#7543: Wanita Mewarna Rambut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum mewarnakan rambut bagi wanita? Saya difahamkan jika kecantikan untuk suami dibolehkan. Jika boleh, bagaimana nak kenalpasti produk di pasaran yang boleh digunakan (perlu ada logo halal)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (3462) dan Muslim (2103)

Begitu juga dalam hadith lain, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ

Maksudnya: “Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.”

Riwayat al-Tirmizi (1752)

Dapat difahami daripada hadith-hadith ini bahawa ‘illah syarak dalam mewarnakan rambut atau janggut adalah untuk menyelisihi ahli kitab. Oleh sebab itu, terdapatnya penegasan bahawa ia suatu perbuatan yang digalakkan (sunat). Apatah lagi Rasulullah SAW sendiri berlebih-lebihan dalam menyelisihi mereka dan memerintahkan untuk melakukannya. Selain itu, sunnah ini (mewarnakan rambut dan janggut) sangat diambil berat oleh ulama salaf. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 11/172).

Secara umumnya, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/279-280) dinyatakan bahawa mewarnakan rambut dan janggut boleh dengan hinna’ (inai), hinna’ bersama katam, wars, za‘faran, warna hitam dan lain-lain.

Seterusnya, digalakkan mewarnakan rambut dan janggut dengan hinna’ dan katam berdasarkan hadith, “غَيِّرُوا الشَّيْبَ” (iaitu ubahlah warna uban) dan ia adalah suatu perintah yang menunjukkan kepada galakkan (sunat). Hal ini juga adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَحْسَنَ مَا غَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الْحِنَّاءُ وَالْكَتَمُ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mengubah warna uban ialah pohon hinna’ (inai) dan katam.”

Riwayat Ibn Hibban (5474) dan al-Tirmizi (4991)

Dapat difahami daripada hadith di atas bahawa bahawa hinna’ (inai) dan katam adalah antara pewarna terbaik untuk mengubah warna uban. Akan tetapi bahan untuk mewarnakan uban tersebut tidak hanya terhad kepada kedua-dua bahan itu sahaja, malah terdapat juga bahan pewarna lain yang sama fungsinya yang turut boleh digunakan dalam asal-usul kecantikan. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Anas R.A, katanya: “Abu Bakar mewarnakan (rambut dan janggutnya) dengan hinna’ (inai) dan katam. Manakala Umar pula mewarnakan (rambut dan janggutnya) hanya dengan hinna’ (inai).”

Begitu juga mewarnakan rambut dan janggut dengan menggunakan bahan wars dan za‘faran. Ia juga termasuk dalam hukum asal galakkan (sunat) itu sebagaimana mewarnakannya dengan bahan daripada hinna’ dan katam. Malah terdapat sebahagian sahabat yang mewarnakan rambut dan janggut mereka dengan kedua-dua bahan tersebut. Abu Malik al-Asyja‘i meriwayatkan daripada bapanya, katanya:

كَانَ خِضَابُنَا مَعَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْوَرْسَ وَالزَّعْفَرَانَ

Maksudnya: “Bahan pewarna yang kami gunakan (untuk mewarnakan rambut dan janggut) bersama Rasulullah SAW ialah wars dan za‘faran.”

Riwayat Ahmad (15882). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (25/216) menilai sanadnya sebagai sahih. Beliau juga menyatakan, semua perawinya adalah thiqah dan merupakan perawi kitab al-Sahih melainkan Bakr bin Isa dan dia daripada perawi sunan al-Nasa’i dan dia adalah thiqah.

Ringkasnya, seseorang itu boleh mewarnakan rambut dengan menggunakan apa sahaja bahan pewarna atau produk pewarna rambut yang ada di pasaran dengan syarat ia memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama seperti tidak menghalang air dan bahan-bahan pewarna yang ingin digunakan mestilah bukan bahan yang mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan atau memberikan risiko dan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan.

Manakala mewarnakan rambut dengan warna hitam pula terdapat perselisihan ulama mengenainya. Ada yang membenarkannya secara mutlak dan ada juga yang tidak membenarkannya. Namun, pendapat yang kuat (di sisi kami Insya-Allah) bahawa tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna hitam melainkan terdapatnya keperluan seperti untuk menghilangkan aib kerana uban yang berlebihan di rambut atau janggutnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar dan seumpamanya.

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa para fuqaha’ berpendapat, mewarnakan uban dengan menggunakan hinna’ (inai) atau seumpamanya adalah digalakkan (sunat) bagi wanita sebagaimana digalakkan juga perkara itu bagi lelaki berdasarkan  kepada hadith-hadith sahih yang menyebutkan mengenai perkara itu. Khusus bagi wanita yang sudah berkahwin dan hamba perempuan yang dimiliki, digalakkan kepada mereka untuk mewarnakan juga tapak tangan dan kaki  mereka dengan hinna’ atau bahan seumpamanya pada setiap waktu melainkan ketika waktu berihram kerana mewarnakan termasuk dalam  bentuk perhiasan, dan perhiasan ini pula diharapkan daripada isteri untuk suaminya dan daripada hamba untuk tuannya, dengan syarat pewarnaan itu dalam bentuk umum tanpa adanya corak atau gambaran tertentu kerana hal tersebut adalah tidak digalakkan.  Begitu juga diharuskan bagi wanita tersebut (dengan izin suaminya atau tuannya) untuk memerahkan pipinya dan mewarnakan hujung jarinya dengan inai gelap.

