#7514: Hadis Mu’allaq dalam Sahih al-Bukhari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengapa di dalam kitab Sahih al-Bukhari terdapat hadith-hadith mu‘allaq sedangkan hadith mu‘allaq ini dikategorikan sebagai hadith yang dhaif?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah: يُؤْتِى الْحِكْمَةَ (Allah menganugerahkan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya) Maksudnya, ilmu pengetahuan, seperti yang dikemukakan oleh sesetengah pendapat. Tafsiran lain menyebut bahawa ia merujuk kepada pemahaman yang mendalam terhadap pelbagai perkara, terutamanya terhadap al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu, ada juga pandangan yang menyatakan bahawa hikmah ini merujuk kepada ketepatan dalam ucapan dan tutur kata.

Firman Allah:  وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ (Dan sesiapa yang dianugerahkan hikmah, sesungguhnya dia telah menerima kurniaan yang besar) Maksudnya: kurniaan itu adalah besar nilainya dan tinggi martabatnya. Ini kerana individu tersebut mampu meletakkan sesuatu perkara pada tempat yang sewajarnya, membuat pertimbangan yang tepat dalam setiap urusan, serta memiliki keupayaan untuk mengurus dengan baik. Kebaikan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya, tetapi juga kepada orang di sekelilingnya, hasil daripada tindakan yang bermanfaat, kebijaksanaan yang hebat, serta seruan yang penuh keagungan. (Lihat Fath al-Qadir, 2/327)

Bagi menjawab persoalan ini:

  1. Hadith-hadith mu‘allaq tidak semuanya ditolak secara total. Hal yang demikian kerana sebahagiannya diterima dan sebahagiannya ditolak melihat kepada sanad hadith tersebut.
  2. Hadith-hadith mu‘allaq di dalam Sahih al-Bukhari tidak semuanya disandarkan kepada Nabi SAW, bahkan sebahagian besarnya merupakan athar yang disandarkan kepada para sahabat dan juga para tabi‘in. Beliau memasukkan athar ini di dalam sahihnya bagi tujuan menjelaskan fiqhnya.
  3. Terdapat beberapa hadith yang mu‘allaq di dalam Sahih al-Bukhari diriwayatkan secara bersambung di dalam kitab yang sama. Hal ini kerana, kebiasaan Imam al-Bukhari meriwayatkan secara mu‘allaq di sebahagian tempat lalu meriwayatkan secara mausul pada tempat yang lain kerana beliau ingin meringkaskan dan tidak ingin berlakunya pengulangan.
  4. Hadith-hadith mu‘allaq dalam Sahih al-Bukhari telah disambung sanadnya oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya bertajuk Taghliq al-Ta‘liq. (Lihat Abraz al-Ta‘un al-Mu‘asir fi al-Jami‘ al-Sahih li al-Bukhari, hlm.35-38)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”