#7528: Cara Menentukan Islamnya Kanak-Kanak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara kita menentukan anak itu Islam atau bayi itu Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya.”

(Surah al-Baqarah: 208)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, ini merupakan perintah Allah kepada orang yang beriman untuk masuk ke dalam agama Islam keseluruhannya. Dalam erti kata lain, dalam seluruh syariat-syariat agama dan mereka tidak meninggalkan sesuatu pun daripadanya, serta mereka tidak seperti orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Apabila hawa nafsunya itu seiring dengan perkara yang disyariatkan, maka dia kerjakan, namun apabila ia bertentangan dengannya, maka dia tinggalkan. Sepatutnya, apa yang wajib adalah dia menundukkan hawa nafsunya bagi mengikut agama. Dia melakukan segala perbuatan baik semampunya. Manakala apa yang dia tidak mampu lakukan, maka dia berusaha dan berniat melakukannya serta menjangkaunya dengan niatnya itu. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/94).

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Nawawi yang berkata:

وَيُحْكَمُ بِإِسْلَامِ الصَّبِيِّ بِجِهَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ لَا يُفْرَضَانِ فِي لَقِيطٍ: إحْدَاهُمَا الْوِلَادَةُ فَإِذَا كَانَ أَحَدُ أَبَوَيْهِ مُسْلِمًا وَقْتَ الْعُلُوقِ فَهُوَ مُسْلِمٌ فَإِنْ بَلَغَ وَوَصَفَ كُفْرًا فَمُرْتَدٌّ وَلَوْ عَلِقَ بَيْنَ كَافِرَيْنِ ثُمَّ أَسْلَمَ أَحَدُهُمَا حُكِمَ بِإِسْلَامِهِ فَإِنْ بَلَغَ وَوَصَفَ كُفْرًا فَمُرْتَدٌّ وَفِي قَوْلٍ كَافِرٌ أَصْلِيٌّ

Kanak-kanak dihukumkan sebagai Islam atas dua faktor (jihah) yang kefardhuannya tidak terikat dengan isu anak pungut, iaitu:

Pertama: Pengislaman melalui kelahiran. Apabila salah seorang daripada ibu bapa bagi seorang kanak-kanak adalah orang Islam sewaktu tempoh mengandung (waqt al-‘uluq) maka kanak-kanak itu dihukum sebagai Muslim. Sekiranya kanak-kanak itu baligh dan dia menunjukkan ciri-ciri kafir melalui kata-kata, maka dia dihukumkan sebagai murtad. Jika kanak-kanak itu dikandungkan semasa kedua-dua ibu bapanya adalah kafir kemudian salah seorang daripada mereka masuk Islam, maka dihukumkan kanak-kanak itu sebagai Islam.[1] Sekiranya kanak-kanak itu baligh dan dia menunjukkan ciri- ciri kafir melalui kata-kata, maka dia dihukumkan sebagai murtad. Menurut satu qaul: Kanak-kanak itu dihukum sebagai kafir pada asalnya.[2]

الثَّانِيَةُ إذَا سَبَى مُسْلِمٌ طِفْلًا تَبِعَ السَّابِيَ فِي الْإِسْلَامِ  إنْ لَمْ يَكُنْ مَعَهُ أَحَدُ أَبَوَيْهِ وَلَوْ سَبَاهُ ذِمِّيٌّ لَمْ يُحْكَمْ بِإِسْلَامِهِ فِي الْأَصَحِّ

Kedua: Apabila seorang Islam menawan[3] seorang kanak-kanak maka kanak-kanak itu dihukum sebagai Islam kerana mengikut agama pihak yang menawannya, dengan syarat ketika dia ditawan tiada salah seorang pun ibu bapanya bersamanya. Jika pihak yang menawannya ialah kafir dzimmi maka kanak-kanak itu tidak dihukumkan sebagai Islam menurut al-wajh al-asah.[4]

وَلَا يَصِحُّ إسْلَامُ صَبِيٍّ مُمَيِّزٍ اسْتِقْلَالًا عَلَى الصَّحِيحِ

Kanak-kanak bukan Islam yang memeluk Islam sewaktu dia mumayyiz dengan kehendaknya sendiri (istiqlal) maka keislamannya adalah tidak sah menurut al-wajh al-sahih.[5]

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Sama ada masuk Islam semasa mengandung atau selepas anak itu dilahirkan.

[2] Kerana pada mulanya dia dihukum sebagai kafir atas kaedah kelahiran (wiladah). kemudian dihukumkan sebagai Islam atas kaedah mengikut (tabiyyah). Maka apabila dia sudah berkuasa penuh terhadap dirinya (mustaqil) maka dia boleh memutuskan kedudukan agama dirinya (Kanz al-Raghibin, 3/128).

[3] Ketika peperangan tercetus.

[4] Wajh kedua mengatakan kanak-kanak itu dihukumkan Muslim kerana mengikut negara (Kanz al-Raghibin. 3/128).

[5] Kerana dia bukan mukallaf maka sama seperti hukum kanak-kanak yang belum mumayyiz. Adapun pendapat yang dinaskan oleh Imam al-Syafi’i dalam al-qaul al-qadim (Mughni al-Muhtaj, 3/608)