Berkenaan galakkan ke atas wanita berkahwin untuk mewarnakan tapak tangannya adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Dhamrah bin Sa‘id, daripada neneknya, daripada seorang wanita dalam kalangan mereka, katanya: Sesungguhnya wanita itu pernah mendirikan solat dengan dua arah kiblat bersama Rasulullah SAW. Beliau berkata:

دَخَل عَلَيَّ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَال لِيَ: اخْتَضِبِي، تَتْرُكُ إِحْدَاكُنَّ الْخِضَابَ حَتَّى تَكُونَ يَدُهَا كَيَدِ الرَّجُل؟ قَالَتْ: فَمَا تَرَكَتِ الْخِضَابَ حَتَّى لَقِيتِ اللَّهَ عَزَّ وَجَل، وَإِنْ كَانَتْ لَتَخْتَضِبُ وَإِنَّهَا لَابْنَةُ ثَمَانِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menemuiku, lalu bersabda kepadaku: ‘Warnakanlah (tapak tanganmu). Kenapa salah seorang daripada kamu meninggalkan perbuatan mewarnakan itu sehingga tangannya seperti tangan lelaki?’ Beliau berkata: ‘Tidaklah wanita itu meninggalkan perbuatan mewarnakan (tapak tangannya) sehinggalah beliau menemui Allah ‘Azza wa Jalla (yakni meninggal dunia). Beliau tetap mewarnakannya sekalipun sudah berumur 80 tahun.’”

Riwayat Ahmad (16650). Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (16650) menilai sanadnya sebagai dha‘if.

Adapun bagi wanita yang belum berkahwin dan yang bukan hamba, maka ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i berpendapat, makruh bagi mereka untuk mewarnakan tapak tangan dan kaki mereka disebabkan tiadanya keperluan bagi perkara tersebut, di samping bimbang timbulnya fitnah. Seterusnya memerahkan pipi dan mewarnakan hujung jarinya dengan inai gelap adalah haram menurut mereka.

Manakala ulama mazhab Hanbali pula berpendapat, diharuskan bagi gadis yang belum berkahwin untuk mewarnakannya (tapak tangan dan kaki). Ini berdasarkan hadith daripada Jabir secara marfu‘ bahawa: “Wahai sekalian wanita, warnakanlah (tapak tangan dan kaki kamu) kerana sesungguhnya wanita (yang sudah berkahwin) mewarnakan untuk suaminya. Manakala gadis pula mewarnakan bagi menarik rezeki daripada Allah ‘Azza wa Jalla,” iaitu untuk mendapatkan lamaran dan bernikah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/281-282).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak mengapa seorang wanita itu mewarnakan rambutnya, bahkan digalakkan (sunat) sebagaimana halnya lelaki, tidak kira wanita itu sudah berkahwin mahupun belum berkahwin. Berkenaan produk rambut yang halal, sekiranya seseorang itu ingin mewarnakan rambut atau janggut mereka, dia boleh menggunakan apa sahaja pewarna yang ada di pasaran, dan tidak semestinya hanya dengan hinna’ (inai), asalkan ia memenuhi beberapa syarat yang telah digariskan oleh para ulama.

Di antaranya, bahan pewarna tersebut tidak menghalang air untuk sampai ke kulit. Para fuqaha telah bersepakat bahawa terdapatnya sesuatu di atas anggota wuduk atau anggota mandi wajib yang menghalang air daripada sampai ke kulit menjadi penghalang antara kesahan wuduk dan mandi wajib tersebut. Seseorang yang mewarnakan rambut dengan bahan-bahan yang telah disebutkan di atas seperti hinna’, katam, wars, za‘faran dan seumpamanya tidak menghalang kesahan wuduk dan mandi wajibnya kerana selepas dia membuang atau membersihkan bahan-bahan tersebut melalui basuhan, maka yang tinggal hanyalah warna semata-mata, dan warna sahaja tidak menjadi penghalang untuk air sampai ke kulit. Oleh itu, ia tidak menjejaskan kesahan wuduk dan mandi wajib seseorang. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqahiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/282).

Selain itu, bahan-bahan pewarna yang ingin digunakan mestilah bukan bahan yang mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan atau memberikan risiko dan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan. Justeru, setiap perkara yang mendatangkan risiko kesihatan dan mudarat perlu dielakkan demi menjaga nyawa seseorang manusia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”