Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika kita sedang bermusafir boleh ke kita solat qasar sahaja, maksudnya kita buat zohor 2 rakaat bila sampai ke destinasi kita buat asar 2 rakaat.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَلَیۡسَ عَلَیۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن یَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱلۡكَـٰفِرِینَ كَانُوا۟ لَكُمۡ عَدُوࣰّا مُّبِینࣰا
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di atas muka bumi, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan dan dosa sekiranya kamu mengqasarkan iaitu memendekkan solat jika kamu takut diserang oleh golongan kafir. Sesungguhnya orang kafir itu ialah musuh kamu yang amat nyata.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Imam al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Mengqasarkan solat adalah dibolehkan menurut persepakatan para ulama. Adapun meninggalkan qasar dan melaksanakan solat secara tamam ketika bermusafir, para ulama berbeza pendapat. Sebahagian sahabat berpendapat wajib ke atas musafir untuk mengqasarkan solat, ini merupakan pendapat Umar, Ali, Ibn Umar, Jabir, Ibn Abbas, juga Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz, Qatadah, Malik bin Anas dan ahli ar-Ra’yi. Manakala, al-Syafi’i pula berpendapat mengqasarkan solat bagi musafir hukumnya harus sahaja. Pendapat ini disokong oleh zahir ayat al-Quran. Perkataan “tidaklah menjadi apa-apa kesalahan” digunakan untuk memberi keringanan, bukan mewajibkan.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 2/274-275)
Keharusan Qasar Solat
Ulama mazhab al-Syafi’i berpendapat mengqasarkan solat adalah keharusan, bukan suatu kewajiban. Imam al-Syafi’i menuruti dan menyetujui fatwa ‘Uthman bin ‘Affan dan Sa’ad bin Abi Waqqas yang mengatakannya harus semata, tidak wajib.
Justeru, terdapat keluasan dalam perkara ini. Kita bebas memilih sama ada kita mahu mengqasar dan menjama’ solat ketika musafir atau tidak. Kedua-duanya diizinkan oleh syara’ dan merupakan amalan Rasulullah SAW.
Aisyah R.Anha berkata berkenaan solat musafir Nabi:
كُلُّ ذَلِكَ قَدْ فَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ قَصَرَ الصَّلَاةَ وَأَتَمَّ
Maksudnya: “Kedua-duanya pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW (ketika musafir); sama ada menqasarkan solat mahu pun bersolat secara tamam (sempurna).”
Riwayat al-Syafi’i di dalam al-Musnad (1/182)
Begitu juga dengan jama’ solat, ulama mengatakan hukumnya sama harus. Seseorang boleh memilih sama ada untuk menjama’ solat atau bersolat seperti biasa pada waktunya yang telah ditetapkan.
Maka, seorang musafir boleh mengqasar solatnya apabila dia menjalani perjalanan safar yang jauh, iaitu perjalanan yang mencapai dan melebihi dua marhalah. Para ulama kontemporari berbeza pendapat dalam menentukan kiraan semasa bagi dua marhalah seperti berikut:
- Al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff mengatakan 2 marhalah bersamaan 82KM.
- Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 88.704KM.
- Syaikh Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 81KM.
Kita bebas untuk memilih mana-mana sahaja kiraan di atas.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk mengqasarkan solat tanpa jamak kerana ia merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Meskipun begitu, sebaiknya ia dijamakkan agar memudahkan dan tidak mendatangkan kesukaran padanya ketika dalam permusafiran.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا، ورِزقًا طيِّبًا، وعَملًا مُتقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta daripada-Mu: ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”
Riwayat al-Nasaie (9930) dan Ibn Majah (925)
Wallahu a‘lam.