#7490: Berkongsi Makanan dan Minuman dalam Satu Bekas yang Sama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum berkongsi makanan dan minuman dalam satu bekas? Kami anak-anak muda biasanya apabila bermusafir bersama, kami akan berhenti di RnR untuk berehat dan makan tengahari dengan bekal yang dibawa. Kami juga biasanya akan berkongsi untuk makan dalam satu talam yang sama dan bergilir-gilir minum dari satu botol yang sama. Namun, salah seorang daripada kami merasa kurang selesa dengan perbuatan ini kerana beranggapan perbuatan itu boleh menyebabkan penularan penyakit. Manakala salah seorang daripada kami yang lain pula menyatakan bahawa berkongsi makanan dan minuman dalam satu bekas adalah sunnah Nabi. Jadi, tidak boleh mencela perbuatan ini. Saya jadi keliru, dan tidak tahu mana yang betul. Boleh ustaz jelaskannya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan kami dengan menegaskan bahawa kebersihan adalah salah satu aspek keindahan yang dituntut secara syarak dalam semua perkara. Syarak yang mulia ini datang untuk meningkatkan tingkah laku individu dan masyarakat ke arah keindahan dan kesempurnaan. Terdapat riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ: إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً، قَالَ: إِنَّ اللهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang dalam hatinya ada seberat zarah daripada sifat sombong. Seorang lelaki bertanya: ‘Sesungguhnya seseorang itu suka jika pakaiannya kelihatan cantik dan sandalnya cantik.’ Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.’

Riwayat Muslim (91)

Selain itu, al-Asbahani turut menjelaskan salah satu aspek keindahan dengan menyatakan, lafaz “يُحِبُّ الْجَمَالَ” adalah merujuk kepada kebersihan. (Lihat al-Targhib wa al-Tarhib, 3/206)

Jika kebersihan yang merupakan salah satu aspek keindahan dituntut oleh syarak dari segi kebersihan tempat, badan, dan pakaian, maka kebersihan dalam makanan dan minuman juga dituntut. Menjadi kewajipan bagi orang beriman untuk memastikan makanan mereka bersih lagi suci. Allah SWT berfirman tentang Ashab al-Kahfi:

فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ

Maksudnya: “Kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah dia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya.”

(Surah al-Kahfi: 19)

Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil (2/292) menjelaskan, perkataan azka (أَزْكَىٰ) bermaksud yang paling halal dan paling baik. Justeru, ia merujuk kepada makanan yang paling halal dan paling baik.

Berkongsi makanan dan minuman dalam satu bekas

Secara umumnya, berkongsi bekas makanan atau minuman adalah dibenarkan dalam syarak. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Syauqi Ibrahim ‘Allam dalam fatwanya dalam Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Beliau berhujahkan dengan perbuatan Abu Hurairah R.A pernah melalui sekumpulan ahli Suffah, lalu beliau memberikan mereka minum susu dari satu bekas atas arahan Rasulullah SAW. Malah, Nabi SAW sendiri meminum lebihan daripada minuman mereka. Ini adalah seperti mana riwayat dalam Sahih al-Bukhari.[1]

Oleh itu, Nabi SAW dan para sahabat yang mulia pernah berkongsi dalam bekas yang sama, yang menunjukkan bahawa perbuatan ini adalah dibolehkan.[2]

Garis panduan (dhawabit) berkongsi makanan dan minuman dalam satu bekas

Kebenaran berkongsi makanan atau minuman dalam satu bekas ini adalah tertakluk kepada keperluan menjaga perasaan mereka yang berkongsi bekas tersebut. Tidak dibenarkan dalam syarak bagi seseorang melakukan perkara yang boleh menyebabkan ketidakselesaan orang lain ketika makan dan minum. Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya daripada riwayat Umar bin Abu Salamah R.A, beliau berkata:

كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ. فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ. فَمَا زَالَتْ تِلْكَ طِعْمَتِي بَعْدُ

Maksudnya: “Aku adalah seorang anak kecil dalam asuhan Rasulullah SAW, dan selalunya tanganku meliar di dalam pinggan. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadaku: ‘Wahai anak, sebutlah nama Allah (yakni bismillah) dan makanlah dengan tangan kananmu, serta makanlah apa yang ada dekat denganmu (daripada juadah).’ Maka, begitulah cara makanku selepas itu (yang tetap menjadi amalanku).

Riwayat al-Bukhari (5376)

Begitu juga Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitab sahihnya, dalam Kitab Makanan, satu bab yang dinamakan, “بَابُ مَنْ تَتَبَّعَ حَوَالَيْ القَصْعَةِ مَعَ صَاحِبِهِ، إِذَا لَمْ يَعْرِفْ مِنْهُ كَرَاهِيَةً” (Bab: Orang Yang Mencari-Cari Makanan Di Tepi Pinggan Bersama Sahabatnya, Sekiranya Dia Tidak Mengetahui Sahabatnya Itu Tidak Menyukai Perbuatan Tersebut). Kemudian Imam al-Bukhari meletakkan hadith di bawahnya, hadith daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

إِنَّ خَيَّاطًا دَعَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَهُ. قَالَ أَنَسٌ: فَذَهَبْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَرَأَيْتُهُ يَتَتَبَّعُ الدُّبَّاءَ مِنْ حَوَالَيِ القَصْعَةِ. قَالَ: فَلَمْ أَزَلْ أُحِبُّ الدُّبَّاءَ مِنْ يَوْمِئِذٍ

Maksudnya: “Seorang penjahit mengundang Rasulullah SAW untuk makan makanan yang disediakannya.” Anas berkata lagi: “Lalu aku pergi bersama Rasulullah SAW dan aku melihatnya mencari-cari labu air yang berada di sudut-sudut pinggan.” Beliau (Anas) berkata: “Maka aku pun suka memakan labu air sejak dari hari itu.”

Riwayat al-Bukhari (5379)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika menjelaskan dua hadith di atas, beliau menyatakan, lafaz “كُلْ مِمَّا يَلِيكَ” (makanlah apa yang ada dekat denganmu) adalah merujuk kepada keadaan di mana makanan tersebut jenis yang sama, kerana setiap orang seperti memiliki bahagian makanannya yang ada di hadapannya. Oleh itu, mengambil bahagian orang lain adalah satu bentuk pengambilan yang tidak dibenarkan, ditambah lagi timbulnya ketidakselesaan bagi jiwa disebabkan tangan yang mencampuri makanan tersebut, dan juga kerana ia menunjukkan sifat tamak dan gelojoh, yang mana ia adalah perilaku kurangnya adab (tidak sopan) tanpa sebarang faedah. Namun, jika jenis makanan itu berbeza, para ulama membenarkan perkara tersebut.

Seterusnya bagi lafaz “إِذَا لَمْ يَعْرِفْ مِنْهُ كَرَاهِيَةً” (Sekiranya dia tidak mengetahui sahabatnya itu tidak menyukai perbuatan tersebut), disebutkan di bawahnya hadith Anas R.A mengenai perbuatan Rasulullah SAW yang mencari-cari labu air dari sudut-sudut pinggan. Ini secara zahirnya dilihat bertentangan dengan arahan yang sebelumnya iaitu mengenai makan dari apa yang dekat dengannya. Justeru, Imam al-Bukhari mengharmonikan antara kedua-dua hadith ini dengan menyatakan maksudnya (yakni ia dapat difahami) bahawa perbuatan itu adalah dibolehkan apabila diketahui orang yang makan bersama kita tidak keberatan/meredhainya. (Lihat Fath al-Bari, 9/523-524)

Adapun dalam situasi di mana seseorang merasa tidak selesa dengan perkongsian tersebut dan tidak menerimanya, maka dibolehkan bagi individu tersebut untuk menggunakan bekas makanannya sendiri, dan tetap boleh bersama dengan orang lain semasa makan dan minum apabila keadaan memungkinkan. Dengan itu, dia tetap akan memperoleh ganjaran dan pahala berkumpul bersama untuk makan dan minum tanpa berkongsi bekas dengan orang lain. Bahkan, dalam keadaan tertentu, mungkin diwajibkan untuk makan secara berasingan jika terdapat kebimbangan mengenai penyebaran jangkitan dari seseorang yang sakit kepada orang yang sihat disebabkan oleh perkongsian tersebut, terutama jika doktor mengesahkan demikian. Dalam hal ini, apa yang telah diperintahkan oleh syarak untuk mencegah dan menjaga kesihatan manusia dapat dilihat dalam apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya daripada riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 لا يُورِدُ مُمْرِضٌ على مُصِحٍّ

Maksudnya: “Orang yang sakit berjangkit tidak boleh membawa penyakit kepada orang yang sihat.

Riwayat Muslim (2221)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, ia mengandungi petunjuk agar menjauhi apa yang biasanya mendatangkan mudarat atau kerosakan menurut takdir dan ketentuan Allah SWT. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/213-214).

Bahkan sebagai mengambil langkah menjaga kesihatan manusia, terdapat beberapa nas yang menunjukkan perlunya berhati-hati dalam sebarang amalan makan dan minum yang boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan. Contohnya, mengenai perbuatan bernafas dalam bekas minuman, sebagaimana riwayat daripada Abu Qatadah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ، وَإِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا تَمَسَّحَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَمَسَّحْ بِيَمِينِهِ»

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu minum, maka janganlah dia bernafas di dalam bekas minuman. Dan jika salah seorang daripada kamu membuang air kecil maka janganlah dia menyentuh kemaluannya dengan tangan kanannya. Dan jika salah seorang daripada kamu beristinja’ maka janganlah dia menggunakan tangan kanannya.

Riwayat al-Bukhari (5630)

Pengharaman  bernafas di dalam bekas adalah kerana ia boleh membawa kemudaratan seperti  boleh menyebabkan  tercekik. Minum dari tiga helaan nafas diluar bekas adalah lebih baik dan lebih menyenangkan. Oleh itu, syariat Islam yang suci hanya memerintahkan yang baik dan melarang terhadap apa yang  membawa kemudaratan. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/446)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa berkongsi bekas makanan dan minuman adalah dibenarkan oleh syarak dengan syarat ia tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan manusia. Seseorang yang merasa tidak selesa untuk berkongsi bekas dengan orang lain, atau yang mengambil kira amalan penjagaan kesihatan yang memberi amaran tentang kemungkinan penularan penyakit akibat perkongsian tersebut, terutama pada masa penyebaran penyakit dan wabak, boleh menggunakan bekas khas untuk dirinya sendiri dan duduk bersama rakan-rakannya apabila keadaan memungkinkannya berbuat demikian. Dengan itu, dia tetap memperoleh ganjaran berkumpul bersama untuk makan dan minum. Namun, sekiranya perkongsian itu mendatangkan mudarat kepada kesihatan dirinya atau orang lain yang berkongsi, maka wajib ke atasnya untuk menggunakan bekas berasingan atau duduk berasingan bagi mengelakkan dan menghalang mudarat ke atas dirinya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Nota Hujung:

[1] Kemungkinan besar hadith yang dimaksudkan adalah hadith (6246) menerusi riwayat Abu Hurairah R.A.

[2] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/21037/حكمالتشاركفيالطعاموالشرابفياناءواحد. Diakses pada 14 November 2024.