Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah yang diucapkan oleh Waraqah bin Naufal kepada Nabi SAW ketika Khadijah membawa Nabi bertemu dengannya dan menceritakan apa yang berlaku kepadanya? Dan apa fiqh sirah yang dapat diambil daripada ucapannya itu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Maksudnya: “Kami tidak mengutuskan rasul melainkan rasul itu berbicara dengan bahasa pertuturan kaumnya agar dia dapat menerangkan apa yang dibawanya dengan jelas. Setelah itu, Allah dengan kebijaksanaan-Nya menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberi hidayah kepada siapa yang dia kehendaki. Dia Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.”
(Surah Ibrahim: 4)
Allah SWT menyatakan bahawa Dia mengutus para rasul untuk menyampaikan hidayah kepada manusia. Allah SWT menjelaskan bahawa Dia menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dialah Tuhan Yang Maha Perkasa, segala sesuatu yang Dia kehendaki pasti terjadi dan segala sesuatu yang tidak Dia kehendaki pasti tidak terjadi, dan Dia Maha Bijaksana dalam semua perbuatan-Nya. Maka Dia menyesatkan orang yang berhak disesatkan dan memberi petunjuk kepada orang yang berhak mendapat petunjuk. Demikianlah sunnatullah pada makhluk-Nya iaitu Allah SWT tidak sekali-kali mengutus seorang nabi buat suatu umat melainkan nabi itu berbicara dengan bahasa mereka. Maka setiap nabi dikhususkan untuk menyampaikan risalah hanya kepada umatnya saja, bukan umat yang lainnya. Namun Nabi Muhammad SAW mempunyai keistimewaan dengan keumuman risalahnya yang mencakupi semua bangsa manusia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 628)
Berkenaan persoalan di atas, Imam al-Bukhari meriwayatkan kisah ini seperti berikut: Daripada Aisyah R.Anha bahawasanya beliau berkata: Setelah (menerima wahyu pertama) itu, Rasulullah SAW kembali kepada keluarganya membawa wahyu itu dalam keadaan hatinya berdebar-debar. Baginda SAW lalu masuk menemui Khadijah binti Khuwailid R.Anha dan berkata: “Selimutkan aku, selimutkan aku.” Maka, mereka menyelimutkannya sehingga hilang rasa takut Baginda. Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Khadijah R.Anha dan berkata: “Sesungguhnya aku benar-benar bimbangkan diriku.” Khadijah R.Anha berkata: “Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau ialah orang yang selalu menyambung silaturrahim, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana alam.”
Khadijah R.Anha kemudian membawa Nabi SAW bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza iaitu sepupu Khadijah. Beliau menganut agama Nasrani di masa Jahiliyyah, dan telah menulis kitab dalam bahasa Ibrani, dan beliau menulis kitab Injil dalam bahasa Ibrani dengan izin Allah. Saat itu, Waraqah sudah tua dan matanya buta. Khadijah R.Anha berkata kepadanya: “Wahai sepupuku, dengarlah cerita daripada anak saudaramu ini.” Maka Waraqah berkata kepada Baginda SAW: “Wahai anak saudaraku, apakah yang engkau lihat?” Maka Rasulullah SAW menceritakan apa yang dialaminya. Lalu Waraqah berkata kepadanya:
هَذَا النَّامُوسُ الَّذِي نَـزَّلَ اللهُ عَلَى مُوسَى، يَا لَيْتَنِي فِيهَا جَذَعًا، لَيْتَنِي أَكُونُ حَيًّا إِذْ يُخْرِجُكَ قَـوْمُكَ
Maksudnya: “Ini ialah Namus (Jibril A.S) yang pernah diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa. Aduhai diriku! Alangkah baik jika ketika dirimu diutuskan sebagai Rasul aku masih muda belia. Aduhai! Seandainya aku masih hidup saat kaummu mengusirmu.”
Rasulullah SAW bertanya:
أَوَ مُخْرِجِيَّ هُمْ؟
Maksudnya: “Adakah mereka pasti akan mengusir aku?”
Waraqah menjawab:
نَـعَمْ، لَمْ يَأْتِ رَجُلٌ قَطُّ بِمِثْلِ مَا جِئْتَ بِهِ إِلَّا عُودِيَ، وَإِنْ يُدْرِكْنِي يَـوْمُكَ أَنْصُرْكَ نَصْرًا مُؤَزَّرًا. ثُمَّ لَمْ يَنْشَبْ وَرَقَةُ أَنْ تُـوُفِّيَ، وَفَـتَرَ الوَحْيُ.
