Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum seseorang yang sedang mengerjakan tawaf wada’ memberi bantuan dengan menghulurkan minuman kepada jemaah lain? Adakah ia membatalkan tawaf dan dikenakan dam? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tawaf wada’ adalah amat dituntut bahkan ia disaran oleh Rasulullah SAW. Antaranya dapat dilihat melalui hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya (di Makkah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”
Riwayat Muslim (1327)
Imam al-Nawawi berkata, “Hadith ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka wajib membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/79)
Imam al-Nawawi juga berkata: “Ashab kami mengatakan, “Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Mekah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Mekah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al- Muhazzab, 8/254)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa secara umumnya, suatu tawaf itu dianggap sah sekiranya memenuhi kesemua syarat-syaratnya. Antaranya syarat sah tawaf adalah sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141.)
Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ
Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”
Riwayat al-Tirmizi (960)
Hasan bin Ali al-Fayumi menyatakan bahawa: tawaf di Baitullah adalah seperti solat, kecuali Allah membenarkan bercakap ketika melakukannya. Ia disebut sebagai solat, bukan untuk mengubah nama secara bahasa, tetapi untuk memberikan hukum syarak kepadanya. Oleh itu, jika tawaf dikira sebagai solat, maka ia tidak sah tanpa menutup aurat, serta memerlukan kesucian daripada hadas, dan kesucian badan, pakaian, dan tempat tawaf. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ala al-Targhib wa al-Tarhib, 6/89)
Begitu juga hadith daripada Aisyah R.Anha yang mana satu ketika beliau mengadu kepada Rasulullah SAW yang beliau dalam keadaan haid. Maka Rasulullah SAW bersabda:
افْعَلِي كَمَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي
Maksudnya: “Lakukanlah seperti mana yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan ibadah Haji kecuali tawaf di Baitullah (Kaabah) sehinggalah engkau suci.”
Riwayat al-Bukhari (1650)
Oleh itu, memberikan bantuan dengan memberi minum kepada jemaah lain semasa melakukan ibadah tawaf tidaklah membatalkan tawaf tersebut kerana ia tidak melanggar syarat-syarat sah tawaf, seperti menjaga kesucian diri, menutup aurat, dan menyempurnakan bilangan pusingan. Memberi minum adalah amalan baik yang tidak mengganggu rukun tawaf, malah boleh menambah keberkatan ibadah. Justeru, tawaf yang dilakukan tetap sah dan tidak dikenakan dam.
Namun begitu, kami menasihatkan agar kekal fokus semasa melaksanakan ibadah tawaf bagi mengelakkan keraguan dalam menghitung bilangan pusingan, serta dapat memberikan sepenuh perhatian kepada setiap zikir atau bacaan yang dilafazkan ketika tawaf.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ عُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Wallahua’lam