Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibenarkan di sisi Islam untuk seseorang itu menukar nama kepada nama yang lebih baik? Sebagai contoh, ayah suatu ketika dahulu hendak memberi makna nama saya sebagai “Hamba Allah,” maka dia berikan nama saya Dollah berbanding Abdullah. Bolehkah saya tukar kepada Abdullah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertama sekali, kami pernah mengulas isu pertukaran nama di sisi Islam dalam artikel-artikel kami sebelum ini. Saudara dicadangkan merujuk artikel bertajuk: “Menukar Nama Kerana Terlalu Berat” dan juga artikel: “Menukar Nama.”
Sebagaimana yang dapat kami simpulkan terlebih dahulu menerusi kedua-dua artikel di atas, Islam sememangnya menganjurkan pemberian nama yang terbaik kepada anak-anak serta zuriat keturunan. Ini jelas sebagaimana yang dibawakan oleh Abu al-Darda’ R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”
Riwayat Abu Daud (4948) dan Ahmad (21693)
Hadith ini pada dasarnya bertaraf dha‘if, sebagaimana yang dihukumkan Syeikh al-Albani. Imam Abu Daud mengatakan bahawa salah seorang perawi bernama Abdullah bin Abi Zakariyya tidak pernah mendengar riwayat hadith dari Abu al-Darda’ R.A. (Lihat Sunan Abi Daud, 4/287)
Meskipun hadith ini lemah, tuntutan untuk memberikan nama yang elok ini dapat dilihat dalam banyak riwayat lain yang diterima sebagai hujjah. Antaranya, seperti dalam riwayat Basyir bin Ma‘bad bin Khassasiyyah mawla Rasulullah SAW yang menceritakan bahawa beliau pernah bertemu Rasulullah SAW dalam keadaan namanya masih kekal seperti zaman Jahiliyyah, iaitu Zahm (زَحْمٌ).[1] Rasulullah SAW bersabda:
مَا اسْمُكَ؟ قَالَ: زَحْمٌ، قَالَ: بَلْ، أَنْتَ بَشِيرٌ
Maksudnya: “‘Siapakah nama engkau?’ Basyir menjawab: ‘Zahm’ (membawa makna sibuk). Baginda bersabda: ‘Bahkan, nama engkau sekarang adalah Basyir’ (membawa makna berita gembira).”
Riwayat Abu Daud (3230), Ahmad (21956) dan al-Bukhari (830) dalam al-Adab al-Mufrad.
Al-‘Allamah Badruddin al-‘Aini menukilkan kalam imam al-Tabari, katanya: “Tidak sepatutnya seseorang diberikan nama yang mempunyai makna yang buruk atau nama yang bererti memuji atau memuliakan diri sendiri, atau nama yang bermaksud celaan dan penghinaan. Sebaliknya, nama yang sepatutnya diberikan adalah yang mempunyai makna yang benar dan jujur.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/208)
Melihat kepada situasi yang saudara ajukan, memandangkan nama Abdullah ini merupakan sebaik-baik nama yang disukai oleh Allah SWT, kami berpendapat sebaiknya nama tersebut diubah ejaannya kepada yang lebih baik. Ibn ‘Umar R.Anhuma menyampaikan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya nama-nama kalian yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan ‘Abd al-Rahman.”
Riwayat Muslim (2132)
Menukarkan nama kepada yang lebih baik itu juga termasuk dalam sunnah yang baik. Imam Ibn al-Mulaqqin berkata: “Seperti yang telah disebutkan, Rasulullah SAW suka menukar nama yang buruk kepada nama yang lebih baik sebagai satu bentuk sikap optimis dan keberkatan, kerana Baginda menyukai tanda-tanda yang baik, bahkan thabit bahawa Rasulullah SAW telah menukar beberapa nama.” (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 28/614)
Begitu juga Imam al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan ketika mensyarahkan hadith-hadith tentang penukaran nama oleh Rasulullah SAW, ini menunjukkan bahawa penukaran nama kepada yang lebih baik dan lebih sesuai adalah digalakkan sebagai satu bentuk nasihat dan dorongan. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim, 7/16)
Kesimpulan
Natijah dari perbincangan di atas, sekali lagi kami katakan bahawa penukaran nama asal kepada nama yang lebih baik amat digalakkan, sekiranya nama asal tersebut mempunyai ciri-ciri yang ditegah serta dilarang oleh syara‘.
Urusan pembetulan maklumat atau pindaan butiran kad pengenalan serta surat beranak boleh dilakukan di mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Semoga penerangan ringkas ini dapat membantu saudara merungkai persoalan yang diajukan, seterusnya memberikan manfaat kepada masyarakat Islam Malaysia secara umumnya.
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Nota hujung:
[1] Zahm (زَحْمٌ) di dalam bahasa Melayu bermaksud sesak, manakala Basyir (بَشِيرٌ) bermaksud pembawa berita gembira.