Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bolehkah kita yang sihat mengerjakan solat sunat secara duduk sebagai contoh solat sunat subuh atau solat sunat witir. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam melaksanakan solat pula, kita harus memenuhi rukun-rukun solat yang wajib dilaksanakan. Berdiri ketika menunaikan solat merupakan salah satu rukun solat yang wajib dilakukan dan dipenuhi. Imam Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa, rukun solat yang ke-3: al-Qiyam (الْقِيَامُ) iaitu berdiri ketika menunaikan solat, dan dalil bagi kewajibannya adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran:
وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِینَ
Maksudnya: “Dan berdirilah (dalam solat) kerana Allah dalam keadaan penuh taat.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Kewajiban berdiri ketika solat ini juga merupakan ijma‘ (persepakatan) umat Islam, dan perkara yang begitu dimaklumi dan diketahui di dalam agama Islam ini.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/97)
Namun, syariat Islam juga datang dengan kemudahan dan keringanan. Allah SWT tidak menurunkan syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadah sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Maka, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kalian.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak mampu untuk bersolat dalam keadaan berdiri, maka dia dibenarkan untuk melaksanakan solat dalam keadaan duduk. Imam Ibn al-Mulaqqin berkata: “Sekiranya seseorang tidak mampu berdiri, maka hendaklah dia bersolat dalam keadaan duduk; bagaimanapun cara duduknya itu, berdasarkan ijma‘ para ulama dan hadith.” (Lihat ‘Ujalah al-Muhtaj ila Taujih al-Minhaj, 1/193)
Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada ‘Imran bin Husain R.A, katanya: “Aku diuji dengan penyakit buasir (بَوَاسِيرُ) lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Solatlah secara berdiri, jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu juga maka solatlah dalam keadaan baring secara mengiring.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Imam al-Khattabi berkata: “Makna hadith ini adalah pedoman bagi seseorang yang hendak melaksanakan solat-solat fardhu. Secara asalnya, dia diwajibkan untuk melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu berdiri dan menghadapi kesukaran dalam melaksanakannya, maka dia boleh melaksanakannya dalam keadaan-keadaan yang disebutkan selepas itu.” (Lihat A‘lam al-Hadith, 1/630-631)
Bagi menjawab persoalan di atas, kami menegaskan bahawa individu yang dikurniakan kesihatan dan mampu berdiri tanpa sebarang keuzuran diwajibkan mengerjakan solat dalam keadaan berdiri. Ini kerana berdiri adalah salah satu rukun solat yang tidak boleh ditinggalkan. Oleh itu, sesiapa yang mampu berdiri tetapi tidak melakukannya ketika mengerjakan solat, maka solatnya dianggap batal dan tidak sah.
Namun demikian, syarak membenarkan orang yang sihat untuk menunaikan solat dalam keadaan duduk, tetapi hanya terbatas pada solat-solat sunat sahaja. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah menunaikan solat sunat dalam keadaan duduk, meskipun Baginda berada dalam keadaan sihat ketika itu. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imran Bin Husain bahawa nabi SAW bersabda:
من صَلَّى قَائِمًا فهو أَفْضَل ومَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat secara berdiri itulah yang afdhal, dan sesiapa yang bersolat secara duduk dia mendapat separuh pahala solat berdiri dan sesiapa yang bersolat secara mengiring dia mendapat separuh pahala solat duduk.”
Riwayat al-Bukhari (1065)
Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bahawa beliau berkata:
حُدِّثْتُ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قالَ: صَلاةُ الرَّجُلِ قاعِدًا نِصْفُ الصَّلاةِ، قالَ: فأتَيْتُهُ، فَوَجَدْتُهُ يُصَلِّي جالِسًا، فَوَضَعْتُ يَدِي على رَأْسِهِ، فقالَ: ما لَكَ يا عَبْدَ اللهِ بنَ عَمْرٍو؟ قُلْتُ: حُدِّثْتُ -يا رَسولَ اللهِ- أنَّكَ قُلْتَ: صَلاةُ الرَّجُلِ قاعِدًا على نِصْفِ الصَّلاةِ، وأَنْتَ تُصَلِّي قاعِدًا، قالَ: أجَلْ، ولَكِنِّي لَسْتُ كَأَحَدٍ مِنكُمْ.
Maksudnya: Aku diberitahu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Solat seseorang dalam keadaan duduk adalah separuh daripada solatnya.” Lalu aku mendatangi Baginda dan mendapati Baginda sedang solat dalam keadaan duduk. Aku meletakkan tanganku di atas kepala Baginda, maka Baginda bertanya: “Apa yang berlaku kepadamu, wahai Abdullah bin Amru?” Aku menjawab: Aku diberitahu, wahai Rasulullah, bahawa engkau bersabda: “Solat seseorang dalam keadaan duduk adalah separuh daripada solatnya,” namun engkau sedang solat dalam keadaan duduk. Baginda menjawab: “Ya, benar, tetapi aku tidak sama seperti kalian.”
Riwayat Muslim (735)
Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini merujuk kepada solat sunat yang dilakukan dalam keadaan duduk walaupun seseorang mampu berdiri, maka pahala solatnya hanya separuh daripada pahala orang yang solat berdiri. Namun, jika seseorang menunaikan solat sunat dalam keadaan duduk kerana tidak mampu berdiri, maka pahala solatnya tidak berkurang, bahkan sama seperti pahala orang yang solat berdiri. Adapun solat fardhu, jika seseorang menunaikannya dalam keadaan duduk sedangkan dia mampu berdiri, solat tersebut tidak sah, tidak mendapat pahala, bahkan dia berdosa kerana melakukannya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, 9/364)
Begitu juga beliau menyebutkan dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/256) bahawa: Berdiri merupakan kefardhuan dalam solat fardhu, adapun pada solat sunat ia tidak diwajibkan kerana Nabi SAW mengerjakan solat sunat dalam keadaan duduk ketika dalam kenderaan. Selain itu, solat sunat ini ada banyak, sekiranya diwajibkan untuk berdiri maka ia akan menjadi sulit dan boleh jadi orang akan berhenti melakukannya.
Sebagai kesimpulannya kami katakan bahawa berdiri merupakan rukun wajib dalam solat fardhu bagi individu yang mampu melakukannya tanpa sebarang keuzuran. Sekiranya seseorang meninggalkan rukun ini tanpa sebab yang sah, solatnya dianggap batal dan tidak sah. Walau bagaimanapun, syarak memberikan keringanan dalam solat sunat, di mana seseorang yang sihat dibenarkan menunaikannya dalam keadaan duduk, akan tetapi pahala solat dalam keadaan duduk adalah separuh daripada solat berdiri sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith. Namun, jika seseorang menunaikan solat sunat secara duduk kerana keuzuran, pahalanya tetap sama seperti solat berdiri. Hal ini menunjukkan keluasan syariat dalam memberi kemudahan kepada umat Islam, terutamanya dalam ibadah sunat, tanpa mengurangkan kepentingan berdiri sebagai rukun dalam solat fardhu.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Wallahu a’lam.