#7498: Anak Perempuan Memandikan Jenazah Ayahnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sekiranya bapa kandung telah meniggal dunia, bolehkah anak perempuan memandikan dan mengkafankan ayahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, merujuk dan meneliti kitab-kitab fiqh yang ditulis oleh para ulama, mereka menyatakan bahawa yang lebih utama adalah jenazah lelaki dimandikan oleh orang lelaki manakala jenazah wanita dimandikan oleh orang perempuan sendiri.  Jadi, tidak ada masalah sekiranya ayah memandikan jenazah anak lelakinya yang dewasa, atau anak lelaki memandikan jenazah ayahnya, atau ibu memandikan jenazah anak perempuannya yang dewasa atau anak perempuan memandikan jenazah ibunya.

Namun jika antara orang tua dan anaknya berlainan jantina, maka orang tua tidak boleh memandikan jenazah anaknya yang sudah dewasa. Ayah tidak boleh memandikan jenazah anak perempuannya, dan begitu juga ibu tidak boleh memandikan jenazah anak lelakinya. Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Ibn Qudamah bahawa tidak boleh bagi golongan lelaki untuk memandikan siapapun daripada jenazah perempuan dewasa. Begitulah juga halnya, tidak boleh bagi golongan perempuan untuk memandikan siapapun daripada jenazah lelaki dewasa, meskipun di antara mereka ada hubungan mahram. Inilah pendapat kebanyakan ulama — yakni majoriti dalam kalangan mereka.

Dinukilkan daripada Abu Qilabah  bahawasanya beliau memandikan jenazah anak perempuannya. Imam Ahmad menganggap perkara ini adalah besar dan tidak menyukainya. Beliau berkata: “Bukankah dikatakan: ‘Mintalah izin ke atas ibumu?’” Hal itu kerana dia diharamkan semasa hayatnya, maka tidak boleh memandikannya seperti mana wanita ajnabiyyah dan juga  saudara perempuan susuannya. Namun, jika dalam keadaan terpaksa (darurat), di mana tidak ada perempuan yang boleh memandikannya, Muhanna berkata: Aku bertanya kepada Imam Ahmad mengenai seorang lelaki memandikan jenazah saudara perempuannya apabila tidak ada wanita yang boleh memandikannya? Beliau menjawab: “Tidak boleh.” Aku bertanya lagi: “Jadi, bagaimanakah yang perlu dilakukan?” Beliau menjawab: “Mandikanlah dia dalam keadaan dia masih berpakaian, lalu tuangkan air ke atasnya (bersama pakaiannya itu).” Aku bertanya lagi kepada Imam Ahmad: “Adakah demikian juga caranya bagi setiap wanita yang ada hubungan mahram dimandikan iaitu dalam keadaan pakaiannya masih dipakai?” Beliau menjawab: “Ya.” Manakala al-Hasan, Muhammad dan Imam Malik berpendapat, tidak mengapa orang yang mempunyai hubungan mahram memandikannya ketika darurat. (Lihat al-Mughni, 3/463-464)

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyebutkan, haram ke atas lelaki untuk memandikan jenazah perempuan dan begitu juga haram ke atas perempuan untuk memandikan jenazah lelaki sekalipun lelaki itu adalah mahram kepada perempuan tersebut. Oleh itu, tidak boleh bagi seorang lelaki untuk memandikan ibunya, anak perempuannya dan selain mereka yang termasuk dalam mahramnya. Dinyatakan dalam al-Mughni bahawa ini merupakan pendapat kebanyakan (majoriti) ulama. Namun, Imam Malik dan al-Syafi‘i  membolehkan ketika darurat.

Selain itu, terdapat pengecualian dalam hal tersebut, di mana seseorang lelaki dibolehkan untuk memandikan jenazah isterinya dan anak perempuan yang berumur kurang dari tujuh tahun, begitu juga dibolehkan seseorang perempuan untuk memandikan jenazah suaminya dan anak lelakinya yang berumur kurang dari tujuh tahun. Ibn al-Munzir menyatakan, semua ulama yang kami ambil riwayat daripada mereka telah menyatakan ijma‘ bahawa perempuan boleh memandikan anak lelakinya yang masih kecil dalam keadaan budak itu bertelanjang tanpa sebarang pakaian dan perempuan itu juga boleh memegang auratnya dan melihatnya kerana aurat budak itu tidak ada hukum kepadanya (perempuan tersebut) selama hidupnya, maka demikianlah juga selepas kematiannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/181-182).

Selain itu, turut dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/234) bahawa mayat lelaki wajib dimandikan oleh orang lelaki dan mayat orang perempuan oleh orang perempuan sebagaimana yang disebut dalam hadith-hadith. Bagaimanapun harus bagi seorang lelaki memandikan mayat isterinya dan perempuan memandikan mayat suaminya. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #792: Suami Mandikan Jenazah Isteri dan #679 Isteri Memandikan Jenazah Suami.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seorang anak perempuan tidak boleh memandikan jenazah bapanya dan begitulah juga seorang ayah tidak boleh memandikan jenazah anak perempuannya, sekalipun di antara mereka terdapat hubungan mahram. Pengecualian hanya diberikan kepada jenazah suami atau isteri untuk dimandikan oleh pasangan masing-masing dan juga jenazah anak yang masih kecil berumur kurang tujuh tahun untuk dimandikan oleh ibubapanya.

Hal ini kerana pada asalnya, jenazah lelaki hendaklah dimandikan oleh kaum lelaki, manakala jenazah perempuan hendaklah dimandikan oleh kaum perempuan. Hukum asal ini berkekalan sebagaimana halnya itu melainkan dalam keadaan darurat mengikut pendapat sebahagian ulama, ketika mana langsung tidak ada wanita yang boleh memandikan jenazah wanita itu ataupun sebaliknya. Maka ketika itu, dibolehkan mereka yang mempunyai hubungan mahram untuk memandikannya sekalipun berlainan jantina. Bahkan, sebahagian mereka meletakkan syarat bahawa jenazah itu hendaklah dimandikan dalam keadaan masih berpakaian.

Begitulah juga jika seorang ibu ingin memandikan jenazah anak perempuannya yang dewasa atau sebaliknya, dan begitu juga seorang ayah ingin memandikan jenazah anak lelakinya yang dewasa atau sebaliknya, tidak syak lagi bahawa mereka lebih berhak untuk memandikannya berbanding orang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)