Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengapa terdapat beberapa hadith dhaif di dalam Sahih al-Bukhari?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
(Surah al-Baqarah: 269)
Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Hikmah ini merujuk kepada ilmu yang bermanfaat, pemahaman yang tepat, kebijaksanaan dalam pemikiran, dan keupayaan untuk menzahirkan kebenaran dalam ucapan dan perbuatan. Hikmah merupakan anugerah paling utama dan kurniaan terbesar. Oleh itu, Allah berfirman: “Dan sesiapa yang dikurniakan hikmah, maka sesungguhnya dia telah dianugerahi kurniaan yang besar.” Dengan hikmah, seseorang keluar dari kegelapan kejahilan menuju cahaya petunjuk. Dia mampu mengelak penyimpangan kata dan perbuatan, mencapai kebenaran, serta menghiasi dirinya dengan sifat-sifat mulia yang memberi manfaat besar kepada makhluk, baik dari sudut agama mahupun duniawi. Segala urusan hanya dapat berjalan dengan baik melalui hikmah, iaitu kemampuan meletakkan sesuatu pada tempatnya, memberi keutamaan kepada perkara yang lebih utama, dan menangguhkan sesuatu yang wajar ditangguhkan. Namun, keutamaan besar ini hanya dihayati dan difahami oleh “orang-orang yang berakal.” Mereka ialah golongan yang memiliki pemikiran yang matang dan cita-cita luhur, mengetahui mana yang bermanfaat untuk dilakukan dan mana yang membawa mudarat untuk ditinggalkan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 281)
Berkenaan persoalan di atas, para ulama menjawabnya seperti berikut:
- Para ulama daripada kalangan Imam Ahli Hadith telah bersepakat bahawa kesemua hadith yang terkandung di dalam Sahih al-Bukhari merupakan hadith yang sahih.
- Sebahagian pengkaji telah memandai-mandai meletakkan hukum hadith pada sebahagian hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari. Maka dengan itu, ia menyebabkan timbulnya rasa bahawa terdapatnya hadith yang tidak sahih di dalam Sahih al-Bukhari sehingga perlu dibeza-bezakan.
- Tahap penilaian ulama terhadap hadith adalah berbeza, sebahagiannya bermudah-mudah manakala sebahagian yang lain begitu teliti dalam menilai hadith. (Lihat al-Sunnah al-Nabawiyyah, hlm. 168)
‘Allamah al-Syeikh Muhammad ‘Awwamah telah menjawab isu ini dengan hujah yang tuntas. Justeru, apa yang dikemukakan oleh Imam al-Bukhari adalah sahih.
Kami akhiri dengan doa:
اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”