#7523: Rasulullah SAW Membebaskan Hamba-Hambanya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah hamba Rasulullah SAW yang telah dibebaskan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ (12) فَكُّ رَقَبَةٍ

Maksudnya: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi.”

(Surah al-Balad: 12-23)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Kemudian kesukaran di atas dijelaskan oleh firman-Nya: ‘فَكُّ رَقَبَةٍ’, yakni melepaskan daripada perhambaan dan membantunya melunaskan bayaran untuk membebaskan diri daripada perhambaan. Dan tentu lebih utama lagi membebaskan tawanan Muslim daripada tangan-tangan orang kafir. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 443)

Senarai Hamba-Hamba Rasulullah SAW yang Telah Dibebaskan:

Antaranya:

  • Zaid bin Harithah bin Syarahil al-Kalbi.
  • Usamah bin Zaid, anak kepada Zaid. Beliau dipanggil al-Hibb ibn al-Hibb (orang yang dikasihi anak orang yang dikasihi).
  • Thauban bin Bujdud. Beliau mempunyai susur galur keturunan daripada Yaman.
  • Abu Kabsah daripada Makkah. Dikatakan: Namanya Sulaim, menyertai Perang Badar. Dikatakan: Beliau berasal daripada bumi Daus.
  • Anasah daripada al-Sarrat.
  • Salih iaitu Syuqran.
  • Rabah, berkulit hitam.
  • Yasar daripada Nuba.
  • Abu Rafi’. Namanya Aslam. Dikatakan: Ibrahim. Sebelumnya, beliau adalah hamba kepada al-‘Abbas. Beliau dianugerahkan kepada Nabi SAW dan Baginda membebaskannya.
  • Abu Muwaihibah daripada Muzainah.
  • Fadhalah, menetap di Syam.
  • Rafi’. Dahulunya beliau adalah milik Sa’id bin al-‘As yang kemudiannya diwariskan oleh anak-anaknya. Ada yang membebaskannya, ada yang menahannya. Rafi’ bertemu Nabi SAW dan memohon pertolongannya. Maka, beliau dikurniakan kebebasan. Beliau berkata: “Aku adalah maula Rasulullah SAW.
  • Mid’am, berkulit hitam. Dikurniakan oleh Rifa’ah bin Zaid al- Juzami. Beliau lahir di Hisma 150 dan dibunuh di Wadi al-Qura.
  • Kirkirah yang memikul barangan Nabi SAW semasa dalam permusafiran.
  • Zaid, datuk kepada Hilal bin Yasar bin Zaid.
  • ‘Ubaid.
  • Tahman atau Kaysan atau Mihran atau Zikwan atau Marwan.
  • Ma’bur al-Qibti, hadiah al-Muqauqis.

Suka kami katakan, kami ada menulis dan menterjemahkan buku baru bertajuk: “Ringkasan Sirah Nabi SAW,” karya Syeikh al-Hafiz Abd al-Ghani al-Maqdisi. Di dalam buku ini pelbagai topik yang dikupas oleh penulis seperti Keturunan Nabi, Kehidupan Nabi, Anak-anaknya, Perangya, Isteri-isterinya, Akhlaknya, Mukjizatnya dan sebagainya. Jika anda berminat untuk mengetahui dan mengenali Rasulullah SAW, boleh klik di link bawah:

https://pck.onpay.my/order/form/ringkasansirahnabisaw/188

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”