Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tips khusyuk di dalam solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan jawapan ini dengan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”
(Surah al-Mukminun: 1-2)
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: ” خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.
Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110).
Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, 9/329).
Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.
Antara pendapat sahabat dan tokoh berkaitan maksud khusyuk:
- Ibnu ‘Abbas berkata: Tenang dan merendahkan diri (مخبتون أذلاء)
- Ali bin Abi Talib R.A berkata: Iaitu tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri.
- Sa’id bin Jubair berkata: Iaitu (seseorang) tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan kirinya, dia tidak menoleh, kerana sangat khusyuknya (menghadap kepada) Allah ‘Azza wa Jalla.
- ‘Amr bin Dinar berkata: Iaitu ketenangan dan keindahan keadaan (gerakan).
- Ibnu Sirin dan yang lainnya berkata: Iaitu engkau tidak mengangkat pandanganmu dari tempat sujudmu.
- Atha’ berkata: Iaitu engkau tidak bermain-main dengan anggota tubuhmu dalam solat.
- Al-Hasan (al-Basri) dan Qatadah berkata: (iaitu) orang-orang yang takut (خائفون).
- Muqatil berkata: (iaitu) orang-orang yang rendah hati (tawadhu’) (متواضعون).
- Mujahid berkata: iaitu menundukkan pandangan dan merendahkan suara. (غض البصر وخفض الصوت)
- Ada juga yang menyebut, khusyuk dalam solat adalah: Mengumpulkan konsentrasi (memerhatikan urusan solat) dan berpaling daripada urusan selainnya serta menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan oleh lisannya.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/408).
Kami kemukakan juga di sini beberapa pendapat para ulama dalam mendefinisikan khusyuk.
Kata Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Khusyuk adalah: Berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri.
Imam Junaid Al-Baghdadi yang berkata: Khusyuk adalah; Perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/521).
Imam Ibn Rajab al-Hanbali turut memberikan definisi yang menarik berkenaan khusyuk. Kata beliau: Asal bagi khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetapnya ia. (Lihat al-Khusyu’ fi al-Solat, Ibn Rajab Al-Hanbali, hlm. 17).
Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Sebahagian ulama memasukkannya (khusyuk) sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. (Lihat Fath al-Qadir, 1/977).
Menurut Syeikh Muhammad Rasyid Ridha, maksud khusyuk dalam solat iaitu buah iman yang sahih sehingga menolong untuk mengikutnya iman daripada amal. Khusyuk menjadi kesan rasa khasyatullah pada hati sehingga melimpah kepada gerakan anggota, perasaan, maka khusyuk penglihatan dengan tenang dan rasa kerendahan. Sedangkan khusyuk dengan suara melalui kelembutan dan bahasa yang mendayu sebagaimana khusyuk anggota yang lain. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/301).
Dalam sebuah hadis daripada riwayat Ammar bin Yasir, beliau solat dua rakaat lalu meringkaskannya. Lantas Abd al-Rahman bin al-Harith berkata kepadanya: Wahai Abu al-Yaqazan, aku melihat engkau meringkaskan kedua-duanya. Beliau lalu menjawab: Telah datang kepadaku was-was dan sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ لِيُصَلِّي الصَّلاَةَ ، وَلَعَلَّهُ لاَ يَكُونُ لَهُ مِنْهَا إِلاَّ عُشْرُهَا ، أَوْ تُسْعُهَا ، أَوْ ثُمُنُهَا ، أَوْ سُبُعُهَا ، أَوْ سُدْسُهَا حَتَّى أَتَى عَلَى الْعَدَدِ
Maksudnya: “Sesunggguhnya seseorang melakukan solat dan boleh jadi tidak tersisa daripadanya (faham dan khusyuk dalam solat) melainkan baki sekadar 1/10 nya atau 1/9 nya atau 1/8 nya atau 1/7 nya atau 1/6 nya sehingga syak sampai kepada bilangan rakaat solat.”
Riwayat Ahmad (18398) dan Ibnu Hibban (1889)
Perlu difahami bahawa khusyuk terbahagi kepada dua iaitu:
- Khusyuk hati iaitu kehadiran hati seseorang yang sedang menunaikan solat secara fokus menghadap Allah SWT dengan membawa cinta kepada-Nya, mengagungkan-Nya, takut terhadap seksa-Nya, dan mengharap pahala dari-Nya sehingga merasa dekat dengan-Nya dan tenang hatinya serta penuh penghayatan dengan menghayati seluruh apa yang diucapkan dan lakukan dalam solatnya, dari awal hingga selesai solatnya. Kekhusyukan hati inilah yang melahirkan kekhusyukan badan, kerana ia adalah asas kekhusyukan.
- Khusyuk badan iaitu ketenangan gerakan dalam solat, beradab dan tidak tergesa-gesa dalam mengucapkan zikir dan doa, ketundukan pandangan ke arah tempat sujud, tidak menoleh ke atas atau ke arah yang menghilangkan khusyuk dan tidak disibukkan dengan gerakan yang sia-sia.
Berdasarkan pendapat beberapa tokoh ulama di atas, perkara yang dapat kita simpulkan berkenaan definisi khusyuk adalah: Khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri, perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan khusyuk ini adalah salah satu daripada yang terpenting dalam kamus kehidupan seseorang Islam. Oleh itu, antara tips yang boleh kami berikan untuk khusyuk dalam solat adalah:
- Persiapan sebelum solat: solat di awal waktu bagi mengelakkan tergesa-gesa, memilih tempat yang tenang dari gangguan dan seumapamnya
- Tanamkan di dalam hati ahawa solat adalah ibadah kepada Allah semata-mata.
- Fahami bacaan solat.
- Membaca al-Fatihah dan surah pilihan dengan tidak terburu-buru.
- Hindari gangguan seperti telefon bimbit, internet dan sebagainya.
- Berdoa kepada Allah SWT agar diberikan khusyukan.
Akhir kalam, kami memetik kenyataan Allamah Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur yang berkata: Khusyuk ialah keikhlasan hati dan zahir. Ini adalah ketundukan dan menghindari maksiat. Termasuk juga dalam pengertian khusyuk adalah “Ihsan” iaitu yang dijelaskan oleh “Hadith Jibril”, bahawa Ihsan adalah “Engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak (dapat seakan-akan) melihat-Nya, maka (yakinlah) bahawa Dia melihatmu.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 11/257).
Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sentiasa mentaati-Nya dengan sebaik mungkin dan kami akhiri dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal R.A:
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, syukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Riwayat Abu Daud (1522)
Wallahu a’lam.