Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan karya-karya oleh Imam al-Bukhari?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
(Surah al-Baqarah: 269)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah: يُؤْتِى الْحِكْمَةَ (Allah menganugerahkan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya) Maksudnya, ilmu pengetahuan, seperti yang dikemukakan oleh sesetengah pendapat. Tafsiran lain menyebut bahawa ia merujuk kepada pemahaman yang mendalam terhadap pelbagai perkara, terutamanya terhadap al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu, ada juga pandangan yang menyatakan bahawa hikmah ini merujuk kepada ketepatan dalam ucapan dan tutur kata.
Firman Allah: وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ (Dan sesiapa yang dianugerahkan hikmah, sesungguhnya dia telah menerima kurniaan yang besar) Maksudnya: kurniaan itu adalah besar nilainya dan tinggi martabatnya. Ini kerana individu tersebut mampu meletakkan sesuatu perkara pada tempat yang sewajarnya, membuat pertimbangan yang tepat dalam setiap urusan, serta memiliki keupayaan untuk mengurus dengan baik. Kebaikan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya, tetapi juga kepada orang di sekelilingnya, hasil daripada tindakan yang bermanfaat, kebijaksanaan yang hebat, serta seruan yang penuh keagungan. (Lihat Fath al-Qadir, 2/327)
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ
Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”
Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)
Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari bukan hanya memfokuskan penulisan beliau dalam bidang hadith, bahkan beliau juga mempunyai beberapa penulisan yang masyhur dalam bidang sejarah, aqidah dan juga tafsir. Kesemua penulisan ini membuktikan keluasan dan kekayaan ilmu pengetahuan beliau. Dikatakan bahawa Imam al-Bukhari mempunyai lebih daripada 20 karya. Antaranya ialah:
Dalam bidang hadith:
– Al-Jami‘ al-Sahih (Sahih al-Bukhari)
– Al-Adab al-Mufrad
– Birr al-Walidain
– Al-Jami‘ al-Kabir
– Al-Jami‘ al-Saghir
– Al-Musnad al-Kabir
– Al-‘Ilal
– Al-Mabsut
– Al-Qira’ah Khalf al-Imam
Dalam bidang sejarah:
– Al-Tarikh al-Kabir
– Al-Tarikh al-Awsat
– Al-Tarikh al-Saghir
– Al-Kuna
Dalam bidang tafsir:
– Al-Tafsir al-Kabir
Dalam bidang aqidah:
– Khalq Af‘al al-‘Ibad
Demikianlah ulama’ seperti Imam al-Bukhari meninggalkan khazanah ilmiah yang amat berharga untuk ummah, walaupun beliau telah meninggalkan kita melebihi 1300 tahun yang lampau. Kitab Sahihnya dan kitab-kitab lainnya sentiasa menjadi rujukan kepada ummah terutamanya berkenaan Hadyun Nabawi dan Sunnahnya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”