#7530: Solat Tahajud Jam 4 Lebih Baik dari Jam 5?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah solat tahajudd jam 4 pagi lebih baik dari jam 5.00 pagi dan lebih mustajab doanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat sunat Tahajjud, solat ini dilaksanakan, selepas bangun dari tidur dan sebelum masuk waktu subuh. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/217). Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya. Baransiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.

Riwayat al-Bukhari (1145)

Syeikh Mustafa al-Bugha berkata: (termasuk) yang dikehendaki dengan “turun” ialah turunnya Ketetapan—Nya, Rahmat-Nya, Kelembutan-Nya dan Pengampunan-Nya.

Solat Tahajjud memiliki kelebihan yang besar, sepertimana disebut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ؛ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Sebaik-baik solat setelah solat fardhu ialah solat malam.”

Riwayat Muslim (1163)

Ibn Rajab berkata: “Waktu tahajud di malam hari adalah sebaik-baik waktu pelaksanaan solat sunat. Ketika itu hamba semakin dekat dengan Tuhannya. Waktu tersebut adalah saat dibukakannya pintu langit dan terkabulnya doa. Saat itu juga adalah waktu untuk mengemukakan pelbagai hajat kepada Allah SWT.” (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 77).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pembahagian malam ini hanyalah bersifat taqribi (lebih kurang/anggapan paling hampir) bukannya tahdidi (secara tepat). Terpulang kepada masing-masing untuk berqiamullail mengikut keselesaan dan kemampuan. Perkara yang lebih utama adalah kita sentiasa melazimi qiamulail dan solat Tahajud, serta momohon kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan doa kita, mempermudahkan urusan kehidupan, menerima taubat, menghapuskan dosa dan memasukkan kita ke dalam syurgaNya. Berkenaan doa mustajab, kami katakan tidak kisah sama ada jam 4/ 5 pagi, Allah akan mengkabulkan doa hambanya sebagaimana hadith yang telah kami sebutkan di atas.

Cukuplah kita beriltizam untuk solat tahajjud dan melakukan mengikut sunnah Nabi SAW walau apa waktu pun kita terbangun. Dalam sebuah hadith daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَعَارَّ مِنَ اللَّيْلِ، فَقَالَ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، أَوْ دَعَا، اسْتُجِيبَ لَهُ، فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ

Maksudnya:Barangsiapa yang terbangun pada waktu malam lalu mengucapkan: ‘لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’ (‘Tiada tuhan melainkan Allah SWT, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan untuk-Nya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah SWT, Maha Suci Allah SWT, tiada tuhan melainkan Allah SWT, Allah Maha Besar, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah SWT,’) kemudian dia mengucapkan: ‘اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي’ (‘Ya Allah, ampunilah aku,’) – atau dia berdoa, nescaya akan dikabulkan untuknya. Dan sekiranya dia berwudhu’ dan menunaikan solat, maka solatnya akan diterima.

Riwayat al-Bukhari (1154)

Dinukilkan daripada Ibn Battal, katanya: “Janji Allah sebagaimana yang dinyatakan oleh nabi-nabinya ialah sesiapa yang tersedar daripada tidurnya lidahnya menyebut akan keesaan Allah, tunduk kepada kepada kekuasaan-Nya, mengiktiraf nikmat-Nya dengan memuji-Nya, menyucikan Allah daripada apa yang tidak layak bagi-Nya dengan bertasbih kepada-Nya, merendah diri kepada-Nya dengan bertakbir, berserah kepada-Nya kerana kelemahan diri melainkan dengan perlindungannya apabila seseorang itu berdoa kepada-Nya maka Dia akan menjawabnya dan apabila dia solat maka Dia akan menerimanya. Maka, barangsiapa yang mendengar hadith ini hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam beramal serta mengikhlaskan niat kepada Allah SWT.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 7/212).

Semoga Allah kurniakan kepada kita cintakan solat malam dan Tahajjud dan melayakkan kita mendapat kedudukan yang terpuji pada hari Akhirat kelak. Firman Allah SWT:

‏ وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah (sembahyang tahajjud) padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

(Surah al-Isra’: 79)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

(Surah Ibrahim: 40-41)