#7532: Membayar Hutang dengan Duit Judi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya menggunakan duit hasil judi untuk membayar hutang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya.

Bahkan hutang merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan termasuk dalam akad antara sesama manusia yang wajib ditunaikan/dilangsaikan.

Definisi Hutang

Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/82; Mughni al-Muhtaj, 2/117; al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, hlm. 45).

Hutang adalah satu tanggungjawab untuk dibayar bagi setiap penghutang, namun matlamat untuk membayar hutang tidak menghalalkan perkara yang haram seperti mendapatkannya daripada sumber yang haram seperti mencuri, berjudi, merompak, menipu dan seumpamanya dengan tujuan untuk membayar hutang. Hal ini kerana punca yang haram tidak mungkin diberi kepada yang lain untuk dihalalkan atau juga akan diberi pahala dengan sebab tersebut. Seseorang Islam amat perlu melihat kepada punca dapatan rezekinya dan juga punca bagaimana ia dibelanjakannya. Hal ini amat penting untuk difahami oleh setiap orang Islam. Daripada Abu Barzah al-Aslami RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ

Maksudnya: “Sentiasalah dua kaki hamba pada hari kiamat berada di situ sehingga ditanya tentang umurnya, bagaimana digunakannya, ilmu apa yang dilakukannya, harta dari mana diperolehinya dan ke mana diinfakkannya dan tubuhnya dengan apa dilakukannya.”

Riwayat al-Tirmizi (2417). Beliau menyatakan hadith ini hasan sahih

Justeru pastikan rezeki yang kita perolehi daripada sumber yang halal begitu juga belanjalah kepada tempat yang halal dan diizinkan. Kita diajar supaya mencari rezeki dan memakan dari sumber yang halal. Hal ini berbetulan dengan sebuah hadis yang masyhur, daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا”، وَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ” ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟”.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”

Riwayat Muslim (1015)

Tayyib bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 3/535).

Begitu juga diri seseorang itu adalah sebagai cagaran bagi hutangnya itu sehinggalah ia dilunaskan. Dalam erti kata lain, ia adalah untuk mengekang dirinya dari kedudukan mulia yang sepatutnya dia miliki. Hal ini adalah sebagaimana hadith:

 إِنَّ صَاحِبَكُمْ مُحْتَبِسٌ عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فِي دَيْنٍ عَلَيْهِ، حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sahabat kamu itu sedang tertahan di pintu syurga dengan sebab hutang yang masih ada padanya sehinggalah warisnya melunaskan hutang itu bagi pihaknya.”

Riwayat Ahmad (20124) dan lafaznya adalah sebagaimana di atas tanpa menyebutkan, “حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ”; Riwayat Abu Daud (3341) dan al-Nasa’i (4685) dengan lafaz seumpamanya. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (20124) menilai sanadnya sebagai sahih.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum membayar hutang dengan menggunakan duit dari sumber yang haram adalah haram. Maka, tidak boleh anda menggunakan duit judi untuk membayar hutang. Kami nasihatkan agar anda mencari alternatif lain untuk mendapatkan duit dari sumber yang halal. Semoga Allah mempermudahkan urusan anda dalam melangsaikan hutang dan melimpahkan rezeki buat anda sekeluarga.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua`lam.