#7508: Penyemakan Sahih al-Bukhari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah di kalangan ulama yang menyemak karya Imam al-Bukhari ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Imam Ibn Ruslan berkata: “Memadailah dengan kemuliaan ini, sebagaimana tiada kedudukan yang lebih tinggi daripada darjat kenabian, maka tiada kemuliaan yang melebihi kemuliaan pewaris darjat itu. Para ulama mewarisi Nabi bagi membimbing manusia dan menunjukkan kepada mereka keselamatan di dunia dan akhirat.” (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 15/69)

Imam al-Bukhari menyusun hadith-hadith di dalam sahihnya mengikut kitab (tajuk utama) dan setiap kitab itu mempunyai bab-bab tertentu. Kitab yang pertama ialah permulaan wahyu dan diakhiri dengan kitab al-Tauhid. Antara kitab atau tajuk utama lain yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhariadalah kitab al-Iman, kitab ilmu, kitab wudhu’, kitab mandi, kitab haidh, kitab tayammum, kitab solat dan beberapa kitab yang lain. Pada penyusunan kitab dan bab inilah terserlah akan fiqh Imam al-Bukhari, Disebabkan itu, para ulama mengatakan fiqh Imam al-Bukhari terletak pada terjemah bab-babnya. Ini kerana, daripada situ para ulama dapat mengenalpasti pendapat-pendapat Imam al-Bukhari dalam permasalahan fiqh.

  Penyemakan Sahih al-Bukhari

Setelah Imam al-Bukhari selesai menghasilkan karyanya, beliau tidak berhenti di situ. Bahkan beliau meminta ulama besar hadith di zamannya untuk menilai dan menyemak karyanya itu. Antara yang terlibat dalam menilai kitab Sahih al-Bukhari ini ialah Ali al-Madini, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma‘in dan ramai lagi. Cara ini digunakan juga oleh Imam Malik bin Anas setelah beliau meminta 70 orang ulama di zamannya untuk menilai karya Muwatta’nya.

Semoga Allah merahmati Imam al-Bukhari yang benar-benar mengikuti salafus soleh dalam menghasilkan karya agungnya di mana yang menghakimi karya tersebut di kalangan para ilmuwan ahli hadith yang terkemuka ketika itu yang sebahagian daripada mereka adalah gurunya sendiri. Ini menaikkan lagi martabat dan nilai Sahih al-Bukhari pada tahap yang tertinggi. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”