selama hampir 23 tahun sedangkan muqaddimah kenabian melalui mimpi hampir 6 bulan. Justeru, 6 bulan daripada 23 tahun bersamaan 1/46. Wallahu a’lam.

Kisah Mimpi Uthman ibn Affan R.A

Saidina ‘Uthman RA menyebut tatkala di akhir detik-detik kehidupannya:

‎إِنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَنَامِ اللَّيْلَةَ. فَقَالَ : يَا عُثْمَانُ ، أَفْطِرْ عِنْدَنَا.

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat Rasulullah SAW pada suatu malam. Lalu Baginda bersabda: Berbukalah bersama kami. ‘Wahai ‘Uthman!”

Riwayat Ibn Abi Syaibah (30510) dalam al- Musannaf dan Ibn Hibban (6919)

Di sini menunjukkan keyakinan Khalifah ‘Uthman RA untuk mati syahid sebagaimana yang pernah dijanjikan oleh Rasulullah SAW.

Pagi hari Jumaat tanggal 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah, akhirnya pihak pemberontak melanggar benteng pertahanan yang dibentuk oleh pemuda sahabat RA yang bertahan melindungi Khalifah. Sehingga ramai daripada kalangan mereka yang mendapat kecederaan akibat tindakan yang dilakukan para pemberontak tersebut.

Gerombolan itu akhirnya berjaya memasuki rumah ‘Uthman R.A dalam keadaan beliau sedang memegang al-Quran. Antara mereka ialah Muhammad bin Abi Bakar, anak sahabat ulung Khalifah Abu Bakar R.A yang termakan fitnah surat palsu. Beliau tampil memegang janggut ‘Uthman R.A. Tiba-tiba, ‘Uthman R.A berkata:

‎لَقَدْ أَخَذْتَ مِنِّي مَأْحَدًا أَوْ قَعَدْتَ مِنِّي مَقْعَدًا مَا كَانَ أَبُو بَكْرٍ لِيَأْخُذَهُ أَوْ لِيَقْعُدَهُ.

Maksudnya: “Kamu telah menempatkanku pada satu posisi dan mendudukkanku pada tempat duduk yang tidak mungkin dilakukan oleh ayahmu sebegini.” (Lihat Tarikh Khalifah bin Khayyat, hlm. 174)

Hal tersebut menyebabkan beliau terkejut sehingga terjatuh tangannya, lantas beliau pun berundur dari tempat kejadian.

Terdapat riwayat yang mengatakan bahawa individu yang bertindak membunuh ‘Uthman R.A ialah dua orang yang datang dari Mesir. Namun, ada riwayat lain menyatakan bahawa pembunuh ‘Uthman R.A ialah seorang lelaki Yahudi, ‘Abdullah bin Saba.

Maka, gugurlah sahabat yang agung ini sebagai seorang syahid, dalam usia 82 tahun dan telah memimpin negara selama 12 tahun. Beberapa orang sahabat menguruskan jenazahnya, lalu disembahyangkan oleh sebahagian sahabat yang ulung dengan berimamkan al-Zubair bin al-‘Awwam R.A.

Jenazahnya kemudian dikebumikan pada malam Sabtu antara waktu Maghrib dengan Isya’ di Perkuburan al- Baqi, Madinah al- Munawwarah.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan mimpi Rasulullah SAW, anda boleh mendapatkan buku terbaharu kami bertajuk, “Mengungkap Rahsia Mimpi,” di link bawah:

https://pck.onpay.my/order/form/rahsiamimpi/188

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam.