Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum menjerat atau memasang racik untuk dapatkan ayam hutan. Biasa akan ada ayam kita sebagai (ayam pikat) berkokok dan datang ayam hutan liar bertarung dengan ayam pikat kita. Semasa bertarung biasanya ayam hutan liar tadi terkena racik atau jerat yang dipasang sekeliling ayam pikat tadi. Apabila kaki terkena jerat atau racik tadi ayam hutan liar meronta. Apakah ini dianggap menyeksa haiwan tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Racik
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, racik bermaksud jerat untuk menangkap/menahan ayam dan burung.
Secara umumnya, seseorang yang memburu haiwan bagi mendapatkan manfaat daripada haiwan buruan tersebut, sama ada untuk dimakan, dijual, disedekahkan kepada mereka yang memerlukan, diberikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan dan kaum kerabat atau lain-lain perkara yang termasuk dalam jenis-jenis manfaat yang dapat diperoleh daripadanya. Dalam hal ini, hukumnya adalah dibolehkan mengikut ijma‘ ulama. Berkenaan hal ini juga, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin ada menyebutkan, tidak ada syak lagi mengenai keharusannya, dan itulah yang dihalalkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dalam kitab-Nya dan sabit dalam Sunnah Nabi SAW, serta telah disepakati oleh kaum Muslimin. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98)
Selain itu, keharusan ini juga adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, katanya: Aku bertanya:
يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا. وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ. وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المــُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ
Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah.’”
Riwayat al-Bukhari (5478)
Seterusnya, bagi menghalalkan haiwan yang diburu dengan menggunakan alat-alat atau senjata yang tajam mempunyai dua syarat:
Pertama, pemburu mestilah menyebut nama Allah SWT pada alat tersebut ketika menggunakannya atau memukul dengannya bertepatan dengan ajaran Nabi SAW berdasarkan hadith-hadith. Di antaranya riwayat daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, katanya: Aku bertanya:
يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا. وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ. وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المــُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ
Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah.”
Riwayat al-Bukhari (5478)
Hadith di atas dapat difahami bahawa haiwan buruan yang terkena anak panah yang dilempar dengan bantuan busur dan disebutkan nama Allah ketika hendak melempar anak panah tersebut adalah halal untuk dimakan. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/ 2645)
Ini juga jelas dapat dilihat melalui hadith ‘Adi bin Hatim R.A yang bertanya kepada Nabi SAW:
أُرْسِلُ كَلْبِي فَأَجِدُ مَعَهُ كَلْبًا آخَرَ؟ قَالَ: لاَ تَأْكُلْ، فَإِنَّكَ إِنَّمَا سَمَّيْتَ عَلَى كَلْبِكَ وَلَمْ تُسَمِّ عَلَى آخَرَ
Maksudnya: “Aku telah melepaskan anjingku dan (kemudiannya) aku mendapati ada anjing lain bersamanya? Baginda bersabda: ‘Janganlah kamu makan kerana sesungguhnya engkau telah menyebut (nama Allah) untuk anjingmu sahaja dan engkau tidak menyebut (nama Allah) untuk anjing yang lain.”
Riwayat al-Bukhari (5476)
Oleh itu, termasuklah juga alat-alat pemburuan yang lain seperti lembing dan seumpamanya, wajib disebut nama Allah SWT sebelum melemparkannya atau melepaskannya.
Kedua, senjata itu mestilah tertusuk ke dalam badan binatang buruan tersebut lalu mati dengan sebab ketajaman dan tikaman alat tersebut bukan kerana beratnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat ‘Adi bin Hatim R.A, katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang (hukum memburu dengan menggunakan) al-Mi‘radh. Lalu Baginda bersabda:
إِذَا أَصَبْتَ بِحَدِّهِ فَكُلْ، فَإِذَا أَصَابَ بِعَرْضِهِ فَقَتَلَ فَإِنَّهُ وَقِيذٌ فَلاَ تَأْكُلْ
Maksudnya: “Sekiranya kamu memperolehi (binatang buruan tersebut) dengan bahagiannya yang tajam (yakni yang terkena pada haiwan itu), maka makanlah ia. Tetapi sekiranya ia mengenai haiwan buruan itu dengan sisinya (yang tumpul) lalu membunuhnya, maka sesungguhnya ia ialah waqiz. Oleh itu, janganlah kamu makan.”
Riwayat al-Bukhari (5476)
Al-Qastalani menyebutkan, hadith ini menjelaskan mengenai hukum berburu dengan alat yang dipanggil mi‘radh iaitu kayu yang bahagian atasnya seperti sampak[2] yang mana para penunggang kuda akan melemparnya ke arah binatang buruan. Boleh jadi besi itu akan mengenai haiwan tersebut lalu membunuhnya dan menumpahkan darahnya. Oleh itu, harus untuk memakan haiwan itu sebagaimana (ia terkena) pedang dan tombak. Namun, boleh jadi juga kayu yang akan mengenainya, lalu menghempapnya (dan ia mati disebabkan oleh perkara tersebut).
Maka Rasulullah SAW bersabda, jika kamu memperolehi binatang buruan itu dengan bahagian mi‘radh yang tajam, maka makanlah ia kerana sesungguhnya ia adalah sembelihannya. Namun, jika mi‘radh itu mengenai binatang pada bahagian sisinya iaitu selain bahagian bucunya yang tajam, lalu ia terbunuh (dengan sebab tersebut), maka ia adalah waqiz kerana ia semakna dengan kayu yang berat atau batu. Oleh sebab itu, binatang tersebut tidak boleh dimakan kerana ia sudah dikira sebagai bangkai. (Lihat Irsyad al-Sari, 8/257)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan menggunakan racik untuk menangkap ayam hutan adalah diharuskan. Hal ini kerana ia sememangnya perangkap untuk menangkap ayam/burung, serta ia tidaklah dianggap menyeksa haiwan tersebut. Justeru hukumnya adalah sebagaimana hukum asal memburu iaitu dibolehkan dengan tujuan mengambil manfaat dengannya sama ada untuk dimakan, dijual, disedekahkan kepada mereka yang memerlukan, diberikan sebagai hadiah atau lain-lain perkara yang termasuk dalam jenis-jenis manfaat yang dapat diperoleh daripadanya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam