Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika Sahih al-Bukhari merupakan kitab yang sahih, mengapa terdapat riwayat dan lafaz yang berbeza-beza bagi sesetengah hadith di dalamnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”
(Surah al-Baqarah: 269)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah: يُؤْتِى الْحِكْمَةَ (Allah menganugerahkan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya) Maksudnya, ilmu pengetahuan, seperti yang dikemukakan oleh sesetengah pendapat. Tafsiran lain menyebut bahawa ia merujuk kepada pemahaman yang mendalam terhadap pelbagai perkara, terutamanya terhadap al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu, ada juga pandangan yang menyatakan bahawa hikmah ini merujuk kepada ketepatan dalam ucapan dan tutur kata.
Firman Allah: وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ (Dan sesiapa yang dianugerahkan hikmah, sesungguhnya dia telah menerima kurniaan yang besar) Maksudnya: kurniaan itu adalah besar nilainya dan tinggi martabatnya. Ini kerana individu tersebut mampu meletakkan sesuatu perkara pada tempat yang sewajarnya, membuat pertimbangan yang tepat dalam setiap urusan, serta memiliki keupayaan untuk mengurus dengan baik. Kebaikan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya, tetapi juga kepada orang di sekelilingnya, hasil daripada tindakan yang bermanfaat, kebijaksanaan yang hebat, serta seruan yang penuh keagungan. (Lihat Fath al-Qadir, 2/327)
Berkenaan persoalan di atas, para ulama menyatakan beberapa sebab hal ini terjadi, antaranya:
- Pertemuan para sahabat dengan Nabi SAW berlaku beberapa kali. Kemungkinan Nabi SAW menyebut hadith secara panjang pada satu majlis, kemudian Baginda menyebutkannya pula secara ringkas dalamsatu majlis yang lain.
- Nabi SAW menjawab pertanyaan dan persoalan yang diajukan kepada Baginda berdasarkan kepada situasi si penanya. Contoh hadith berkenaan apakah amalan Islam yang terbaik, lalu pertanyaan ini dijawab oleh Nabi SAW dengan jawapan yang berbeza-beza.
- Kebarangkalian perawi meringkaskan matan hadith pada sesetengah keadaan dan meriwayatkannya secara panjang lebar pada sesetengah keadaan.
- Nabi SAW berbicara dengan manusia mengikut bahasa dan lahjah (dialek) mereka. (Lihat al-Sunnah al-Nabawiyyah, hlm. 162-164)
Kami katakan, Imam al-Bukhari adalah ulama’ terkemuka dalam ilmu hadith yang diperakui oleh ulama’ sezaman dengannya, guru-gurunya dan juga selepasnya. Maka tidak hairanlah, kemampuannya yang luar biasa serta kefaqihannya yang mungkin kadang-kadang tidak dapat difahami oleh sebahagian orang yang lain seperti kita. Justeru, dengan husnu al-zhan yang tinggi dan keyakinan bahawa Imam al-Bukhari mengemukakan hal ini dengan asbab yang tersendiri dan ilmu yang dimilikinya. Kami akhiri dengan doa:
اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”