Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seorang isteri musafir dengan kawan perempuan berdua?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Mahram
Dari sudut bahasa mahram membawa makna larangan. Ibn Manzur dalam kitabnya menyebut bahawa mahram itu adalah individu-individu yang tidak boleh dinikahi. (Lihat Lisan al-Arab, 12/119). Inilah maksud mahram yang dikemukakan oleh para fuqaha.
Dari sudut istilah para fuqaha’, mahram bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)
Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadith yang sahih. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya: “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”
Riwayat al-Bukhari (1729) dan Muslim (2391)
Pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab Syafi’i adalah mensyaratkan adanya suami, mahram atau wanita-wanita yang terpercaya untuk menemaninya. Antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini, sebaiknya saudari berbincang secara baik dengan suami kerana ia sebenarnya berdasarkan budi bicara dan bagi mendapatkan izin suami. Begitu juga, kelengkapan anak-anak juga perlu diambil cakna bagi memudahkan pengurusan anak-anak sepanjang saudari bermusafir bersama rakan.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”