#7505: Pujian Ulama’ Terhadap Imam al-Bukhari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang pujian ulama’ terhadap Imam al-Bukhari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Imam Ibn Ruslan berkata: “Memadailah dengan kemuliaan ini, sebagaimana tiada kedudukan yang lebih tinggi daripada darjat kenabian, maka tiada kemuliaan yang melebihi kemuliaan pewaris darjat itu. Para ulama mewarisi Nabi bagi membimbing manusia dan menunjukkan kepada mereka keselamatan di dunia dan akhirat.” (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 15/69)

Antara sanjungan terhadap Imam al-Bukhari adalah:

  • Imam Ishaq bin Rahawaih rahimahullah (w. 238H) berkata: “Wahai sekalian ashab hadith, lihatlah pada pemuda ini dan tulislah (hadith) daripadanya, sesungguhnya jika dia pada zaman Hasan bin Abu al-Hasan al-Basri sudah tentu manusia berhajat kepada ilmu hadith dan fiqhnya.”
  • Imam Qutaibah bin Sa‘id rahimahullah (w. 240H) berkata: “Aku melazimi ahli fiqh, ahli zuhud dan ahli ibadah tetapi aku tidak pernah melihat orang seperti Muhammad bin Isma‘il.”
  • Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (w. 241H) berkata: “Khurasan tidak pernah mengeluarkan atau melahirkan insan sehebat Muhammad bin Isma‘il.”
  • Imam al-Darimi rahimahullah (w. 255H) berkata: “Aku telah melihat ulama di Haramain, Hijaz, Syam dan Iraq tetapi aku tidak pernah melihat mereka semua melainkan Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari lebih hebat daripada mereka.”
  • Imam Muslim rahimahullah (w. 261H) pula berkata: “Biarkan aku mencium kedua kakimu wahai guru kepada sekalian guru, ketua kepada sekalian ahli hadith dan pakar dalam ilmu ‘ilal (kecacatan) hadith.”
  • Imam Abu Hatim al-Razi rahimahullah (w. 327H) berkata: “Khurasan tidak pernah menghasilkan seseorang yang lebih kuat hafalannya berbanding Muhammad bin Isma‘il dan tidak ada yang datang dari Khurasan menuju ke Iraq yang lebih alim daripadanya.”
  • Imam al-Tirmizi rahimahullah (w. 279H) berkata: “Aku tidak melihat di Iraq dan Khurasan orang yang lebih alim tentang ‘illah-‘illah hadith, tarikh (sejarah) dan sanad-sanad daripada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari.”

Sesungguhnya, pujian ulama’ terhadap Imam al-Bukhari berasaskan kepada ilmu yang dimiliki serta makrifah berkenaan hadith Nabi SAW secara khusus dan ilmu Islam secara umumnya. Atas asas itulah, beliau menjadi salah satu tonggak kepada ummah ini dalam mempertahankan dan membela Sunnah Nabi SAW. Semoga Allah merahmati Imam al-Bukhari atas jasanya yang amat besar dan bernilai kepada ummah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”