Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tips ringkas kebahagiaan suami isteri, dan demi untuk mencapai keluarga yang sakinah mawaddah warrahmah. Boleh dato’ share doa berkenaan ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri yang berasal dari diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang kepada mereka. Dan dia menjadikan di antara kamu perasaan mawadah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu merupakan tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang sentiasa berfikir.
(Surah al-Rum: 21)
Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/14)
“Jadikanlah dirimu itu sebagai pembantu kepadanya, nescaya dia akan menjadi penolong pula kepadamu.”
Inilah salah satu wasiat Umamah kepada puterinya sewaktu ingin berkahwin dengan al-Harith bin Amru, sedang Rasulullah SAW pernah menasihati Saidina Ali RA ketika beliau meminang Fatimah R.Anha.
Sabdanya, “Dia untukmu, tetapi engkau harus menemaninya dengan baik.”
Dr al-Siba’ie berkata: Sa’adah atau kebahagiaan suami isteri tidak sempurna melainkan kamu faham berkenaan isterimu dan isterimu faham berkenaanmu. Kebahagiaan yang dimaksudkan seperti mana disebut oleh Ibn Khaldun,
“Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikuti garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan..”
Manakala Mattern berpendapat: Jalan menuju kebahagiaan adalah berdasarkan beberapa perkara berikut:
- Bebaskan hatimu daripada rasa dendam dan rasa takut.
- Hidup dengan penuh sederhana. Mengharapkan sedikit tetapi banyak memberi.
- Mengisi penuh harapanmu dengan kasih sayang.
- Pancarkanlah cahaya mentari.
- Lupakanlah dirimu sendiri dan ingatlah orang lain.
Seorang suami adalah ketua rumahtangga yang mengemudi nakhoda, maka si isteri pula berperanan sebagai pembantu yang sentiasa menyokong dan membantu sama dalam melayari onak ranjau alam perkahwinan. Justeru, terdapat beberapa tips keluarga bahagia antaranya suami isteri mestilah:
- Berfikiran matang.
- Bersedia memikul tanggungjawab.
- Menyimpan rahsia rumah tangga dengan baik.
- Saling mendengar pandangan dengan hati yang terbuka.
- Memahami ilmu agama dan mempraktikkannya
Dalam mencapai hasrat di atas, tiga hal utama perlu ditekankan iaitu sentiasa mengajak pasangan dan keluarga mempelajari ilmu agama pada setiap minggu sekurang-kurangnya, juga melangkah ke masjid untuk solat berjemaah di samping sentiasa menjaga akhlak dan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Begitu juga, antara doa yang boleh diamalkan adalah:
- Doa agar Diberi Kebahagiaan
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Al-Sabuni berkata, jadikanlah kami pada suami-suami kami/isteri-isteri kami dan anak-anak kami kegembiraan dan kebahagiaan dengan sentiasa berpegang dalam ketaatan kepada-Mu dan beramal dalam mencari keredhaan-Mu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/340)
- Doa Mohon Zuriat:
رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Maksudnya: ”Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”
(Surah as-Saffat: 100)
Al-Tabari berkata: Ini merupakan permintaan Nabi Ibrahim kepada Tuhannya agar Dia mengurniakan keturunan yang soleh kepadanya. Ibrahim berdoa: “Hai Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang termasuk dari kalangan orang-orang yang soleh, yang mentaati-Mu dan tidak melakukan maksiat kepada-Mu, melakukan kebaikan di atas muka bumi dan tidak merosakkan.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/869)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”