#7536: Terlintas di Hati, Adakah Jatuh Talak?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya menonton Bola. Sewaktu menonton Bola itu terlintas dalam hati saya kalau pasukan saya sokong kalah saya kena ceraikan isteri saya tetapi saya tiada niat pun, cuma dia terlintas saja.  Apabila tamat perlawanan saya tengok keputusan sahaja. Saya berdoa pada Allah supaya pasukan saya sokong itu menang. Doanya berbunyi ‘menangkan pasukan aku sokong supaya aku tidak bercerai. Namun,  pasukan yang saya sokong itu kalah. Apakah status perkahwinan saya. Adakah doa macam itu boleh jatuh cerai?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Taʻliq  ialah  suami menggantungkan talaq kepada isterinya dengan sifat atau syarat  yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain atau berlaku pada masa  hadapan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

Fuqaha  empat mazhab  sependapat sabit talaq dengan lafaz ta’liq. Hal ini kerana fuqaha berhujah  berdasarkan dalil  pensyariatan talaq secara mutlak merupakan hak suami sebagaimana firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ

Maksudnya : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Ayat ini  bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung   (التنجيز)  mahupun  tidak langsung tergantung (التعليق). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/447)

Perkataan yang digunakan bagi pensyaratan ta’liq  ialah  jika, apabila, kalau dan seumpamanya.  Sebagai contoh “Kamu tercerai sekiranya keluar daripada rumah ini”. (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/444)

Rasulullah SAW bersabda :

الْمُسْلِمُونَ عند شُرُوطِهِمْ

Maksudnya “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan.”

   Riwayat al-Hakim (1352)

Implikasi talaq  ta’liq:

  • Tidak jatuh talaq selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
  • Mereka kekal sebagai suami isteri selagi syarat yang dikaitkan dengan ta’liq tidak berlaku walaupun ia pasti berlaku “Apabila tiba bulan ramadhan engkau tercerai”
  • Jatuh talaq apabila syarat yang berkaitan itu berlaku (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

Dalam bab “Syarat dalam Talak” al-Syirazi menyatakan : Jika perceraian dikaitkan dengan syarat yang bukanlah suatu hal yang mustahil seperti masuk ke rumah atau datangnya bulan, maka ia tergantung pada menepati syarat tersebut. Jika syarat tersebut dipenuhi maka,berlakulah perceraian, dan jika syarat tersebut tidak terpenuhi,maka tidak berlakulah perceraian.(Lihat al-Muhazzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafie,3/21)

Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan).”

Riwayat al-Bukhari (2528)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa lintasan-lintasan dan kata-kata di dalam hati, jika ia tidak menjadi tetap dan berterusan di dalam hati, maka orangnya diampunkan oleh Allah SWT dengan kesepakatan para ulama. Ini kerana dia tidak mempunyai pilihan ketika ia terjadi dan tiada jalan baginya untuk mengelak. Imam al-Nawawi juga menegaskan selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan lalu segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa dikenakan ke atasnya. (Lihat al-Azkar, 273)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lintasan hati tidak dikira talak, maka tidak jatuh talak ke atas isteri anda. Namun, sekiranya anda melafazkannya secara lisan ketika berdoa itu, maka ia sudah dikira lafaz ta’liq. Maka, ketika itu terjatuhlah talak sebagaimana yang anda sebutkan. Oleh sebab itu, perkara talak ini, jangan sesekali kita berbuat main kerana Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.”

Riwayat Abu Daud  (2194). Syeikh Syuaib berkata hadith ini hasan li ghairih.

Al-Khattabi menukilakan bahawa : para ahli ilmu bersepakat bahawa lafaz talak yang jelas, jika diucapkan oleh seseorang yang telah baligh yang berakal, ia dianggap sebagai talak yang sah dan tidak berguna lagi baginya untuk mengatakan bahawa ia sedang bermain-main, bergurau dan tidak berniat untuk bercerai atau perkara seumpamanya. (Lihat Ma’lim al-Sunan, 3/243)

Semoga Allah SWT menguatkan tautan kasih antara setiap pasangan suami isteri, menambahkan rasa kasih sayang serta cinta dalam menjalani kehidupan ini atas dasar ketakwaan kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”

Wallahu a‘lam.