#7527: Anak Pungut: Islam atau Tidak?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika kita bertemu dengan bayi yang baru lahir tanpa dikenalpasti Islam atau tidak kedua ibu bapanya di negara kita ini, apakah dihukum sebagai Islam atau sebaliknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أَوْ يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ، كَمَثَلِ البَهِيمَةِ تُنْتَجُ البَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا جَدْعَاءَ

Maksudnya: “Setiap anak dilahirkan, ia dilahirkan di atas fitrah. Maka, kedua orang tuanya yang menjadikannya orang Yahudi atau menjadikannya orang Nasrani atau menjadikannya orang Majusi. Sebagaimana haiwan ternakan (berkaki empat) itu melahirkan haiwan ternakan yang sempurna (berkaki empat juga), adakah engkau melihat sebarang kecacatan padanya?”

Riwayat al-Bukhari (1385) dan Muslim (2685)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Menurut pendapat yang paling masyhur, bahawa makna fitrah adalah Islam. Ibn ‘Abd al-Bar berkata: “Inilah makna yang dikenali dalam kalangan salaf secara umum. Sementara para ulama bersepakat bahawa makna firman Allah SWT: ‘فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا’ (Fitrah Allah yang Allah telah menjadikan manusia di atasnya([1]adalah Islam.

Al-Hafiz Ibn Hajar turut menukilkan bahawa al-Qurtubi berkata dalam kitab al-Mufhim: “Maksudnya bahawa Allah menciptakan hati anak cucu Adam memiliki kesediaan untuk menerima kebenaran, sebagaimana Allah SWT menciptakan penglihatan dan pendengaran mereka disertai kesediaan untuk melihat dan mendengar. Apabila hati tetap dalam keadaan seperti itu, nescaya akan menemui kebenaran.”

Al-Din (agama) Islam adalah agama yang hak (benar). Makna seperti ini telah diisyaratkan oleh bahagian akhir hadith, yakni sabda Baginda, “Sebagaimana haiwan melahirkan…”, yakni haiwan melahirkan anaknya dalam keadaan sempurna. Apabila dibiarkan demikian, nescaya tidak akan ada cacat. Akan tetapi, terkadang manusia merosakkannya, seperti memotong telinganya, sehingga tidak seperti bentuk aslinya. (Lihat Fath al-Bari, 7/420)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa anak tersebut dihukum Islam berdasarkan nas hadith di atas. Bahkan bayi biasanya dalam keadaan fitrah. Ini pula terikat dengan negara Islam. Imam al-Nawawi berkata:

إِذَا وُجِدَ لَقِيطٌ بِدَارِ الإِسْلَامِ وَفِيهَا أَهْلُ ذِمَّةٍ، أَوْ بدَارٍ فَتَحُوهَا وَأَقَرُّوهَا بِيَدِ كُفَّارٍ صُلْحًا أَو بَعْدَ مِلْكِهَا بِجِزْيَةٍ وَفِيهَا مُسْلِمٌ .. حُكِمَ بِإِسْلَامِ اللَّقِيطِ.

Apabila anak pungut:

  • ditemui dalam negara Islam yang mempunyai penduduk kafir dzimmi, atau
  • ditemui dalam negara yang dibebaskan oleh orang Islam yang mereka mengaku memberikan wilayah berkenaan ke tangan orang kafir atas dasar sulh; atau
  • ditemui dalam negara yang sudah dimiliki oleh orang Islam dengan cara jizyah dan terdapat dalamnya penduduk Islam,

maka anak pungut yang ditemui hendaklah dihukumkan sebagai Islam.

Ini kerana Islam mengatasi, berdasarkan hadith riwayat ‘A’idz bin ‘Amr al-Muzani RA bahawa Rasulullah bersabda:

 الإِسْلامُ يَعْلُو وَلَا يُعْلَى

Maksudnya: “Islam itu mengatasi dan tidak diatasi.

Riwayat al-Daraqutni dengan sanad yang daif.

Menurut al-Rafi’i ketiga-tiga kategori tempat yang disebutkan adalah negara Islam (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 6/65)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota Hujung:

[1]  Surah al-Rum: 30