#7525: Status Jamak Qasar: Belajar dan Menetap di Negeri Berbeza

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya menetap di Terengganu tetapi belajar di Kuala Lumpur. Soalan saya bolehkah saya jamak dan qasar jikalau saya balik ke rumah tidak melebihi 3 hari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam hal ini, ia mengikut di mana yang anda menetap/bermastautin. Sekiranya anda menetap di Terengganu, maka tidak boleh untuk anda melakukan jamak qasar di rumah Terengganu dan hanya boleh melakukan jamak qasar  sewaktu dalam perjalanan sahaja. Namun, sekiranya anda menetap di rumah sewa di Kuala Lumpur, maka anda boleh melakukan jamak qasar sewaktu dalam perjalanan dan sewaktu berada di rumah Terengganu tersebut. Ini kerana pada waktu itu, tempat anda bermukim telah berubah dari rumah di Terengganu kepada rumah di Kuala Lumpur.

Ini bermakna, jika anda pulang ke Terengganu, anda menganggap seolah-olah anda menziarahi kaum keluarga anda dan bukan merasakan tempat mastautin anda atau mukim.

Begitu juga, anda tidak menetap di rumah Terengganu tersebut melebihi 4 hari (tidak termasuk hari pergi dan balik), maka boleh untuk anda melakukan jamak qasar di rumah tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”