#7522: Biografi al-Hafiz Abd al-Ghani al-Maqdisi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah Dato menceritakan sedikit sebanyak tentang latar belakang syeikh  al-Hafiz Abd al-Ghani al-Maqdisi? Terima kasih Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Hikmah ini merujuk kepada ilmu yang bermanfaat, pemahaman yang tepat, kebijaksanaan dalam pemikiran, dan keupayaan untuk menzahirkan kebenaran dalam ucapan dan perbuatan. Hikmah merupakan anugerah paling utama dan kurniaan terbesar. Oleh itu, Allah berfirman: “Dan sesiapa yang dikurniakan hikmah, maka sesungguhnya dia telah dianugerahi kurniaan yang besar.” Dengan hikmah, seseorang keluar dari kegelapan kejahilan menuju cahaya petunjuk. Dia mampu mengelak penyimpangan kata dan perbuatan, mencapai kebenaran, serta menghiasi dirinya dengan sifat-sifat mulia yang memberi manfaat besar kepada makhluk, baik dari sudut agama mahupun duniawi. Segala urusan hanya dapat berjalan dengan baik melalui hikmah, iaitu kemampuan meletakkan sesuatu pada tempatnya, memberi keutamaan kepada perkara yang lebih utama, dan menangguhkan sesuatu yang wajar ditangguhkan. Namun, keutamaan besar ini hanya dihayati dan difahami oleh “orang-orang yang berakal.” Mereka ialah golongan yang memiliki pemikiran yang matang dan cita-cita luhur, mengetahui mana yang bermanfaat untuk dilakukan dan mana yang membawa mudarat untuk ditinggalkan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 281)

Nama, Kelahiran dan Kewafatannya

Beliau adalah al-Imam al-Hafiz Taqiy al-Din Abu Muhammad Abd al-Ghani bin Abd al-Wahid bin ‘Ali bin Surur al-Maqdisi al-Jamma’li al-Dimasyqi al-Salihi al-Hanbali. Beliau dilahirkan pada tahun 541H di Jamma’il, iaitu di kawasan Nablus, Palestin. Beliau dinisbahkan kepada Bait al-Maqdis kerana dekatnya Jumma’il dengan kawasan tersebut. Nisbah al-Salihi kerana nama kawasan al-Salihiyah di mana terkenal dengan keluarganya.

Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 23 Rabi al-Awwal tahun 600H pada umur 56 tahun dan dikebumikan di Mesir.

Pendidikan

Beliau dan keluarganya berpindah ke Damsyik dan menuntut ilmu sejak kecil di sana. Beliau mula menuntut ilmu dengan al-‘Allamah al- Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Qudamah al-Maqdisi Abu Umar dan al-Syeikh Muwaffaq al-Din ‘Abdullah bin Ahmad bin Qudamah dan lain- lain. Dalam menuntut ilmu, beliau mengembara ke banyak tempat antaranya Baghdad, Iskandariyyah, Bait al-Maqdis, Mesir, Harran, al-Mausil, Asbahan, Hamazan dan selainnya.

Guru-Gurunya

Kami senaraikan sebahagian guru-guru dan masyaikh beliau yang terkenal. Antaranya:

  • Baghdad: Abu al-Fath bin al-Bitti, Abu al-Hasan Ali bin Rabah al-Farra’, ‘Abd al-Qadir al-Jili (al-Jilani), Wahbatullah bin Hilal al-Daqqaq, Abu Zar’ah al-Maqdisi dan lain-lain.
  • Mesir: Muhammad bin ‘Ali al-Rahabi, ‘Abdullah bin Barri dan sekumpulan para ulama.
  • Damsyik: Abu al-Makarim bin Hilal, Salman bin ‘Ali al- Rahabi sekumpulan para ulama.
  • Mawsil: Abu al-Fadhl al-Tusi
  • Iskandariyah: Abu al-Tahir al-Silafi dan lain-lain.

Murid-Muridnya

Syeikh merupakan salah seorang ulama’ yang terkenal pada zamannya. Beliau telah melahirkan ramai tokoh ulama’, antaranya: Abu al-Fath dan Abu Musa ‘Abdullah, ‘Izz al-Din Muhammad, ‘Abd al-Qadir al- Rahawi, Muwaffaq Ibn Qudamah, al-Hafiz al-Dhiya’, Ibn Khalil, al- Faqih al-Yunini, Ahmad bin ‘Abd al-Da’im, Abu al-Hajjaj bin Khalil, ‘Uthman bin Makki dan lain-lain.

Suka kami katakan, kami ada menulis dan menterjemahkan buku baru bertajuk: “Ringkasan Sirah Nabi SAW,” karya Syeikh al-Hafiz Abd al-Ghani al-Maqdisi. Di dalam buku ini pelbagai topik yang dikupas oleh penulis seperti Keturunan Nabi, Kehidupan Nabi, Anak-anaknya, Perangya, Isteri-isterinya, Akhlaknya, Mukjizatnya dan sebagainya. Jika anda berminat untuk mengetahui dan mengenali Rasulullah SAW, boleh klik di link bawah:

https://bukudrzulkiflialbakri.onpay.my/order/form/ringkasansirah/137

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”