#7542: Adil dalam Poligami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan berlaku adil dalam Islam. Bagaimana pejabat/ jabatan agama dapat memastikan keadilan tersebut? Benarkah keizinan isteri diperlukan dalam mengesahkan poligami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَىٰ فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ

Maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Ayat 3 Surah al-Nisa’ ini merupakan dalil keharusan berpoligami, dan hujjah bahawa syara‘ membenarkankan seseorang lelaki memperisterikan sehingga 4 orang wanita. Meskipun begitu, Islam mensyaratkan supaya lelaki tersebut berlaku adil kepada kesemua isterinya. Ini berdasarkan sambungan daripada ayat di atas, Allah SWT berfirman:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan firman Allah SWT (فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا) berkata, jika seseorang lelaki takut untuk tidak memperlakukan dengan adil dan dia khuatir tidak memenuhi hak-hak para isteri jika berkahwin dua, tiga atau empat, maka berpada baginya seorang sahaja atau mana-mana hamba perempuan yang dia miliki agar dia tidak menzalimi mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 163)

Justeru, jika seseorang lelaki tidak mampu berlaku adil jika memperisterikan lebih daripada seorang wanita, maka dia tidak dibenarkan untuk berkahwin lebih daripada seorang.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, “kesamarataan” merujuk kepada suatu sifat (atau keadaan dan sebagainya) sama rata atau sama sahaja antara satu sama lain. “Keadilan” pula salah satunya didefinisikan sebagai perbuatan meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.

Manakala sama rata dan keadilan yang dimaksudkan oleh syara‘ adalah pada perkara yang berada di bawah ruang lingkup kemampuan suami untuk memberikannya, seperti giliran setiap isteri, nafkah zahir dan batin yang wajib serta hak-hak setiap isteri ke atas suami.

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah SWT (وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا), yakni jika seorang lelaki itu takut tidak berlaku adil pada memberikan mahar kepada dan juga nafkah-nafkah yang wajib ke atasnya untuk para isteri. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/11)

Adapun hal yang terkait dengan perasaan si isteri, maka ia merupakan suatu perkara yang berada di luar kemampuan suami. Maka keadilan atau kesamarataan yang dimaksudkan tidaklah termasuk dalam soal perasaan hati kerana kecenderungan hati tidak boleh dikawal. Meskipun demikian, Allah SWT memberi peringatan kecenderungan perasaan seorang suami dan kecintaannya terhadap seorang isteri tidak seharusnya membuatkan isteri-isterinya yang lain terabai.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Nisa’: 129)

Diriwayatkan dari[ada Ummul Mu’minin  ‘Aisyah R.Anha bahawa kebiasaannya Rasulullah SAW memperuntukkan hari-hari antara isteri-isteri Baginda dengan sama rata. Rasulullah SAW akan berdoa:

اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلاَ تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلاَ أَمْلِكُ

Maksudnya: “Ya Allah, Ini adalah bahagian yang aku berikan seperti yang boleh aku kawal, maka jangan salahkan aku dengan apa yang Engkau kawal, tetapi aku tidak mampu mengawalnya (iaitu perasaan).”

Riwayat Abu Dawud (2134), al-Nasa’ie (3943), Ibn Majah (1971) dan al-Tirmizi (1140). Al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif di dalam Irwa’ al-Ghalil (7/81)

Imam Ibn Ruslan menyebutkan tentang apa itu perkara yang tidak mampu dikawal oleh manusia, beliau mengatakan bahawa ia adalah perasaan kecintaan dan kebencian. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 18/566)

Hukum Poligami

Daripada sudut fiqh, poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa situasi, hukumnya boleh berubah kepada tiga hukum ( Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26) :

Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat, atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah SAW, para Tabi’in dan generasi selepas mereka.

Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau rasa tidak yakin akan kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir”. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/127)

Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak berat sebelah dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang mempunyai masalah kewangan. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”

 Riwayat Imam Malik (31) dalam al-Muwatta’

Sebagai penutup, marilah kita merenungi firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Maka, jelaslah perkahwinan itu bukan sahaja untuk memberi kebahagian kepada satu pihak sahaja seperti mana yang disebutkan dalam ayat di atas. (Lihat al-Mu’tamad, 4/18)

Kesimpulan

Berkaitan berpoligami, apakah yang dimaksudkan berlaku adil dalam Islam. Bagaimana pejabat/ jabatan agama dapat memastikan keadilan tersebut? Benarkah keizinan isteri diperlukan dalam mengesahkan poligami?

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan maksud adil di sini adalah pembahagian dari sudut kesamaan di antara isteri-isterinya pada nafkah, pakaian, tempat tinggal, perhiasan serta beberapa kemudahan yang lain yang mesti dalam kemampuan suaminya. Adapun adil dari segi cinta dan kasih sayang, ia bukanlah taklif dan tidak dituntut kerana manusia tidak mampu melaksanakannya. Begitu juga, kemampuan untuk infak kepada isteri-isterinya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيَسْتَعْفِفِ الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ‎

Maksudnya: “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya.”

(Surah al-Nur: 33)

Berkenaan urusan jabatan agama dalam menentukan keadilan, terdapat beberapa syarat yang diperlukan, salah satunya persetujuan dari pihak isteri pertama. Mahkamah akan nilai samada poligami itu wajar atau tidak. Hakim akan memanggil suami untuk tahu status kewangan, taraf hidup, hutang, harta yang ada, tanggungan bagi mengenalpasti kemampuan dia. Kemudian, hakim panggil isteri sedia ada untuk tanya isteri pertama sendiri pasal suaminya. Kadangkala mahkamah juga akan memanggil bakal isteri untuk kepastian.

Akhir kalam, kami nasihatkan kepada suami yang ingin berpoligami agar sentiasa mengingatkan perintah Allah SWT dengan sebaik-baiknya iaitu keadilan serta kemampuan. Di samping itu, amat perlu mempunyai akhlak yang baik, sikap penyabar yang tinggi, bertanggungjawab dan sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebahagian di dalam rumahtangga dan memberikan kita kefahaman dalam memahami dan mengamalkan agama ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam.