#7495: Suhuf Ibrahim A.S

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz jelaskan berkenaan suhuf Ibrahim? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, Allah SWT telah menyebutkannya dalam al-Quran dalam beberapa tempat, ada yang disebutkan secara mujmal (samar) dan ada juga yang disebutkan secara mubayyan (nyata dan jelas).

Di antara tempat dalam al-Quran yang menyebutkannya secara mujmal adalah seperti:

Firman Allah SWT:

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): ‘Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishaq dan Nabi Ya‘qub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata.’

(Surah al-Baqarah: 136)

Begitu juga firman Allah ‘Azza wa Jalla:

قُلْ آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ عَلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَالنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsma‘il, dan Ishaq, dan Ya‘qub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam).’”

(Surah Ali ‘Imran: 136)

Di antara tempat dalam al-Quran yang menyebutkannya secara nyata lagi jelas adalah seperti:

Firman Allah SWT:

أَعِندَهُۥ عِلْمُ ٱلْغَيْبِ فَهُوَ يَرَىٰٓ ٣٥ أَمْ لَمْ يُنَبَّأْ بِمَا فِى صُحُفِ مُوسَىٰ ٣٦ وَإِبْرَٰهِيمَ ٱلَّذِى وَفَّىٰٓ ٣٧ أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌۭ وِزْرَ أُخْرَىٰ ٣٨ وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَـٰنِ إِلَّا مَا سَعَىٰ ٣٩ وَأَنَّ سَعْيَهُۥ سَوْفَ يُرَىٰ ٤٠ ثُمَّ يُجْزَىٰهُ ٱلْجَزَآءَ ٱلْأَوْفَىٰ ٤١ وَأَنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلْمُنتَهَىٰ ٤٢ وَأَنَّهُۥ هُوَ أَضْحَكَ وَأَبْكَىٰ ٤٣ وَأَنَّهُۥ هُوَ أَمَاتَ وَأَحْيَا ٤٤ وَأَنَّهُۥ خَلَقَ ٱلزَّوْجَيْنِ ٱلذَّكَرَ وَٱلْأُنثَىٰ ٤٥ مِن نُّطْفَةٍ إِذَا تُمْنَىٰ ٤٦ وَأَنَّ عَلَيْهِ ٱلنَّشْأَةَ ٱلْأُخْرَىٰ ٤٧ وَأَنَّهُۥ هُوَ أَغْنَىٰ وَأَقْنَىٰ ٤٨ وَأَنَّهُۥ هُوَ رَبُّ ٱلشِّعْرَىٰ ٤٩ وَأَنَّهُۥٓ أَهْلَكَ عَادًا ٱلْأُولَىٰ ٥٠ وَثَمُودَا۟ فَمَآ أَبْقَىٰ ٥١ وَقَوْمَ نُوحٍۢ مِّن قَبْلُ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ هُمْ أَظْلَمَ وَأَطْغَىٰ ٥٢ وَٱلْمُؤْتَفِكَةَ أَهْوَىٰ ٥٣ فَغَشَّىٰهَا مَا غَشَّىٰ ٥٤ فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكَ تَتَمَارَىٰ ٥٥ هَـٰذَا نَذِيرٌۭ مِّنَ ٱلنُّذُرِ ٱلْأُولَىٰٓ ٥٦ أَزِفَتِ ٱلْـَٔازِفَةُ ٥٧ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ ٱللَّهِ كَاشِفَةٌ ٥٨ أَفَمِنْ هَـٰذَا ٱلْحَدِيثِ تَعْجَبُونَ ٥٩ وَتَضْحَكُونَ وَلَا تَبْكُونَ ٦٠ وَأَنتُمْ سَـٰمِدُونَ ٦١ فَٱسْجُدُوا۟ لِلَّهِ وَٱعْبُدُوا۟ ۩ ٦٢

Maksudnya: “Adakah engkau mengetahui (keburukan) orang yang berpaling (dari menurut kebenaran kerana ia dihasut)? (33). Dan setelah ia memberi sedikit pemberiannya, ia memutuskannya (kerana menurut hawa nafsunya)? (34). Adakah ia mempunyai pengetahuan mengenai perkara yang ghaib sehingga ia dapat mengetahui (bahawa orang lain boleh menghalang gantinya dari apa yang akan menimpanya pada hari akhirat)? (35). Atau belumkah ia diberitahu akan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab Nabi Musa (36) – Dan juga (dalam Kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)? (37). (Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja) (38); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya (39); Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak) (40); Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna (41); Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmulah kesudahan (segala perkara) (42); Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis (43); Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan (44); Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan (45), – Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim) (46); Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati) (47); Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang memberikan (sesiapa yang dikehendakiNya) apa yang diperlukannya dan memberikannya tambahan yang boleh disimpan (48); Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah Tuhan (Pencipta) Bintang Syikra (49); Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang membinasakan kaum ‘Ad yang pertama (kaum Nabi Hud) (50), – Dan kaum Thamud (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorangpun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup (51). Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas (52). Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dia lah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi (53); Lalu (penduduk) bandar-bandar itu diliputi azab seksa yang meliputinya (54). Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)? (55) (Al-Quran) ini adalah pemberi amaran di antara jenis-jenis amaran yang telah lalu! (56) Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat) (57); Tidak ada sesiapa pun selain Allah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara hari kiamat itu (58). Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? (59) Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? (60) Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan? (61) Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepada-Nya (dengan sepenuh-penuh tauhid).

(Surah al-Najm: 33-62)

Manakala dalam Surah al-A‘la, Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ ١٤ وَذَكَرَ ٱسْمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ ١٥ بَلْ تُؤْثِرُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا ١٦ وَٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌۭ وَأَبْقَىٰٓ ١٧ إِنَّ هَـٰذَا لَفِى ٱلصُّحُفِ ٱلْأُولَىٰ ١٨ صُحُفِ إِبْرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ ١٩

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh) (14), Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk) (15). (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia (16); Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal (17). Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu (18), – Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.

(Surah al-A‘la: 14-19)

Ibn Jarir al-Tabari menyatakan, adapun suhuf “الصحف” adalah bentuk jamak (plural) bagi perkataan sahifah “صحيفة” dan apa yang dimaksudkan dengannya ialah: kitab-kitab Ibrahim dan Musa. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 24/377).

Al-‘Allamah al-Amin al-Syanqiti ketika mensyarahkan ayat “وَمَا أُنزِلَ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ” dalam kitabnya, Adhwa’ al-Bayan (1/45), beliau menyatakan, di sini tidak dijelaskan apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim, tetapi ia dijelaskan dalam surah al-A‘la bahawa ia adalah lembaran-lembaran (suhuf), dan antara perkara yang terdapat dalam lembaran-lembaran (suhuf) itu ialah:

بَلْ تُؤْثِرُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا ١٦ وَٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌۭ وَأَبْقَىٰٓ

Maksudnya: “Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia (16). Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

(Surah al-A‘la: 16-17)

Hal itu adalah seperti dalam firman-Nya:

إِنَّ هَـٰذَا لَفِى ٱلصُّحُفِ ٱلْأُولَىٰ ١٨ صُحُفِ إِبْرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ

Maksudnya: “Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu (18), – Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.

(Surah al-A‘la: 18-19)

Bahkan Nabi SAW ada mengkhabarkan kepada kita berkenaan sejarah penurunan kitab-kitab tersebut seperti yang diriwayatkan daripada Wathilah bin al-Asqa‘ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Lembaran-lembaran (Suhuf) Ibrahim A.S diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada hari keenam bulan Ramadhan, Injil diturunkan pada hari ketiga belas bulan Ramadhan, dan al-Furqan (al-Quran) diturunkan pada hari kedua puluh empat bulan Ramadhan.”

Riwayat Ahmad (16984), al-Tabarani (185) dan al-Baihaqi (19121); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad menilainya sebagai dha‘if. Namun, dalam al-Silsilah al-Sahihah (1575) ia dinilai sebagai hasan.

Di sana terdapat dalam beberapa hadith dha‘if dan beberapa athar daripada kalangan tabi‘in, petikan tentang Suhuf Ibrahim yang kebanyakannya diyakini berasal daripada kitab-kitab Bani Israel. Petikan ini — jika sahih — menunjukkan bahawa kandungan utama Suhuf Ibrahim adalah berkaitan hikmah-hikmah dan nasihat/peringatan.

Daud bin Hilal al-Nasibi ada menyebutkan:

مَكْتُوبٌ فِي صُحُفِ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ: يَا دُنْيَا مَا أَهْوَنَكِ عَلَى الْأَبْرَارِ الَّذِينَ تَصَنَّعْتِ لَهُمْ، وَتَزَيَّنْتِ لَهُمْ إِنِّي قَدْ قَذَفْتُ فِي قُلُوبِهِمْ بُغْضَكِ وَالصُّدُودَ عَنْكِ، مَا خَلَقْتُ خَلْقًا أَهْوَنَ عَلَيَّ مِنْكِ، كُلُّ شَأْنِكِ صَغِيرٌ، وَإِلَى الْفَنَاءِ تَصِيرِينَ، قَضَيْتُ عَلَيْكِ يَوْمَ خَلَقْتُ الْخَلْقَ أَلَّا تَدُومِي لِأَحَدٍ، وَلَا يَدُومُ لَكِ أَحَدٌ، وَإِنْ بَخِلَ بِكِ صَاحِبُكِ وَشَحَّ عَلَيْكِ، طُوبَى لِلْأَبْرَارِ الَّذِينَ أَطْلَعُونِي مِنْ قُلُوبِهِمْ عَلَى الرِّضَا، وَأَطْلَعُونِي مِنْ ضَمِيرِهِمْ عَلَى الصِّدْقِ وَالِاسْتِقَامَةِ، طُوبَى لَهُمْ مَا لَهُمْ عِنْدِي مِنَ الْجَزَاءِ إِذَا وَفَدُوا إِلَيَّ مِنْ قُبُورِهِمْ إِلَّا النُّورُ يَسْعَى أَمَامَهُمْ، وَالْمَلَائِكَةُ حَافُّونَ بِهِمْ حَتَّى أَبْلُغَ بِهِمْ مَا يَرْجُونَ مِنْ رَحْمَتِي

Maksudnya: “Tertulis dalam Suhuf Ibrahim A.S: ‘Wahai dunia, betapa hinanya engkau di sisi orang-orang yang berbakti, yang telah engkau hiasi dan dandani untuk mereka. Sesungguhnya Aku telah mencampakkan dalam hati mereka rasa benci terhadapmu dan berpaling darimu. Tidak Aku ciptakan makhluk yang lebih rendah di sisi-Ku daripada engkau. Semua urusanmu kecil, dan engkau akan menuju kepada kehancuran. Aku telah menetapkan ke atasmu pada hari Aku menciptakan makhluk, bahawa engkau tidak akan kekal untuk sesiapa, dan tiada sesiapa yang kekal bersamamu. Walaupun pemilikmu bersikap kikir dan tamak terhadapmu, beruntunglah orang-orang yang berbakti yang memperlihatkan kepada-Ku rasa redha dari dalam hati mereka dan kejujuran serta keteguhan dalam niat mereka. Berbahagialah mereka, apa yang menanti mereka di sisi-Ku sebagai balasan apabila mereka dibangkitkan dari kubur mereka adalah cahaya yang bersinar di hadapan mereka, dan para malaikat akan mengiringi mereka sehingga Aku mencapai mereka kepada apa yang mereka harapkan dari rahmat-Ku.” (Lihat al-Zuhd oleh Ibn Abi Dunya, no. 200, hlm. 97)

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (15/167) disebutkan bahawa Suhuf Ibrahim dan Daud mengandungi peringatan dan perumpamaan tanpa hukum-hakam. Oleh itu ia tidak diberikan kedudukan seperti kitab-kitab yang mengandungi hukum-hakam.

Manakala Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin dalam Liqa’ al-Bab al-Maftuh (176/4) pula ada menyatakan, Suhuf Ibrahim adalah suhuf yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Ibrahim yang mengandungi nasihat/peringatan dan hukum-hakam. Namun, tidak dijelaskan kepada kita apa-apa daripadanya, selain bahawa Nabi Ibrahim A.S berpegang kepada tauhid dan berada di atas jalan yang lurus.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa Suhuf Ibrahim A.S adalah lembaran-lembaran (suhuf) yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim A.S. Kemudian kebanyakan isi kandungannya pula sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama adalah berkisar mengenai peringatan/nasihat, hikmah-hikmah dan pengajaran-pengajaran.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”