#7518: Menjamakkan Solat Subuh dengan Solat Isyak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh untuk saya menjamakkan solat Subuh dengan Isyak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Terdapat tujuh syarat bagi melaksanakan qasar:

  • Hendaklah permusafiran seseorang itu jaraknya dua marhalah.
  • Hendaklah musafir itu dengan tujuan yang baik.
  • Hendaklah seseorang itu mempunyai ilmu tentang bolehnya diqasarkan solat.
  • Mestilah berniat qasar ketika takbiratul ihram.
  • Hendaklah solat yang diqasarkan itu merupakan solat ruba’iyyah (empat rakaat seperti zuhur asar; maghrib isyak)
  • Berterusannya permusafiran sehingga selesai solat.
  • Hendaklah dia tidak menjadi makmum kepada orang yang solat penuh pada sebahagian dari solatnya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 48)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan solat Subuh tidak boleh dijamakkan dengan Solat Isyak. Hal ini kerana waktu yang dibenarkan untuk jamak qasar hanyalah Zuhur-Asar; Maghrib-Isyak sahaja. Begitu juga, solat boleh diqasarkan bagi yang mempunyai 4 rakaat sahaja, manakala solat Subuh (2 rakaat) dan Maghrib (3 rakaat) kekal mengikut bilangan rakaat yang asal. Mengqasarkan solat maghrib kepada 2 rakaat, menjadikan solat seseorang itu tidak sah dan perlu diganti semula.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

  رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)