Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah dato ceritakan kisah mimpi Malik Bin Dinar tentang seorang yang derhaka kepada ibunya? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”
(Surah al-Isra’: 23)
Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)
Mimpi Malik bin Dinar Tentang Seorang yang Derhaka Kepada Ibunya
Kisah ini diriwayatkan oleh Jaafar ibn Sulaiman ad-Dubai’ yang diceritakan oleh Malik bin Dinar kepadanya, katanya:
Ketika menunaikan haji, beliau melihat ramai jemaah yang menunaikan haji pada tahun itu. Lalu terdetik di hatinya, “Berapa ramai jemaah yang diterima amalannya untuk aku mengucapkan tahniah dan berapa ramai yang tidak diterima amalannya oleh Allah SWT untuk aku mengucapkan takziah kepadanya.” Pada malam itu, beliau bermimpi seseorang berkata kepadanya, “Wahai Malik bin Dinar, sesungguhnya semua jemaah yang menunaikan haji dan umrah pada kali ini, demi Allah SWT, Allah SWT telah mengampunkan dan menerima amalan mereka semua kecuali seorang lelaki sahaja. Allah SWT amat murka kepa-danya, tidak menerima hajinya dan melemparkannya kembali ke wajahnya.” Beliau merasa khuatir jika lelaki itu adalah dia. Pada malam seterusnya, beliau bermimpi lagi dengan mimpi yang sama namun suara itu berkata, “Lelaki itu bukanlah kamu, lelaki itu berasal dari bandar Balkh, Khurasan dan namanya Muhammad bin Harun al-Balkhi. Allah SWT amat murka sekali kepadanya. Allah SWT tidak menerima hajinya dan melemparkannya kembali ke wajahnya.”
Apabila waktu pagi, beliau keluar mencari insan itu lalu menemui orang-orang Balkh dan bertanyakan, “Adakah kamu semua kenal dengan lelaki bernama Muhammad bin Harun?” Mereka membalas, “Bakh! Bakh! (Baik lagi bagus!), wahai Malik bin Dinar, kamu bertanya tentang seorang lelaki paling baik dan tiada di Khurasan seorang pun yang lebih banyak beribadah dan lebih zuhud melain- kan dia.” Malik bin Dinar amat takjub dengan indahnya puji-pujian mereka terhadap insan itu padahal apa yang beliau dengar di dalam mimpi adalah amat berbeza.
Lalu Malik bin Dinar menuju ke arah kawasan rumah-rumah usang dan mendapati Muhammad bin Harun al-Balkhi sedang berdiri di belakang dinding. Tangan kanannya putus dan tergantung di lehernya. Tulang selangkanya telah ditebuk dan diikat dengan rantai besi dan digari pada kakinya. Lantas beliau berkata, “Siapa kamu wahai tuan?” “Aku Malik bin Dinar”. Dia bertanya lagi, “Wahai Malik bin Dinar, mengapa kamu datang ke mari, adakah kamu mendapat suatu mimpi? Ceritakan mengenainya kepada aku.” Jawab Malik bin Dinar “Aku malu untuk berjumpa kamu tambahkan pula menceritakannya mimpiku ini kepada kamu.” Dia menjawab, “Usah malu.” Lalu Malik bin Dinar menceritakan apa yang dialami dalam mimpinya, lalu dia menangis begitu lama. Selepas itu dia berkata, “Wahai Malik bin Dinar, kisah mimpi ini diceritakan kepadaku sejak 40 tahun lepas, setiap tahun akan ada seorang lelaki alim seperti kamu bermimpi bahawa aku termasuk dalam penghuni neraka.”
Malik bin Dinar terus bertanyakan kepada beliau, “Adakah kamu telah lakukan suatu dosa yang besar terhadap Allah SWT?” Dia menjawab, “Ya, dosaku lebih besar daripada segala langit, bumi, gunung-ganang, Arasy dan Kursi.” Malik bin Dinar membalas, “Ceritakan mengenainya kepadaku agar aku dapat memberi peringatan kepada manusia yang tidak mengetahuinya”.
Dia mula bercerita, “Wahai Malik bin Dinar, aku dahulunya sangat suka minum arak, pada suatu hari aku meneguknya bersama-sama seorang rakan sehingga aku mabuk dan hilang akal. Aku pulang ke rumah dan aku dapati ibuku sedang menyalakan api di pendíangan (fireplace) kepunyaan kami. Melihatkan aku terhuyung-hayang akibat mabuk, ibu datang ke arahku dan menasihatkan kepadaku, kata ibu “Wahai anakku, petang ini petang terakhir Sya’ban dan malam ini malam pertama Ramadhan, esok semua orang Islam akan berpuasa tetapi kenapa kamu masih lagi mabuk? Tidakkah kamu malu kepada Allah SWT?” Dengan perasaan marah, aku mengangkat tangan lalu menampar mukanya. Lantas ibu berkata, “Wahai anakku, adakah kamu mahu ditimpa celaka?” Kata-kata itu membuatkan aku menjadi amat geram dan marah. Akhirnya, dengan perasaan amarah yang meluap-luap, aku mengangkat ibuku lalu aku campakkannya ke dalam tempat nyalaan api yang sedang marak membakar.
Isteriku yang melihat perbuatan itu terus membawaku masuk ke satu bilik dan menutup pintunya. Apabila menjelang tengah malam, aku mulai sedarkan diri daripada mabuk. Lalu aku memanggil isteriku, namun dia menyahut dengan nada yang amat kasar. Aku tanyakan padanya, “Kenapa engkau bersikap kasar, aku tidak pernah melihat engkau sekasar begini?” Isteriku menjawab, “Engkau tidak layak mendapat layanan baik daripada aku. Engkau telah membunuh ibumu sendiri dan engkau telah campak tubuhnya ke dalam tempat nyalaan api hingga dia terbakar rentung.”
Mendengarkan kata isteriku itu, aku tidak dapat mengawal diri lalu menuju ke tempat nyalaan api dan melihat tubuh ibuku seperti sebuku roti yang hangus. Dengan kesedihan dan kekesalan yang teramat sangat, aku terus mencapai kapak, aku letakkan tangan kananku di papan pintu lalu aku tetak sehingga terputus. Aku tebuk lubang di sekitar tulang selangka dan aku masukkan rantai besi ini lalu aku ikat ke kedua kakiku dengan gari besi. Harta aku sebanyak 8,000 dinar, aku sedekahkan semuanya sebelum senja. Aku bebaskan seramai 26 hamba per- empuan dan 23 hamba lelaki yang aku miliki. Aku wakafkan harta aku yang lain di jalan Allah SWT. Aku berpuasa pada siang hari dan melakukan qiyam pada malamnya selama 40 tahun, dan aku tidak berbuka puasa melainkan dengan segenggam kacang kuda. Bahkan, aku juga menunaikan haji pada setiap tahun. Tetapi aku merasa sedih sekali, pada setiap tahun akan datang seorang lelaki alim seperti kamu yang akan menceritakan mimpinya sebagaimana kamu bermimpi bahawa aku termasuk dalam kalangan penghuni neraka.” (Lihat Birr al-Walidain oleh Imam al-Bukhari, hlm. 122-128)
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan mimpi Rasulullah SAW, anda boleh mendapatkan buku terbaharu kami bertajuk, “Mengungkap Rahsia Mimpi,” di link bawah:
https://pck.onpay.my/order/form/rahsiamimpi/188
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a‘lam