#7520: Basuh Tandas Selepas Tetamu Guna kerana Was-Was

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Tetamu  saya guna bilik air rumah saya untuk buang air. Saya rasa tidak perlu untuk tanya samada dia basuh lantai bilik air dengan bersih dan suci atau tidak. Ini menjadikan saya ragu-ragu tentang kesucian bilik air.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

Pembahagian najis

Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).

  • Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
  • Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  • Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41)

Secara asasnya, kencing manusia atau haiwan adalah najis berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَهَرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاً مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: “Tuangkanlah atas air kencingnya (Arab Badwi yang kencing di masjid) dengan setimba air.

Riwayat al-Bukhari (220)

Ibn Battal dalam syarahnya menyebutkan bahawa para fuqaha telah menyatakan ijma‘ akan kenajisan air kencing (manusia) dan perlu untuk membersihkannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukharioleh Ibn Battal, 1/325)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan cukuplah kita mengambil hukum zahir sebagaimana kaedah menyebut:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Oleh itu, sekiranya tidak ada dilihat sebarang ain najis (warna, bau dan rasa), maka tidak perlu untuk anda was-was kerana was-was itu datangnya dari syaitan untuk menjadikan kita hidup dalam keraguan dan menyusahkan. Namun, untuk mengelakkan rasa was-was, maka tidak mengapa untuk anda menjirusnya setelah digunakan oleh tetamu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنِي مِنْ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku termasuk dari kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku termasuk dari kalangan orang-orang yang menyucikan diri.”

Riwayat al-Tirmizi (55)