#7485:  Hikmah di Sebalik Larangan Bermusafir Kecuali ke Masjidil Haram, Masjid Nabawi, dan Masjid al-Aqsa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, Boleh bagi syarah berkenaan hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”. (Riwayat al-Bukhari (1189) Kenapa perlu kepada larangan sedemikian Dato‘? Terima kasih Dato’ Seri. Semoga sentiasa di dalam rahmat Allah. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kita dituntut untuk tidak menyusahkan diri dalam bermusafir melainkan pada tiga buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram, masjid al-Nabawi dan juga masjid al-Aqsa berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa.”

Riwayat al-Bukhari (1189)

Melihat kepada hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan kelebihan dan fadhilat yang terdapat pada masjid Nabawi dan kelebihan ini tidak terdapat di masjid-masjid yang lain melainkan masjid al-Haram dan masjid al-Aqsa. Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan nas atau teks hadith yang menceritakan akan kelebihan sebagaimana yang disebutkan di atas:

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa secara umum, islam tidak menganjurkan perjalanan khusus atau bernazar hanya untuk beribadah di tempat selain tiga masjid yang disebutkan dalam hadith, iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi, dan Masjid al-Aqsa. Larangan ini bertujuan untuk menghindari berlakunya sebarang amalan bid‘ah atau penambahan dalam agama yang dapat mengakibatkan pengagungan terhadap tempat-tempat yang tidak ditentukan oleh syariat. Sebaliknya, perjalanan ibadah hendaknya difokuskan kepada tempat-tempat yang diberkati dan disyariatkan sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya SAW.

Al-Subki menyatakan bahawa: Tiada satu pun tempat di bumi ini yang tanahnya memiliki keutamaan sehingga perlu dikunjungi secara khusus, kecuali tiga tempat. Selain daripada ketiga-tiga tempat tersebut, tidak perlu dikunjungi kerana keistimewaan lokasinya, melainkan untuk tujuan menuntut ilmu, berjihad, berdamai, atau seumpamanya. Maka, tujuan kunjungan tersebut bukanlah kepada tempat itu sendiri, tetapi kepada orang atau perkara yang ada di tempat tersebut. (Lihat al-Tausyih Syarh al-Jami’ al-Sahih, 3/1018)

Antara Keistimewaan masjid-masjid tersebut telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan  daripada Ibn al-Zubair R.A, katanya: Bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا اَلْمَسْجِدَ اَلْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي اَلْمَسْجِدِ اَلْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةٍ فِي مَسْجِدِي بِمِائَةِ صَلَاةٍ

Maksudnya: “Satu kali solat di masjidku lebih utama dari seribu kali solat di tempat lain, kecuali Masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih utama daripada solat di masjidku ini dengan seratus kali solat.”

Riwayat Ibn Majah (1406) dan Ahmad (14694). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Musykil al-Athar (599)

Sesungguhnya gandaan satu solat di Masjid Nabawi atas masjid-masjid yang lain sekitar seribu kali solat kecuali Masjid al-Haram. Adapun Masjid al-Haram, maka keutamaannya atas Masjid Nabawi adalah seratus kali solat. Maka gandaan Masjid al-Haram atas masjid-masjid yang lain, selain Masjid Nabawi adalah seratus ribu kali solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 4/202)

Selain itu menurut Ibn Baz beliau menyatakan: Tiga masjid ini adalah tempat yang boleh dilakukan perjalanan untuk solat dan ibadah, serta untuk ibadah haji di Masjidil Haram. Adapun selain tiga masjid ini, seperti masjid-masjid lain, tempat-tempat tertentu, dan kubur, tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk perjalanan ibadah. Tidak dibolehkan mengadakan perjalanan khusus ke mana-mana tempat, baik itu perkuburan, padang pasir, Gunung Thur yang merupakan tempat Allah berbicara dengan Nabi Musa, atau tempat-tempat lain. Ketika Abu Hurairah melakukan perjalanan ke Gunung Thur, Busrah bin Abi Busrah al-Ghifari menegur beliau dan berkata, Jika kamu tahu, kamu tidak akan melakukan perjalanan itu, kerana Nabi SAW bersabda: Janganlah dilakukan perjalanan kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku ini, dan Masjid al-Aqsa. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 14/49)

Justeru, dapat difahami melalui hadith di atas adalah melakukan perjalanan khusus ke tempat-tempat selain daripada tiga masjid ini semata-mata untuk tujuan solat atau beribadah adalah dilarang oleh syarak. Adapun kegiatan selain solat tidak termasuk dalam larangan ini, maka perjalanan boleh dilakukan ke mana-mana tempat untuk tujuan. Yang demikian sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Amin al-Syanqiti. Menurut Ibn Batal pula larangan yang dinyatakan dalam hadith tersebut adalah apabila ia dilakukan dengan niat nazar. (Lihat Adwa’ al-Bayan fi Idah al-Quran bi al-Quran, 8/341,  Masabih al-Jami’, 3/163)

Sebagai kesimpulan, Islam mengajarkan bahawa perjalanan khusus untuk beribadah hanya boleh ditujukan kepada tiga masjid utama, iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi, dan Masjid al-Aqsa, seperti yang disebutkan dalam hadith. Larangan untuk melakukan perjalanan khusus bagi tujuan mengagungkan atau beribadah di tempat selain daripada tiga masjid utama ini bertujuan untuk mencegah amalan yang boleh membawa kepada pengagungan tempat-tempat lain yang tidak disyariatkan dalam Islam. Hanya tiga masjid ini yang diberi keutamaan khusus, manakala tempat-tempat lain boleh dikunjungi untuk tujuan yang diharuskan seperti menuntut ilmu atau menziarahi dan sebagainya, yang bukan semata-mata untuk beribadah.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim, hendaklah kita memastikan bahawa tujuan perjalanan yang dilakukan selari dengan tuntutan syariat, dengan mengutamakan tempat-tempat yang diberkati sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Wallahu A‘lam