Maksudnya: “Ya, kerana tiada seorang pun yang datang membawa wahyu seperti yang engkau bawa ini melainkan dia dimusuhi. Andaikata aku masih hidup pada hari itu, nescaya aku akan menolong engkau dengan sedaya upayaku.”
Tidak lama kemudian, Waraqah pun meninggal dunia, lalu penurunan wahyu terhenti buat sementara waktu.
Riwayat al-Bukhari (3)
Dr. Zaid ‘Abd al-Karim menyebut: Waraqah berkata, “Tidak ada Nabi yang tidak dimusuhi oleh kaumnya.” Dalam riwayat lain, beliau menyatakan:“Tidak ada orang yang membawa (ajaran) seperti yang engkau bawa, kecuali dia disakiti.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 6/88).
Berdasarkan penjelasan ini, dapat disimpulkan bahawa seorang da’i (pendakwah) yang menyeru manusia kepada Allah Ta‘ala pasti akan menghadapi musuh dalam menjalankan amal dakwahnya. Hal ini menjadi cabaran yang harus dihadapi dengan kesabaran dan keyakinan kepada Allah.
Perhatikan ucapan Waraqah: “Tidak ada seorang pun,” yang menunjukkan bahawa setiap da’i pasti akan menghadapi musuh dalam perjalanan dakwahnya. Musuh dan cabaran adalah ciri khas dalam dunia dakwah. Allah Ta‘ala berfirman:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا مِّنَ الْمُجْرِمِينَ ۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ هَادِيًا وَنَصِيرًا
Maksudnya: “Dan seperti itulah, telah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Tuhanmu menjadi pemberi petunjuk dan penolong.”
(Surah al-Furqan: 31)
Allah Ta‘ala juga berfirman:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan dari kalangan manusia dan jin. Sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya. Maka biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.”
(Surah al-An‘am: 112)
Firman-firman ini menegaskan bahawa para Nabi dan da’i akan sentiasa menghadapi cabaran dan penentangan, sama ada daripada manusia mahupun jin. Namun, Allah Ta‘ala mencukupkan sebagai pemberi petunjuk dan pelindung kepada mereka yang berada di jalan-Nya.
Syaikhul Islam Ibn Taimiyah menyatakan: “Seorang da’i mesti memiliki sifat sabar dan penyayang kerana dia pasti akan berhadapan dengan pelbagai rintangan.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 28/136).
Syaikh Abdul Rahman bin Qasim turut menjelaskan: “Sesiapa sahaja yang berkomitmen dengan Islam dan menyeru orang lain kepadanya, dia telah memikul amanah yang besar dan menempuh jalan yang sama seperti para Rasul dalam berdakwah. Dia juga telah memasuki arena pertempuran melawan hawa nafsu, syahwat, serta keyakinan yang batil. Dalam keadaan ini, seseorang pasti akan menghadapi pelbagai rintangan. Oleh itu, dia hendaklah sentiasa bersabar dan memohon pertolongan Allah.” (Lihat Hasyiah Usul al-Thalathah, hlm. 18).
Syaikh Abdul Hamid bin Badis Rahimahullah, ketika menafsirkan firman Allah: “…dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.” (Surah Al-Furqan: 63), beliau berkata: “Penggunaan kata syarat ‘idza’ (apabila) menunjukkan bahawa tindakan orang jahil yang menghadapi ahli ilmu dengan keburukan adalah sesuatu yang pasti berlaku. Tidak ada seorang ahli ilmu pun yang terlepas daripada gangguan orang-orang jahil.” (Lihat Tafsir Ibn Badis, hlm. 194).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyatakan: “Seorang da’i pasti akan menghadapi rintangan, sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan.”
Beliau juga berkata: “Setiap da’i pasti akan menghadapi gangguan, tetapi dia mesti bersabar.”
Seterusnya, beliau menjelaskan bahawa firman Allah: “Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu…” (Surah Al-Insan: 24) merupakan isyarat bahawa setiap individu yang menegakkan ajaran Al-Qur’an ini pasti akan menghadapi rintangan yang memerlukan kesabaran yang besar. (Lihat Zad al-Da‘iyah, hlm. 11–13).
Namun, ini tidak bererti seorang Muslim perlu dengan sengaja mencari masalah atau menghadapkan dirinya kepada bahaya. Sebaliknya, maksudnya ialah dia perlu mempersiapkan diri dan sentiasa bersabar kerana sifat dan karakter jalan dakwah yang menyeru manusia kepada Allah sememangnya penuh dengan cabaran. Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)