Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengapa sebahagian tempat meletakkan Sahih Muslim lebih utama berbanding Sahih al-Bukhari?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ
Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”
Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)
Menjawab persoalan di atas, hal ini merupakan perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Akan tetapi sebahagian besar para ulama melihat bahawa Sahih al-Bukhari lebih utama daripada Sahih Muslim disebabkan beberapa faktor:
- Syarat yang diletakkan oleh Imam al-Bukhari lebih ketat berbanding syarat yang diletakkan oleh Imam Muslim.
- Perawi yang diterima oleh Imam al-Bukhari lebih tinggi martabat atau kedudukannya berbanding perawi yang dipilih oleh Imam Muslim.
- Hadith-hadith yang dikritik di dalam Sahih al-Bukhari adalah lebih sedikit berbanding Sahih Muslim.
- Ketokohan Imam al-Bukhari lebih terserlah berbanding ketokohan Imam Muslim.
- Perawi-perawi yang dipertikaikan di dalam Sahih al-Bukhari lebih sedikit berbanding para perawi yang dipertikaikan di dalam Sahih Muslim. (Lihat al-Wadhih fi Manahij al-Muhaddithin, hlm. 58-60)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”