Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang perbezaan pandangan berkenaan bulan dan tarikh, turunnya wahyu pertama?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Maksudnya: “Kami tidak mengutuskan rasul melainkan rasul itu berbicara dengan bahasa pertuturan kaumnya agar dia dapat menerangkan apa yang dibawanya dengan jelas. Setelah itu, Allah dengan kebijaksanaan-Nya menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberi hidayah kepada siapa yang dia kehendaki. Dia Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.”
(Surah Ibrahim: 4)
Allah SWT menyatakan bahawa Dia mengutus para rasul untuk menyampaikan hidayah kepada manusia. Allah SWT menjelaskan bahawa Dia menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dialah Tuhan Yang Maha Perkasa, segala sesuatu yang Dia kehendaki pasti terjadi dan segala sesuatu yang tidak Dia kehendaki pasti tidak terjadi, dan Dia Maha Bijaksana dalam semua perbuatan-Nya. Maka Dia menyesatkan orang yang berhak disesatkan dan memberi petunjuk kepada orang yang berhak mendapat petunjuk. Demikianlah sunnatullah pada makhluk-Nya iaitu Allah SWT tidak sekali-kali mengutus seorang nabi buat suatu umat melainkan nabi itu berbicara dengan bahasa mereka. Maka setiap nabi dikhususkan untuk menyampaikan risalah hanya kepada umatnya saja, bukan umat yang lainnya. Namun Nabi Muhammad SAW mempunyai keistimewaan dengan keumuman risalahnya yang mencakupi semua bangsa manusia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 628)
Perbezaan Pandangan Mengenai Bulan Turunnya Wahyu Pertama
Berkenaan persoalan di atas, terdapat pelbagai pandangan di kalangan ahli sejarah mengenai bulan terjadinya peristiwa penting pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan penurunan wahyu pertama. Sebahagian ulama berpendapat ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, manakala yang lain berpendapat ia terjadi pada bulan Ramadhan. Ada juga pandangan yang menyebut bulan Rejab sebagai waktu peristiwa tersebut berlaku (Lihat Mukhtasar Sirah al-Rasul oleh Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahhab al-Najdi, hlm. 75).
Syeikh al-Mubarakfuri lebih cenderung kepada pendapat kedua, iaitu bahawa penurunan wahyu pertama berlaku pada bulan Ramadhan, berdasarkan ayat Al-Quran yang menyebut:
شَهْرُ رَمَضانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
Maksudnya: Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.
(Surah al-Baqarah: 185).
Ini disokong oleh ayat lain:
إِنَّا أَنْزَلْناهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar.”
(Surah al-Qadr: 1)
Ia merujuk kepada Lailatul Qadar, malam mulia yang berlaku dalam bulan Ramadhan.
Tambahan lagi, ayat lain turut menyebut:
إِنَّا أَنْزَلْناهُ فِي لَيْلَةٍ مُبارَكَةٍ، إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam yang penuh keberkatan; sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.”
(Surah al-Dukhan: 3).
Nabi Muhammad SAW berada di Gua Hira’ pada bulan Ramadhan, tempat Jibril turun menyampaikan wahyu. (Lihat nota kaki dalam al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 23-24)
Perbezaan Pandangan Mengenai Tarikh Sebenar Wahyu Pertama Turun
Terdapat juga perselisihan mengenai tarikh sebenar wahyu pertama pada bulan Ramadhan. Ada yang mengatakan ia terjadi pada hari ketujuh, atau hari ke-17, atau hari ke-18 (Lihat: Mukhtasar Sirah Ar-Rasul, hlm. 75 dan Rahmatan Lil-Alamin, 1/49). Walau bagaimanapun, Al-Khudari dalam kuliah sirahnya berpegang kepada pendapat bahawa ia berlaku pada hari ke-17 (Lihat: Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah oleh al-Khudari, 1/69).
Namun, al-Mubarakfuri memilih pandangan bahawa ia berlaku pada hari ke-21 walaupun tiada sumber spesifik yang menyebut hari tersebut. Beliau bahawa sebabnya ialah majoriti ahli sejarah menyetujui bahawa pelantikan Nabi Muhammad SAW berlaku pada hari Isnin, disokong oleh pandangan ulama hadith berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Qatadah. Dalam hadith tersebut, Nabi Muhammad s.a.w. ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, lalu baginda menjawab, ‘فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ’ (“Ia adalah hari aku dilahirkan dan hari wahyu pertama diturunkan kepadaku.”) Dalam lafaz lain, disebut, ‘ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ – فِيهِ’ (“Ia adalah hari aku dilahirkan dan hari aku dilantik menjadi nabi atau wahyu diturunkan kepadaku.”) (Sahih Muslim, 1/368; Ahmad, 5/297, 299; Al-Baihaqi, 4/286, 300; dan Al-Hakim, 2/602)
Pada tahun tersebut, hari Isnin dalam bulan Ramadhan bersamaan dengan hari ketujuh, hari ke-14, hari ke-21, dan hari ke-28. Banyak hadith sahih menunjukkan bahawa Lailatul Qadar hanya terjadi pada malam ganjil dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dan berubah-ubah antara malam-malam ganjil.
Jika kita membandingkan ayat Al-Quran, ‘إِنَّا أَنْزَلْناهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ’ (“Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar,”) dengan hadith riwayat Qatadah tadi yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi nabi pada hari Isnin, dan juga berdasarkan pengiraan takwim moden yang menunjukkan hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun tersebut jatuh pada malam ke-21, maka ini menguatkan bahawa pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul berlaku pada malam ke-21 bulan Ramadhan. (Lihat nota kaki dalam al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 23-24)
Menurut al-Mubarakfuri, dengan meneliti dalil dan bukti yang berkaitan, kita boleh menentukan bahawa wahyu pertama turun pada hari Isnin, 21 Ramadhan pada waktu malam, bersamaan 10 Ogos 610 M. Usia baginda ketika itu secara tepat adalah 40 tahun mengikut kiraan bulan, 6 bulan dan 12 hari, atau sekitar 39 tahun, 3 bulan dan 22 hari mengikut kalendar Masihi. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 23)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”