#7492: Bernazar Meninggalkan Maksiat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya terlanggar nazar saya untuk onani. Saya teronani, apa patut saya buat ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nazar menurut  Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat membawa erti berjanji janji untuk berbuat sesuatu apabila tercapai hajat.

Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara‘ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan mengaitkannya dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/501)

Hukum menunaikan nazar adalah wajib, ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”

(Surah Al-Hajj: 29)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Ibn Mulaqqin ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa: Bernazar untuk ketaatan wajib dipenuhi menurut pandangan para fuqaha bagi sesiapa yang mampu melakukannya. Walaupun ibadah tersebut sebelum bernazar tidak diwajibkan, nazarnya itu telah menjadikannya wajib ke atasnya, kerana dia telah mengikat dirinya kepada Allah SWT. Sesiapa yang telah mengikat dirinya dengan sesuatu untuk Allah SWT, maka menjadi kewajipan baginya untuk menunaikannya. Dan Allah SWT mencela orang yang mewajibkan sesuatu ke atas dirinya tetapi tidak memenuhinya. (Lihat al-Taudih li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 30/378)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, sebelum membincangkan dengan lebih lanjut kami katakan isu bernazar dalam meninggalkan maksiat merupakan isu yang diperselisihi di kalangan ulama dan kami lebih cenderung kepada pandangan yang mengatakan nazar tersebut tidak sah kerana meninggalkan maksiat merupakan satu perintah yang telah diwajibkan oleh Allah SWT.  Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.”

(Surah Ali ‘Imran: 102)

Imam al-Tabari mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan (اتَّقُوا اللَّهَ) adalah bertakwa kepada Allah SWT dengan mentaatinya dan menjauhi larangannya. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Quran, 5/636)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat (اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ) berkata bahawa sebahagian Salaf mengatakan: “(Bertaqwa itu) dengan mentaati perintahnya dan tidak melakukan larangannya, mengingati-Nya dan tidak melupakan-Nya, serta mensyukuri (nikmat-Nya) dan tidak kufur (nikmat).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/336)

Yang demikian telah kami bincangkan pada artikel #1910: Adakah Sah Nazar Meninggalkan Maksiat?[1]

Oleh itu, tiada kaffarah yang dikenakan bagi nazar yang tidak sah mengikut pandangan yang mengatakan meninggalkan maksiat itu tidak dikira. Yang demikian juga sebagaimana yang dinyatakan dalam Fatawa Syabakah al-Islamiyyah (9/4058) iaitu : Meninggalkan semua maksiat adalah kewajipan menurut syarak. Oleh itu, bagi sesiapa yang bernazar untuk meninggalkan maksiat, pendapat yang lebih kuat menurut majoriti ulama adalah bahawa nazar tersebut tidak sah, kerana ia berkaitan dengan perkara yang sudah wajib. Maka, bagi yang bernazar untuk meninggalkan maksiat, tidak dikenakan kafarah ke atasnya.

Justeru, dalam situasi di atas, kami menyatakan bahawa nazar untuk meninggalkan maksiat adalah tidak sah, kerana meninggalkan maksiat adalah kewajipan. Maka, saudara hendaklah bertaubat kepada Allah SWT atas maksiat yang dilakukan agar diberikan keampunan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Kami juga ingin mengingatkan bahawa tidak sepatutnya seseorang mengaitkan ketaatannya kepada Allah dengan bernazar. Setiap kali dia ingin meninggalkan maksiat, dia bernazar. Sebaliknya, seseorang itu perlu memiliki azam dan kekuatan untuk meninggalkan maksiat tanpa perlu bernazar.

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Wallahua’lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1910-adakah-sah-nazar-meninggalkan-maksiat/ Diakses pada 14 November 2024